Rabu, 20 Januari 2010

Sektor Perladangan Di Malaysia Timur Perlu Jalan Lebih Baik: MIA

Persatuan Pelabur-pelabur Malaysia (MIA) menggesa kerajaan mengkaji keperluan untuk menyediakan jalan yang lebih baik di Malaysia Timur, terutama laluan ke kawasan perladangan.

Presidennya Datuk Dr P.H.S. Lim, berkata ia akan membantu merangsang produktiviti dan meningkatkan sektor peladangan.

Beliau berkata pelabur membelanjakan lebih RM10 bilion sejak 10 tahun lepas dalam sektor perladangan di Malaysia Timur.

"Hari ini, keluasan ladang kelapa sawit di Malaysia Timur adalah lebih besar berbanding di Semenanjung Malaysia.

"Industri di sini berpotensi memberi hasil yang lebih baik. Cuaca sangat sesuai untuk penanaman kelapa sawit dan tanaman lain," katanya kepada Bernama.

Lim berkata pertanian sangat penting di Pantai Timur memandangkan bilangan penduduknya yang kecil tidak mampu menampung industri besar.

Beliau berkata menerusi Bajet 2010, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM4.7 bilion untuk pembangunan dan penyelenggaraan jalan dan jambatan.

Lim berkata jalan dan infrastruktur di Pantai Timur bagaimanapun tidak memuaskan.

"Semasa lawatan saya baru-baru ini, perjalanan sepanjang 150km dari Lapangan Terbang Miri ke ladang mengambil masa lebih empat jam.

"Kerajaan pusat dan negeri mesti menyediakan jalan dan jambatan yang lebih baik ke ladang kelapa sawit bagi memastikan pengangkutan lancar untuk mengumpul buah, pekerja dan bekalan," katanya.

Lim berkata jalan di situ juga berlubang-lubang.

"Semasa musim panas, ia berdebu dengan jarak penglihatan kurang tiga meter," katanya.



-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan