Harga-harga saham di kebanyakan bursa di Asia termasuk Malaysia dijangka merosot dalam tempoh sehingga dua minggu berikutan kebimbangan terhadap peningkatan ketara harga komoditi dan inflasi.
Aliran peningkatan yang berlaku hampir melibatkan kesemua komoditi telah mengganggu gugat sentimen pasaran.
Pada masa yang sama, harga minyak pada hari ini mula menunjukkan peningkatan semula dengan Brent North Sea bagi penghantaran Mac berada pada paras AS$101.50 (RM309.57) setong.
Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) jatuh 30.08 mata kepada 1,503.99, paras terendah sejak 21 Disember tahun lalu.
Pengarah Eksekutif Urusniaga Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazzary Rosli berkata, prestasi pasaran diburukkan oleh pengumuman secara terbuka Korea Selatan bahawa para pelabur asing telah keluar daripada pasarannya secara besar-besaran.
‘‘Secara asasnya, kenyataan itu telah menyebabkan para pengurus dana serantau melakukan perkara sama menyebabkan bursa-bursa Asia jatuh,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, keadaan yang berlaku tidak mengancam bursa tempatan, selagi ia kekal berada pada paras 1,500 mata.
Nazzary menyifatkan situasi semasa sebagai perkara yang biasa selepas pasaran mencatatkan kenaikan tinggi sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
‘‘Jadi, inilah masanya pengambilan untung dan situasi tenang ini akan berlarutan satu, dua minggu sebelum pelabur masuk semula kerana harga-harga saham rendah,’’ ujarnya.
Beliau menambah, ramalan peningkatan inflasi di China dan kenaikan kadar faedah di negara ekonomi terbesar itu sekadar perencah yang mewarnai lagi situasi pasaran semasa.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Kanan Bank Islam, (M) Bhd., Azrul Azwa Ahmad Tajuddin berkata, keadaan yang berlaku juga disebabkan oleh kebanyakan pelabur masih menanti data inflasi yang bakal dikeluarkan China pada minggu hadapan.
Inflasi China pada Januari dijangka melepasi lima peratus berbanding 4.6 peratus yang dicatatnya pada Disember 2010.
“ Jika data inflasi akan menjadi petunjuk kepada kemungkinan terdapatnya kenaikan kadar faedah di negara itu pada mesyuarat pihak berkuasa akan datang, “ kata beliau.
Penganalisa menjangkakan inflasi China akan meningkat sehingga 5.3 peratus pada Januari.
Bank Pusat China semalam telah menaikkan kadar faedah bagi meredakan peningkatan ekonomi negara itu.
Negara itu juga telah menetapkan kadar pertukaran mata wang yuan pada paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas beberapa jam selepas itu.
Kenaikan kadar faedah itu dijangka diikuti oleh pihak berkuasa lain di Asia untuk mengurangkan tekanan inflasi yang tinggi.
Selain isu inflasi China, jangkaan masa depan pemulihan ekonomi global yang dikatakan masih kabur juga merupakan penyumbang kepada kejatuhan pasaran Asia ketika ini.