Isnin, 15 November 2010

Bursa dijangka turun lagi minggu ini

Harga saham di Bursa Malaysia mungkin menyaksikan lebih banyak penyusutan minggu ini berikutan kelemahan berterusan pasaran serantau ekoran kebimbangan tentang kenaikan kadar faedah dan krisis zon euro.



"Pasaran mungkin menyaksikan lebih banyak penyusutan minggu ini kerana China nampaknya sedang dalam perang mata wang dengan Amerika Syarikat (AS) dan mengenakan langkah-langkah bagi mengetatkan dasar monetari," kata Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan.



Meskipun bagi pasaran tempatan ini tidak membimbangkan, namun pasaran perlu memerhati prestasi indeks penanda aras 30 saham India, BSE Sensex, katanya.



"Pasaran saham India dianggap lebih kukuh daripada China. Jadi kita perlu perhatikan sama ada ia turun selanjutnya dan membuat penilaian dari situ seterusnya," katanya.



BSE Sensex mengakhiri dagangan minggu lalu 432.2 mata atau 2.3 peratus lebih rendah pada 20,156.89 apabila kebimbangan tentang hutang Ireland mencetuskan jualan habis-habisan aset yang berisiko.



Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Donald Tsang dipetik sebagai berkata, pelabur-pelabur harus bersedia menghadapi keadaan turun naik secara besar-besaran dalam pasaran berikutan tanda-tanda yang semakin jelas menunjukkan ekonomi dunia masih menghadapi pelbagai risiko.



"Kita mungkin sudah keluar daripada keadaan yang teruk, tetapi kita pastinya masih dalam keadaan yang berbahaya," demikian beliau dilaporkan berkata pada forum Kerjasama Ekonimi Asia Pasifik (APEC).



Sementara itu, Ketua Penyelidikan OSK Research, Chris Eng berkata, pengambilan untung dalam bursa tempatan sememangnya dijangkakan selepas kenaikan baru-baru ini.



Rabu lepas, Rizab Persekutuan AS mengumumkan ia akan menyuntik sejumlah US$600 bilion (RM1.8 trilion) lagi dalam ekonomi negara itu.



"Kami juga percaya ada potensi bagi keputusan suku ketiga 2010 pada umumnya memperlihat prestasi yang lebih rendah daripada dijangkakan dan mencetuskan lebih banyak penurunan penarafan, kecuali sektor perbankan, pengguna dan penerbangan," katanya.



Dengan demikian, ia mencadangkan supaya pelabur-pelabur memberi perhatian kepada saham-saham pengguna yang bertahan dan tidak diberikan perhatian oleh pelabur-pelabur asing.



OSK Research juga mengekalkan sasaran akhir tahunnya bagi Indeks FBM KLCI pada 1,496, manakala sokongan kukuh semasa pada 1,479.



Sementara itu, Nazri berkata, Affin meramalkan sokongan kukuh pada 1,450 bagi FBM KLCI.



Pada minggu baru berakhir, indeks komposit bursa tempatan melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada 1,528.01 ekoran pengaliran masuk dana asing yang berterusan, terutamanya dari AS. Ia juga mencecah paras tertinggi dalam dagangan seharian pada 1,531.99.



Bagaimanapun, FBM KLCI mengakhiri dagangan minggu lalu 11.93 mata lebih rendah pada 1,499.81 berbanding 1,511.74 minggu sebelumnya.



Indeks Kewangan menokok 56.23 mata kepada 13,816.61 berbanding minggu sebelumnya, manakala Indeks Perladangan melonjak 55.43 mata kepada 7,771.76 tetapi Indeks Perusahaan turun 45.3 mata kepada 2,859.58.



Indeks FMB Emas susut 53.52 mata kepada 10,177.84, Indeks FBM Top100 jatuh 66.18 mata kepada 9,918.9 tetapi Indeks FBM Ace naik 210.81 mata kepada 4,654.9.



Jumlah dagangan minggu lalu bertambah kepada 8.204 bilion saham bernilai RM11.334 bilion daripada 5.075 bilion saham bernilai RM6.168 bilion minggu sebelumnya.



Pasaran Utama menyaksikan peningkatan jumlah dagangan kepada 7.067 bilion unit bernilai RM11.048 bilion daripada 4.428 bilion unit bernilai RM4.610 bilion sebelumnya.



Pasaran ACE menyaksikan jumlah dagangannya meningkat kepada 566.774 juta saham bernilai RM150.52 juta daripada 302.470 juta saham bernilai RM93.093 juta.



Waran melonjak jumlahnya kepada 577.634 juta unit bernilai RM117.75 juta daripada 208.815 juta unit bernilai RM38.549 juta. - BERNAMA




Inflasi buatan Amerika Syarikat

Malaysia dijangka berhadapan kenaikan inflasi berikutan peningkatan kecairan yang tinggi selepas Amerika Syarikat (AS) menyuntik AS$600 bilion (RM1.8 trilion) bagi merangsang ekonomi negara itu.



Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, perkara itu berlaku kerana AS pasti mengintai peluang pelaburan di negara-negara yang mampu memberi pulangan tinggi melalui kadar faedah seperti di negara-negara baru muncul termasuk Malaysia.



Menurut beliau, sebenarnya Malaysia mulai merasai peningkatan kecairan dengan kenaikan pasaran tempatan dan dijangkan berlaku permintaan mendadak terhadap sektor hartanah tempatan.



''AS akan melimpahkan duitnya ke seluruh dunia kerana negara itu tidak boleh melabur dalam negaranya sendiri memandangkan kadar faedah negara itu hampir sifar peratus,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.



Tambah beliau, peningkatan kecairan akibat kemasukan dolar AS itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap pembelian barangan dan keadaan itu dikhuatiri akan mengakibat peningkatan inflasi, ujar beliau.



Kadar inflasi negara setakat Ogos lalu adalah 2.1 peratus.



Bagaimanapun, MIER yakin Bank Negara Malaysia (BNM) memantau perkembangan itu secara dekat bagi membolehkan langkah-langkah awal dilaksanakan.



Baru-baru ini, bank pusat itu melaksanakan nisbah maksimum pinjaman berdasarkan nilai (LTV) dengan mengumumkan para pembeli yang mahu memiliki rumah ketiga dan seterusnya, hanya boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 70 peratus daripada nilainya.



Peraturan yang berkuatkuasa serta merta itu, bagaimanapun tidak menjejaskan kemudahan pembelian rumah pertama dan kedua.



BNM menjelaskan, langkah baharu itu bertujuan menyokong pasaran hartanah supaya terus stabil dan mampan, selain memastikan orang ramai akan mampu membeli rumah.



Sementara itu, mengulas mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada 2011 oleh Bank Dunia, Dr. Zakariah berkata, jangkaan tersebut adalah hampir selari dengan MIER dan kerajaan.



Bank Dunia menjangkakan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.8 peratus, lebih rendah daripada unjuran kerajaan antara lima hingga enam peratus, manakala MIER pula 5.2 peratus.



Menurut beliau, kelembapan itu disebabkan oleh krisis kewangan yang berpanjangan di negara-negara kuasa besar.



Jelasnya, tanda-tanda kelembapan sebenarnya sudah pun dirasai pada suku ketiga dan keempat dengan kadar pertumbuhan eksport menyusut.



''Sebagai sebuah negara pengeksport, krisis ekonomi yang berpanjangan ini memang menjejaskan Malaysia.



''Barangan kita biasanya dibeli oleh Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat tetapi apabila ekonomi-ekonomi negara ini semakin lesu menyebabkan keupayaan mereka semakin terhad, sekali gus menjejaskan ekonomi kita.



''Situasi ini sebenarnya sudah berlaku pada suku ketiga apabila kadar pertumbuhan eksport menyusut. Ini bermakna pengimport kurang membeli barangan kita,'' ujarnya.



Bagaimanapun, Dr. Zakariah menjangkakan keadaan itu tidak begitu teruk berbanding semasa krisis subprima kerana ia telah mengakibatkan Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi sebaliknya ia hanya berbentuk 'down swing' sahaja.



Tambahnya, setakat ini kerajaan telah mengambil langkah dan pendekatan terbaik untuk menyerap permasalahan ekonomi di luar seperti mengukuhkan sistem kewangan dan institusi perbankan tempatan.



''Yang menjadi kebimbangan kita adalah faktor luaran kerana kita tidak dapat memastikan gelora yang berlaku dan sukar untuk membuat jangkaan secara tepat.



''Contohnya soal peperangan mata wang kerana apabila ia disebabkan ketidakseimbangan global, masalah ini tidak boleh kita selesai dan sebenarnya Malaysia tidak ada kuasa. Ini bergantung kepada pelakon-pelakon besar seperti AS, Eropah, China dan Jepun,'' tambah beliau.



Dr. Zakariah menambah, keutamaan Malaysia sekarang adalah menumpukan kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerana ia menentukan struktur dan hala tuju baru ekonomi negara dalam jangka panjang.



Jelasnya, ini kerana tumpuan kepada ekonomi bukan hanya untuk 2010 dan 2011, sebaliknya kelangsungan bagi tahun-tahun mendatang.



''Hebat atau tidak, kita yang menentukannya untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, kita telah 'memulakan permainan itu dan kita perlu bekerja untuk memenanginya'.



''Untuk menjayakannya semua pihak perlu serius melaksanakannya memandangkan ia bukan mudah kerana di tengah-tengah proses itu, dunia mungkin sekali lagi berhadapan dengan krisis,'' katanya.