Isnin, 15 November 2010

Bursa dijangka turun lagi minggu ini

Harga saham di Bursa Malaysia mungkin menyaksikan lebih banyak penyusutan minggu ini berikutan kelemahan berterusan pasaran serantau ekoran kebimbangan tentang kenaikan kadar faedah dan krisis zon euro.



"Pasaran mungkin menyaksikan lebih banyak penyusutan minggu ini kerana China nampaknya sedang dalam perang mata wang dengan Amerika Syarikat (AS) dan mengenakan langkah-langkah bagi mengetatkan dasar monetari," kata Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan.



Meskipun bagi pasaran tempatan ini tidak membimbangkan, namun pasaran perlu memerhati prestasi indeks penanda aras 30 saham India, BSE Sensex, katanya.



"Pasaran saham India dianggap lebih kukuh daripada China. Jadi kita perlu perhatikan sama ada ia turun selanjutnya dan membuat penilaian dari situ seterusnya," katanya.



BSE Sensex mengakhiri dagangan minggu lalu 432.2 mata atau 2.3 peratus lebih rendah pada 20,156.89 apabila kebimbangan tentang hutang Ireland mencetuskan jualan habis-habisan aset yang berisiko.



Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Donald Tsang dipetik sebagai berkata, pelabur-pelabur harus bersedia menghadapi keadaan turun naik secara besar-besaran dalam pasaran berikutan tanda-tanda yang semakin jelas menunjukkan ekonomi dunia masih menghadapi pelbagai risiko.



"Kita mungkin sudah keluar daripada keadaan yang teruk, tetapi kita pastinya masih dalam keadaan yang berbahaya," demikian beliau dilaporkan berkata pada forum Kerjasama Ekonimi Asia Pasifik (APEC).



Sementara itu, Ketua Penyelidikan OSK Research, Chris Eng berkata, pengambilan untung dalam bursa tempatan sememangnya dijangkakan selepas kenaikan baru-baru ini.



Rabu lepas, Rizab Persekutuan AS mengumumkan ia akan menyuntik sejumlah US$600 bilion (RM1.8 trilion) lagi dalam ekonomi negara itu.



"Kami juga percaya ada potensi bagi keputusan suku ketiga 2010 pada umumnya memperlihat prestasi yang lebih rendah daripada dijangkakan dan mencetuskan lebih banyak penurunan penarafan, kecuali sektor perbankan, pengguna dan penerbangan," katanya.



Dengan demikian, ia mencadangkan supaya pelabur-pelabur memberi perhatian kepada saham-saham pengguna yang bertahan dan tidak diberikan perhatian oleh pelabur-pelabur asing.



OSK Research juga mengekalkan sasaran akhir tahunnya bagi Indeks FBM KLCI pada 1,496, manakala sokongan kukuh semasa pada 1,479.



Sementara itu, Nazri berkata, Affin meramalkan sokongan kukuh pada 1,450 bagi FBM KLCI.



Pada minggu baru berakhir, indeks komposit bursa tempatan melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada 1,528.01 ekoran pengaliran masuk dana asing yang berterusan, terutamanya dari AS. Ia juga mencecah paras tertinggi dalam dagangan seharian pada 1,531.99.



Bagaimanapun, FBM KLCI mengakhiri dagangan minggu lalu 11.93 mata lebih rendah pada 1,499.81 berbanding 1,511.74 minggu sebelumnya.



Indeks Kewangan menokok 56.23 mata kepada 13,816.61 berbanding minggu sebelumnya, manakala Indeks Perladangan melonjak 55.43 mata kepada 7,771.76 tetapi Indeks Perusahaan turun 45.3 mata kepada 2,859.58.



Indeks FMB Emas susut 53.52 mata kepada 10,177.84, Indeks FBM Top100 jatuh 66.18 mata kepada 9,918.9 tetapi Indeks FBM Ace naik 210.81 mata kepada 4,654.9.



Jumlah dagangan minggu lalu bertambah kepada 8.204 bilion saham bernilai RM11.334 bilion daripada 5.075 bilion saham bernilai RM6.168 bilion minggu sebelumnya.



Pasaran Utama menyaksikan peningkatan jumlah dagangan kepada 7.067 bilion unit bernilai RM11.048 bilion daripada 4.428 bilion unit bernilai RM4.610 bilion sebelumnya.



Pasaran ACE menyaksikan jumlah dagangannya meningkat kepada 566.774 juta saham bernilai RM150.52 juta daripada 302.470 juta saham bernilai RM93.093 juta.



Waran melonjak jumlahnya kepada 577.634 juta unit bernilai RM117.75 juta daripada 208.815 juta unit bernilai RM38.549 juta. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan