Khamis, 18 November 2010

Offshore Works beli kenderaan pemetaan

Offshore Works Sdn. Bhd. (OWS) mengumumkan pembelian kenderaan pemetaan dasar laut dalam (AUV - Autonomous Underwater Vehicle) Hugin 1000.



OWS adalah syarikat Asia pertama yang memperolehi AUV dan pembelian itu dijangka meningkatkan kemampuan teknikal sedia ada bagi industri minyak dan gas bagi rantau Asia.



OWS dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, urusniaga AUV itu telah disempurnakan baru-baru ini dengan pengeluarnya, AUV Kongsberg Maritim yang berpusat di Norway.



"AUV adalah alat paling mutakhir bagi tinjauan laut dalam dengan kemampuan melakukan tinjauan keadaan fizikal perairan laut dalam hingga 3,000 meter.



"AUV ini mempunyai reputasi yang kukuh di seluruh dunia dan kita melihat potensi AUV yang besar di Asia. Itu sebabnya kami yakin pembelian AUV ini adalah tindakan tepat untuk memenuhi pertumbuhan dan permintaan bagi kapasiti tinjauan di rantau ini,'' kata Pengerusi Eksekutif OWS, Datuk Mohd. Sallehuddin Othman.



Mohd. Sallehuddin menambah, AUV 1000 adalah peralatan canggih yang menyediakan data berkualiti tinggi dan lebih cepat, serta memberi ketepatan lebih tinggi untuk kedudukan dalam tinjauan bawah laut.



Selain itu, katanya, AUV tidak memerlukan kapal penarik dan ini memberi kelebihan dari segi penjimatan besar berbanding kaedah konvensional yang mengunakan sensor yang ditarik kapal.



"Kami yakin industri minyak dan gas di rantau ini akan memberi maklum balas positif terhadap penggunaan AUV,'' ujarnya.



Menurut beliau, pelaburan AUV memberikan OWS kelebihan yang besar dengan kemampuan untuk memberi perkhidmatan huluan yang lengkap dan terkini bagi industri minyak dan gas.



AUV 1000 kini berpusat di Labuan dan dikendalikan oleh Offshore Geo-Survey Sdn. Bhd. (OGS), bahagian tinjauan Geophysical & Geotechnical bagi OWS.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan