Khamis, 19 November 2009

Perlu ada anjakan- Nor Mohamed

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Malaysia perlu beranjak kepada pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi berasaskan produktiviti, teknologi, inovasi dan kreativiti bagi mencapai sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi di kalangan negara-negara maju.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (gambar) berkata, dalam persekitaran yang penuh mencabar, produktiviti adalah perkara penting dalam mencapai wawasan 2020 serta pembentukan ekonomi baru.


"Kita harus meningkatkan produktiviti, tanpa meningkatkan produktiviti, kita tidak boleh mencapai visi kita," katanya selepas merasmikan alumni PTD Forum Ekonomi Rancangan Malaysia ke-10: Satu Paradigma Baru di sini hari ini.


Untuk mencapai negara maju, Malaysia perlu meningkatkan pendapatan per kapita kepada AS$12,000 berbanding AS$7,000 setakat ini.


"Malaysia bakal mencapai negara maju pada akhir Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu pada tahun 2020," katanya.


Negara tidak boleh terus terperangkap dengan status negara berpendapatan sederhana selama-lamanya, katanya.


"Kita perlu membuka ruang seluas-luasnya dan menerokai laluan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi," katanya.


Di samping itu, pertumbuhan ekonomi turut diterajui oleh peranan sektor swasta yang lebih dinamik terutamanya dalam bidang pertumbuhan baru.


Justeru, peranan dan sumbangan sektor swasta untuk memacu dan menjadi peneraju utama pertumbuhan ekonomi akan diperkukuhkan semula.


"Kita perlu menilai semula persekitaran dasar yang kurang kondusif untuk menjana kegiatan swasta yang lebih dinamik," katanya.


Pada tahun 1997, pelaburan swasta menyumbang 32 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.


Semenjak krisis kewangan Asia, sumbangannya telah ketara merosot dan kini sumbangannya kurang daripada 10 peratus, yang merupakan antara terendah di rantau ini.


Katanya, formula kejayaan pembangunan negara 50 tahun dahulu tidak boleh menjamin sepenuhnya kecemerlangan ekonomi masa depan.


Model ekonomi baharu akan mengambil kira persekitaran global yang telah berubah menjadi lebih kompetitif serta mengenal pasti dan merebut peluang-peluang baharu dalam arena global. - Bernama

Belian saat akhir tingkatkan Bursa

KUALA LUMPUR 19 Nov - Harga saham di Bursa Malaysia mencatatkan paras penutupan yang keseluruhannya lebih rendah tetapi pembelian kecil-kecilan pada saat-saat akhir di kaunter-kaunter berwajaran tinggi serta sokongan berterusan bagi senaraian baru, Maxis, membantu mendorong pengukur pasaran itu meningkat ke lingkungan positif.


Pada pukul 5 petang, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) menambah 1.55 mata kepada 1,276.65. Ia dibuka 0.11 mata lebih rendah pada 1,274.99.


Maxis, yang dibuka dengan premium 46 sen pada RM5.46 melebihi harga tawaran institusinya iaitu RM5, mengungguli kedua-dua senarai saham cergas dan saham meningkat.Ia mengakhiri dagangan 42 sen lebih tinggi pada RM5.42.


Indeks FBM Emas menokok 0.96 mata kepada 8,522.32, FBM Top 100 naik 7.4 mata kepada 8,327.02 tetapi FBM 70 turun 3.39 mata kepada 8,258.86.FBM ACE jatuh 80.98 mata kepada 4,387.6.


Indeks Perusahaan susut 7.33 mata kepada 2,688.45 hari ini tetapi Indeks Perladangan mengukuh 45.53 mata kepada 6,250.54 dan Indeks Kewangan jatuh 16.8 mata kepada 11,022.99.Saham rugi mengatasi saham untung dengan jumlah 457 berbanding 238 manakala 245 kaunter tidak berubah dan 334 yang lain tidak diniagakan.


Jumlah dagangan keseluruhan meningkat kepada 1.351 bilion saham bernilai RM2.685 bilion berbanding 945.197 juta saham bernilai RM1.017 bilion.


Mendahului saham-saham cergas, Scomi Group Loan Rights susut setengah sen kepada 2.5 sen, Silver Bird-Waran menokok lapan sen kepada 23.5 sen, LB Aluminium-Waran menambah enam sen kepada 12 sen dan Affin-Waran 3 mengukuh 2.5 sen kepada 33.5 sen.


Jumlah dagangan di Papan Utama mengecil kepada 769.541 juta saham bernilai RM995.299 juta berbanding 869.517 juta saham bernilai RM1.242 bilion yang dicatatkan semalam.


Dalam Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 55.66 juta saham bernilai RM1.191 juta daripada 73.077 juta saham bernilai RM8.397 juta sebelumnya.


Waran mencatatkan penyusutan jumlah dagangan kepada 15.77 juta unit bernilai RM3.914 juta berbanding 22.254 juta unit bernilai RM5.659 juta.


Barangan pengguna menguasai 103.792 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan 197.448 juta, pembinaan 29.142 juta, perdagangan dan perkhidmatan 218.397 juta, teknologi 48.717 juta, prasarana 13.54 juta, kewangan 84.11 juta, hotel 805,200 juta, harta 58.982 juta, perladangan 13.29 juta, perlombongan 59,000, REIT 1.211 juta dan dana tertutup 37,000. - Bernama

Pengambilan untung Bursa ditutup rendah

KUALA LUMPUR 18 Nov - Harga-harga saham di Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada paras lebih rendah secara keseluruhannya hari ini sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau apabila kegiatan mengambil untung di kaunter-kaunter berwajaran tinggi mengatasi kegiatan mencari saham murah pada saat-saat akhir, kata seorang peniaga.


Pada pukul 5 petang, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 4.85 mata kepada 1,275.1 setelah dibuka 0.78 mata lebih rendah pada 1,279.17.


Penyenaraian Maxis Communications esok mungkin juga menyebabkan pelabur enggan memasuki pasaran hari ini, kata MIMB Investment Bank dalam nota penyelidikannya.


Indeks FBM Emas turun 18.35 mata kepada 8,521.36, FBM Top 100 jatuh 21.18 mata kepada 8,319.61 tetapi FBM 70 naik 20.28 mata kepada 8,262.25.FBM ACE mengukuh 23.68 mata kepada 4,468.58.Indeks Perusahaan turun 12.84 mata kepada 2,695.78 dan Indeks Perladangan susut 21.44 mata kepada 6,205.01 manakala Indeks Kewangan jatuh 21.61 mata kepada 11,039.79.


Saham untung mengatasi saham rugi dengan jumlah 347 berbanding 295 manakala 282 kaunter tidak berubah dan 350 yang lain tidak diniagakan.Jumlah dagangan keseluruhan mengecil kepada 945.197 juta saham bernilai RM1.017 bilion daripada 1.044 bilion saham bernilai RM1.271 bilion semalam.


Scomi Group Loan Rights yang menungguli senarai saham cergas, susut setengah sen kepada 2.5 sen, Silver Bird-Waran menokok lapan sen kepada 23.5 sen, LB Aluminium-Waran menambah enam sen kepada 12 sen dan Affin-Waran 3 mengukuh 2.5 sen kepada 33.5 sen.


Jumlah dagangan dalam Pasaran Utama berkurangan kepada 769.541 juta saham bernilai RM995.299 juta berbanding 869.517 juta saham bernilai RM1.242 bilion semalam.


Dalam Pasaran ACE jumlah dagangan susut kepada 55.66 juta saham bernilai RM1.191 juta daripada 73.077 juta saham bernilai RM8.397 juta.


Jumlah Waran mengecil kepada 15.77 juta unit bernilai RM3.914 juta daripada 22.254 juta unit bernilai RM5.659 juta sebelumnya.


Barangan pengguna menguasai 103.792 juta saham yang diniagakan dalam Pasaran Utama, barangan perusahaan 197.448 juta, pembinaan 29.142 juta, perdagangan dan perkhidmatan 218.397 juta, teknologi 48.717 juta, prasarana 13.54 juta, kewangan 84.11 juta, hotel 805,200 juta, harta 58.982 juta, perladangan 13.29 juta, perlombongan 59,000, REIT 1.211 juta dan dana tertutup 37,000.- Bernama