Jumaat, 12 November 2010

CN-NL peroleh projek sisa pepejal di China

CN-NL Waste Solution Company Ltd. (CN-NL), pelaburan yang dibuat menerusi Al Faiz Fund 1 Limited, memperoleh projek stesen pemindahan sisa pepejal pihak berkuasa tempatan (MSW) terbesar di dunia, dengan kontrak pasang siap peralatan di Shandong, China.

Kontrak bernilai RM380 juta itu diluluskan oleh Majlis Perbandaran Qingdao, Wilayah Shandong, China, kata KFHMB dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Al Faiz Fund yang diurus bersama oleh anak syarikat pengurusan dana Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd Group (KFHMB) dan Al-Aman KSCC yang disenarai di Kuwait.

Projek MSW meliputi kawasan seluas 10 hektar dan kemudahan itu dibangunkan dengan keupayaan untuk memproses 4,000 tan metrik MSW sehari, yang memberi perkhidmatan kepada lima juta penduduk di negara itu.

"Stesen pemindahan MSW yang mesra alam, akan dibina menggunakan teknologi sistem menegak untuk memperoleh kecekapan yang lebih tinggi dan memudahkan pengurusan pengangkutan MSW," kata Pengarah KFH Asset Management, Jamelah Jamaluddin.

KFH Asset Management ialah anak syarikat milik penuh KFHMB, ditubuhkan untuk mengurus aktiviti pengurusan dana kumpulan itu di rantau ini.

"Kami komited untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan pemindahan sisa canggih," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CN-NL, Alan Teo berkata kejayaan memperoleh kontrak stesen pemindahan terbesar MSW merupakan kejayaan penting syarikat itu.

Setakat ini, CN-NL sudah membangunkan lebih 20 stesen pemindahan MSW bersaiz besar.

Stesen pemindahan MSM itu akan menggantikan stesen MSW yang dipindahkan ke Taiyuan Road, Daerah Licang di Wilayah Shandong. - BERNAMA