Rabu, 24 November 2010

Mahu perkenal indeks tarik pelabur SRI

Bursa Malaysia akan memperkenalkan Indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Indeks ESG) menjelang 2012 bagi menarik lebih ramai pelabur dana Tanggungjawab Sosial Pelabur (SRI) ke pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi membangunkan indeks berkenaan.

Ia dikatakan hampir sama dengan indeks di luar negara seperti Dow Jones Sustainability Index dan FTSE4Good.

"Indeks ESG dijangka menarik lebih banyak dana berkualiti di seluruh dunia yang mana ada kebanyakan pelabur yang meletakkan isu tanggung jawab sosial sebagai asas untuk membuat keputusan, " katanya selepas pelancaran Program Kemampanan Perniagaan anjuran Bursa Malaysia di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Program Kemampanan Perniagaan ini merupakan program pertama seumpamanya di Malaysia sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahukan elemen kemampanan disepadukan dengan strategi perniagaan terutama bagi syarikat senaraian awam.

Di bawah program berkenaan, Perdana Menteri telah melancarkan satu panduan bertajuk 'Memperkasakan Kemampanan Perniagaan-Panduan kepada Pengarah' yang bertujuan untuk membantu pengarah-pengarah syarikat memahami nilai terbaik di dalam amalan kemampanan.

Selain itu, beliau turut melancarkan Portal Pengetahuan Kemampanan yang boleh dilayari menerusi laman web Bursa Malaysia.

Menurut Yusli, walaupun memahami kepentingan amalan kemampanan bagi menarik lebih ramai pelabur, Bursa Malaysia tidak berhasrat untuk menjadikan ia sebagai satu syarat wajib penyenaraian.

Faktor luaran rangsang Bursa lemah

Harga-harga saham ditutup rendah di Bursa Malaysia Sekuriti dengan sentimen dirangsang oleh faktor luaran seperti masalah hutang Ireland serta konflik antara Korea Utara dan Selatan.



"Banyak pelabur berhati-hati terhadap pasaran, menunggu arah tuju pasti, selain hakikat bahawa angka keluaran dalam negara kasar suku ketiga yang tidak memihak kepada pasaran.



Pada penutup, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur susut 15.67 mata untuk ditutup pada 1,487.53, selepas dibuka 3.64 mata lebih tinggi pada 1,506.84.



Indeks Perladangan susut 108.19 mata kepada 7,630.68, Indeks Kewangan turun ketara sebanyak 156.53 mata kepada 13,622.97 dan Indeks Perusahaan susut 33 mata kepada 2,836.97.



Indeks FBM Emas susut 128.63 mata kepada 10,068.71, FBM70 turun 154.11 mata kepada 10,313.04 dan Indeks FBM Ace susut 176 mata kepada 4,302.4.



Jumlah dagangan meningkat kepada 1.175 bilion saham bernilai RM2.009 bilion berbanding 968.588 juta saham bernilai RM1.165 bilion yang direkodkan semalam.



Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 785 berbanding 96 manakala 195 kaunter tidak berubah, 338 kaunter tidak diniagakan dan 76 yang lain digantung.



Mengetuai senarai saham aktif ialah Karambunai yang susut satu sen kepada 19 sen, diikuti Axiata dan Jo tech yang masing-masing susut satu sen kepada RM4.48 dan 10.5 sen.



Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 996.689 juta saham bernilai RM1.96 bilion berbanding 858.210 juta saham bernilai RM1.130 bilion yang direkodkan semalam.



Perolehan dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 95.046 juta saham bernilai RM33.672 juta berbanding 61.155 juta saham bernilai RM25.816 juta pada Isnin.



Jumlah dagangan waran meningkat kepada 77.137 juta saham bernilai RM12.378 juta berbanding 42.124 juta unit bernilai RM7.817 juta transaksi semalam.



Barangan pengguna menyumbang sejumlah 58.233 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan 217.122 juta, pembinaan 25.938 juta, perdagangan dan perkhidmatan 324.870 juta, teknologi 21.422 juta, infrastruktur 14.77 juta, kewangan 86.200 juta, hotel 1.501 juta, hartanah 165.323 juta, perladangan 35.555 juta, perlombongan 2.511 juta, REIT 2.798 juta dan dana tertutup 23,400.



- Bernama



Bursa dikejutkan serangan Korea Utara

Bursa-bursa utama di Asia hari ini menyaksikan harga-harga sahamnya merosot selepas dikejutkan peristiwa Korea Utara dan Selatan bertukar-tukar serangan sehingga menyebabkan para pelabur menarik keluar pelaburan mereka.



Nilai dolar Amerika Syarikat (AS) juga melonjak akibat pelabur mengambil langkah untuk menyelamatkan diri dan melabur dalam mata wang asing itu.



Korea Utara telah menyerang Pulau Yeonpyeong, Korea Selatan yang terletak di Laut Kuning, manakala Korea Selatan telah membalas balik serangan itu dengan menghantar jet pejuang ke kawasan tersebut, kata pihak tentera.



''Apabila peperangan berlaku, ia tidak akan menjadi risiko positif,'' kata Pakar Strategi Mata Wang BNP Paribas, Rob Ryan.



Pasaran saham di rantau ini, berada dalam keadaan lemah sebelum serangan itu berikutan langkah China dan krisis hutang Eropah dan diburukkan lagi dengan berita serangan tersebut.



Indeks Komposit Kospi, Korea Selatan ditutup rendah sebanyak 0.7 peratus sebelum berita serangan tersebut.



''Pasaran saham (esok) akan dipengaruhi oleh berita serangan Korea Utara itu,'' kata Cho Yong-hyun, Pakar Strategi Pasaran di Hana Daewoo Securities.



''Pasaran hadapan Kospi 200 ditutup rendah, menggambarkan kebimbangan terhadap isu Korea Utara .... ia akan memberikan kesan negatif kepada pasaran,'' katanya.



Pasaran hadapan Kospi 200 jatuh 2.44 peratus untuk ditutup pada 248 mata.



Pasaran saham Australia jatuh 1.2 peratus, Indeks Hang Seng, Hong Kong merudum 2.4 peratus, China menyusut 1.9 peratus manakala Taiwan turun 0.6 peratus.



Pasaran saham Jepun ditutup kerana cuti umum.



Sementara itu, pasaran lain seperti New Zealand ditutup rendah 1.1 peratus, Singapura turun 1.6 peratus, Malaysia jatuh 0.8 peratus, Indonesia merudum sebanyak 2.1 peratus, Filipina jatuh 0.9 peratus, Thailand turut merudum sebanyak 1.8 peratus dan India jatuh 2.5 peratus.



Indeks Dow Jones juga mengalami kerugian ekoran perkembangan terkini di Korea apabila jatuh 74 mata.



- DowJones