Bursa-bursa utama di Asia hari ini menyaksikan harga-harga sahamnya merosot selepas dikejutkan peristiwa Korea Utara dan Selatan bertukar-tukar serangan sehingga menyebabkan para pelabur menarik keluar pelaburan mereka.
Nilai dolar Amerika Syarikat (AS) juga melonjak akibat pelabur mengambil langkah untuk menyelamatkan diri dan melabur dalam mata wang asing itu.
Korea Utara telah menyerang Pulau Yeonpyeong, Korea Selatan yang terletak di Laut Kuning, manakala Korea Selatan telah membalas balik serangan itu dengan menghantar jet pejuang ke kawasan tersebut, kata pihak tentera.
''Apabila peperangan berlaku, ia tidak akan menjadi risiko positif,'' kata Pakar Strategi Mata Wang BNP Paribas, Rob Ryan.
Pasaran saham di rantau ini, berada dalam keadaan lemah sebelum serangan itu berikutan langkah China dan krisis hutang Eropah dan diburukkan lagi dengan berita serangan tersebut.
Indeks Komposit Kospi, Korea Selatan ditutup rendah sebanyak 0.7 peratus sebelum berita serangan tersebut.
''Pasaran saham (esok) akan dipengaruhi oleh berita serangan Korea Utara itu,'' kata Cho Yong-hyun, Pakar Strategi Pasaran di Hana Daewoo Securities.
''Pasaran hadapan Kospi 200 ditutup rendah, menggambarkan kebimbangan terhadap isu Korea Utara .... ia akan memberikan kesan negatif kepada pasaran,'' katanya.
Pasaran hadapan Kospi 200 jatuh 2.44 peratus untuk ditutup pada 248 mata.
Pasaran saham Australia jatuh 1.2 peratus, Indeks Hang Seng, Hong Kong merudum 2.4 peratus, China menyusut 1.9 peratus manakala Taiwan turun 0.6 peratus.
Pasaran saham Jepun ditutup kerana cuti umum.
Sementara itu, pasaran lain seperti New Zealand ditutup rendah 1.1 peratus, Singapura turun 1.6 peratus, Malaysia jatuh 0.8 peratus, Indonesia merudum sebanyak 2.1 peratus, Filipina jatuh 0.9 peratus, Thailand turut merudum sebanyak 1.8 peratus dan India jatuh 2.5 peratus.
Indeks Dow Jones juga mengalami kerugian ekoran perkembangan terkini di Korea apabila jatuh 74 mata.
- DowJones
Tiada ulasan:
Catat Ulasan