Rabu, 24 November 2010

Mahu perkenal indeks tarik pelabur SRI

Bursa Malaysia akan memperkenalkan Indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Indeks ESG) menjelang 2012 bagi menarik lebih ramai pelabur dana Tanggungjawab Sosial Pelabur (SRI) ke pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi membangunkan indeks berkenaan.

Ia dikatakan hampir sama dengan indeks di luar negara seperti Dow Jones Sustainability Index dan FTSE4Good.

"Indeks ESG dijangka menarik lebih banyak dana berkualiti di seluruh dunia yang mana ada kebanyakan pelabur yang meletakkan isu tanggung jawab sosial sebagai asas untuk membuat keputusan, " katanya selepas pelancaran Program Kemampanan Perniagaan anjuran Bursa Malaysia di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Program Kemampanan Perniagaan ini merupakan program pertama seumpamanya di Malaysia sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahukan elemen kemampanan disepadukan dengan strategi perniagaan terutama bagi syarikat senaraian awam.

Di bawah program berkenaan, Perdana Menteri telah melancarkan satu panduan bertajuk 'Memperkasakan Kemampanan Perniagaan-Panduan kepada Pengarah' yang bertujuan untuk membantu pengarah-pengarah syarikat memahami nilai terbaik di dalam amalan kemampanan.

Selain itu, beliau turut melancarkan Portal Pengetahuan Kemampanan yang boleh dilayari menerusi laman web Bursa Malaysia.

Menurut Yusli, walaupun memahami kepentingan amalan kemampanan bagi menarik lebih ramai pelabur, Bursa Malaysia tidak berhasrat untuk menjadikan ia sebagai satu syarat wajib penyenaraian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan