Rabu, 23 Mac 2011

Kenapa pasaran asyik turun naik?

Secara asasnya, pasaran bergerak turun naik disebabkan oleh penglibatan 2 pihak yang berlainan. Satu pihak membeli dan satu lagi menjual. Tapi, bukan semudah itu untuk kita memahami pergerakkan turun naiknya pasaan saham. Konsepnya mudah tapi mekanismnya rumit!

"A stock is only worth what someone thinks that is fair to pay for it!"

Maksud ayat di atas adalah, nilai sesuatu saham bergantung kepada persepsi orang ramai tentang harga yang sepatutnya dibayar untuk memilikinya. Selalunya nilai saham bergantung kepada keuntungan yang dijana oleh syarikat tersebut. Orang akan membayar lebih untuk saham syarikat jika syarikat dapat menjana keuntungan besar dalam perniagaannya.

Faktor lain yang turut mempengaruhi nilai sesuatu saham adalah kadar faedah (interest rate). Kadar faedah adalah kadar keuntungan yang kita bayar kepada bank jika kita meminjam atau kadar yang bank bayar kepada kita jika kita menyimpan.

Jika kadar faedah meningkat, nilai saham akan jatuh. Ini kerana jika orang ramai boleh buat duit dengan menyimpan dalam bank, atau membeli bon. Mereka merasakan yang mereka tidak patut mengambil risiko tinggi melabur dalam pasaran saham. Jika tiada permintaan, maka harga saham akan jatuh.

Faktor ekonomi turut mempengaruhi nilai saham. Jika banyak wang yang boleh dilaburkan ke atas syarikat-syarikat sebagai modal perkembangan perniagaan, maka saham syarikat akan turut naik.

Ada syarikat yang dipengaruhi oleh faktor masa. Iaitu dalam tempoh tertentu dalam satu tahun, ada syarikat yang meningkat perniagannya seperti pada masa jualan mega/jualan cuti sekolah. Sudah tentu pada ketika itu, keuntungan yang dijana oleh syarikat dapat menarik pelabur untuk memiliki saham syarikat tersebut.

Berita-berita yang keluar di dada akhbar turut mempengaruhi prestasi saham syarikat. Jika keluar satu berita mengenai inovasi terbaru oleh sesuatu syarikat, maka sahamnya akan naik. Sebaliknya pula jika timbul berita/khabar angin mengatakan yang pengarah sesuatu syarikat adalah seorang perompak, tidak lama masa yang diambil untuk saham syarikat itu jatuh menjunam.

Tapi bagi pelabur biasa seperti kita ini, adalah sesuatu yang sangat rumit dari segi masa dan tenaga untuk mengambil kira semua faktor-faktor dan maklumat-maklumat ini dan kemudian menghasilkan satu keputusan samaada sesuatu saham itu patut dibeli atau tidak.

Lainlah macam syariakt-syarikat pelaburan yang sememangnya mempunyai pakar-pakar penganalisis maklumat yang digaji semata-mata untuk tugas itu. Sebenarnya tidak mustahil untuk pelabur-pelabur kecil seperti kita untuk turut mengaut keuntungan dalam pasaran saham. Syarat utama adalah usaha gigih yang berterusan dan dengan menggunakan kaedah yang betul.

Belajar Daripada Kesilapan

Dalam satu tinjauan pada tahun 1997, majoriti pelabur baru tidak tahu langsung bagaimana mereka memperoleh keuntungan daripada pelaburan mereka. Hanya apabila telah lama masa berlalu barulah mereka dapat mengenalpasti kesan usaha pelaburan mereka bedasarkan peningkatan atau pengurangan portfolio pelaburan mereka.



Biasanya pelabur mahu disanjung atas kejayaan dalam pelaburan dan tidak rela bertanggunjawab atas kerugian yang mereka alami. Oleh sebab itu, pelabur yang overconfident cenderung untuk mendedahkan dirinya kepada terlampau banyak risiko berbanding tahap yang mampu ditampungnya. Kebiasaannya, pelabur yang bersifat overconfident selalunya akan berurusniaga secara keterlaluan, dan ini  akan menambahkan lagi ketidaktentuan dalam pasaran saham.


Overconfident tidak dapat menjadikan seseorang pelabur itu kaya raya dalam pelaburan, tetapi dalam proses untuk menjadi kaya raya, mereka menjadi terlalu overconfident! Jika pelabur yang bersifat overconfident berjaya dalam sesuatu urusniaga, selalunya ia disebabkan oleh nasib dan bukan disebabkan oleh skil pelaburannya. Dan jika pelabur overconfident ini menggunakan skil "nasib" mereka dan tiba-tiba pasaran berubah, mereka akan terjerumus ke dalam situasi yang sukar untuk mereka melepaskan diri dan seterusnya membawa kepada hasil pelaburan yang berkemungkinan gagal dengan teruk!


Orang kebanyakkan yang ingin melabur dan menjadi pelabur selalunya berurusniaga disebabkan oleh keyakinan yang mereka mempunyai maklumat yang boleh digunakan untuk menghasilkan keuntungan dalam sesuatu urusniaga. Tetapi apa yang mereka ada hanya "noise" atau maklumat sampingan yang dirasakan sebagai "hot tips". Mereka berurusniaga kerana dirasakan yang tindakan mereka itu boleh mendatangkan rasa bangga. Rasa bangga jika urusniaga mereka mengena. Tetapi bila apa yang diharapkan tidak tercapai, iaitu kerugian, rasa penyesalan akan timbul serta merta.

Rasa pedih apabila kerugian merupakan perasaan yang paling sukar untuk diterima berbanding sebaliknya, iaitu apabila dalam keuntungan selepas sesuatu urusniaga saham. Selalunya pelabur seboleh-bolehnya tidak mahu merasakan kepedihan menanggung rugi, dengan menjerumuskan dirinya ke dalam rosiko yang lebih tinggi lagi, dengan harapan bahawa dengan pengambilan risiko yang tinggi itu dapat membawa keuntungan padanya dan seterusnya mengelakkan dirinya daripada menanggung kerugian awal.


Bila pelabur merasakan dirinya pasti berada dalam keuntungan, dia merasakan yang dipatut meminimumkan risiko yang dihadapinya dengan menjual sahamnya awal-awal lagi. Dan bila pelabur merasakan dirinya dalam kerugian yang pasti, dia akan menjadi risk-taker dengan sewenang-wenangnya tanpa berfikir panjang.


Melihat dengan objektif keuntungan-keuntungan yang telah diperolehi memang mudah. Taetapi kebanyakkan orang langsung tidak memandang apatah lagi menganalisa kerugian-kerugian yang mereka telah buat.


Analisa yang dibuat terhadap tiap satu urusniaga merupakan satu alat yang paling berguna bagi setiap pelabur. Jangan takut untuk melihat kembali kesilapan-kesilapan yang telah anda buat yang membawa kerugian kepada anda. Walau seteruk mana sekalipun. Kesilapan yang terbesar adalah masih meneruskan sifat overconfident dalam setiap proses pelaburan dan membuat kesilapan-kesilapan yang sama berulang-ulang kali!


Analisa kembali setiap satu urusniaga saham anda dan lihat apa tindakan yang membuatkan anda memperoleh keuntungan dan apa tindakan yang mendatangkan kerugian kepada anda. Bila anda melihat kembali kesilapan yang anda buat, cari pattern atau kesilapan-kesilapan yang selalu anda lakukan yang anda tidak perasan yang anda sedang lakukan ketika itu. Kemudian tulis nota tentang kesilapan tersebut dan setkan rulees/peraturan untuk anda ikuti yang dapat mengelakkan kesilapan itu daripada berulang kembali.


Perlu diingat, mengakui dan mempelajari segala kesilapan yang telah anda lakukan adalah satu proses yang tepat dan terbaik untuk anda menjadi seorang pelabur yang lebih berjaya.

Isnin, 21 Mac 2011

13 Mei - Orang Banjar vs Orang Cina

Dalam setiap Perhimpunan Agung Umno sibuk menyatakan tentang ketuanan Melayu. Berbagai isu perjuangan tentang Melayu di suarakan. Beberapa isu yang selalu diutarakan ialah tentang Dasar Ekonomi Baru dan peristiwa 13 Mei.



Dalam satu temu-ramah Mingguan Malaysia dengan Prof. Emeritius Dato’ Dr. Khoo Kay Kim (selepas perhimpunan agung Umno, lebih kurang 2 tahun lepas) satu muka surat penoh, tentang perkauman di Malaysia beliau menyatakan pergaduhan kaum di Malaysia bukanlah antara Cina dan Melayu. Beliau menyatakan pergaduhan kaum adalah antara kaum Cina dan orang Banjar.



Beliau merujuk kepada peristiwa dalam zaman Darurat / zaman Kominis bermaharajalela (Emergency), 13 Mei, dan peristiwa Kampung Medan. Semasa zaman Darurat dan peristiwa 13 Mei, orang-orang Banjar Sungai Manik dan Batu Pahat banyak memainkan peranan. Antara nama yang mashor adalah Kiyai Salleh dari Batu Pahat.



Dalam tahun 60′an dan 70′an ramai orang-orang Banjar Bagan Datoh dan Sg. Manik yang berhijrah ke Kuala Lumpur tinggal dikawasan Kampung Medan, Batu 8, Jalan Kelang Lama. Antara Taiko(hero) Banjar Bagan Datoh yang tinggal di Kg Medan adalah Mail Lompak dan Ahmad Panjang (digeruni oleh gangster-gangster sekitar Petaling Jaya).



Isnin, 14 Mac 2011

Harga minyak jatuh di bawah AS$99 setong

HARGA minyak mentah New York yang diniagakan di pasaran elektronik Asia jatuh di bawah AS$99 setong semalam selepas gempa bumi dan tsunami yang memusnahkan wilayah timur laut Jepun dijangka menjejaskan permintaan daripada ekonomi ketiga terbesar dunia itu.



Minyak mentah penanda aras bagi penghantaran April susut AS$2.28 untuk ditutup pada AS$98.88 setong pada dagangan elektronik di New York Mercantile Exchange, selepas kontraknya jatuh AS$1.54 kepada AS$101.16 pada Jumaat lalu. Di LONDON, minyak mentah Brent pula susut AS$1.63 pada AS$112.21 setong di pasaran hadapan ICE. Pegawai menganggarkan ombak setinggi 10 meter yang dicetuskan oleh gempa bermagnitud 8.9 di pantai timur laut Jepun membunuh sekurang-kurangnya 10,000 penduduk dan mengakibatkan kerosakan teruk infrastruktur tenaga negara itu.



Purata saham penanda aras Nikke 225 merosot lebih enam peratus semalam.



“Bencana ini memberi kesan kebekuan sementara ke atas ekonomi ketiga terbesar dunia,” kata Richard Soultanian dari NUS Consulting.



“Adalah jelas permintaan Jepun untuk minyak mentah akan merosot dalam jangka terdekat dan ini akan mengakibatkan kelembapan yang sebelumnya tidak dijangka dalam pasaran minyak antarabangsa,” katanya.

Tiga daripada lima loji penapis terbesar Jepun terpaksa ditutup, menjejaskan permintaan terhadap minyak mentah.



Jepun adalah pengguna minyak mentah ketiga terbesar dunia, iaitu 4.5 juta tong sehari selain pengimport bersih minyak kedua terbesar serta pengimport terbesar gas asli cair dan arang batu.



Peniaga juga semalam membuat jualan berikutan angka jualan runcit Februari Amerika Syarikat mengecewakan, memberi petunjuk kenaikan harga minyak mentah baru-baru ini mula menjejaskan permintaan bahan bakar. – AP

Industri perbankan negara kekal kukuh - Kedudukan modal mantap, aset berkualiti

INDUSTRI perbankan negara kekal kukuh dan dijangka terus menjana keuntungan meskipun masih berlaku ketidaktentuan pasaran global berikutan kedudukan modal yang mantap serta kualiti aset kukuh. Pengerusi Public Bank Bhd, Tan Sri Dr Teh Hong Piaw, berkata bagaimanapun ia bergantung kepada strategi perniagaan institusi perbankan masing-masing khususnya ketika berdepan dengan persaingan yang semakin kompetitif dalam sektor berkenaan. Katanya, keputusan kewangan yang tertinggi dicatat kumpulan Public Bank pada tahun kewangan 2010 mengesahkan keberkesanan strategi perniagaannya dan yakin kumpulan berada di kedudukan baik untuk memenuhi sebarang cabaran mendatang dan akan terus berusaha bagi mengekalkan prestasi keuntungan kukuh tahun ini.



“Kumpulan Public Bank akan terus berusaha mencapai pertumbuhan kukuh dalam segmen pemberian pinjaman dan pengambilan deposit, mempercepat dan mempelbagaikan pertumbuhan hasil berasaskan yuran, serta meningkatkan lagi kecekapan kos dan pulangan ekuiti.



“Kumpulan juga akan terus mengimbangi potensi keperluan bagi modal ekuiti yang lebih tinggi untuk pertumbuhan perniagaan, selain memaksimumkan pulangan pemegang saham,” katanya menerusi satu siaran akhbar dikeluarkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam.



Kumpulan Public Bank mencatat dua rekod baru dalam tahun kewangan 2010.

Ia mencatat keuntungan sebelum cukai tertinggi berjumlah RM4.09 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding RM3.32 bilion tahun sebelumnya.



Keuntungan bersihnya pula meningkat 21 peratus kepada RM3.05 bilion tahun lalu daripada RM2.52 bilion tahun sebelumnya, melepasi paras RM3 bilion buat pertama kalinya.



Prestasi keuntungan teguh itu disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh dalam pendapatan faedah bersih, pertumbuhan kukuh pinjaman dan deposit pelanggan teras, serta pengukuhan dalam kualiti aset.



Hong Piaw berkata, perubahan yang pasti berlaku kepada kerangka kerja modal pengawal seliaan di bawah piawaian Basel 3 bermakna bank-bank secara amnya perlu mengekalkan tahap modal pemegang saham lebih tinggi untuk menyokong perniagaan masing-masing.



Beliau berkata, pihaknya yakin Kumpulan Public Bank dapat menghadapi cabaran berkenaan berdasarkan keupayaan penjanaan perolehan yang kukuh, profil kunci kira-kira teguh dan kualiti aset mantap.



“Jika tiada apa yang akan berlaku di luar jangkaan, Kumpulan Public Bank dijangka mengekalkan momentum perolehannya dan terus mencatat prestasi memuaskan pada 2011,” katanya.



Terdahulu pada sesi soal-jawab, Hong Piow berkata, Public Bank berhasrat mengurangkan nisbah pinjaman terjejasnya kepada bawah satu peratus pada masa depan, disokong dasar peminjaman berhemat dan asas pelanggan sihat.



Beliau berkata, nisbah pinjaman terjejas kumpulan ialah pada 1.1 peratus pada 2010, yang sememangnya rendah berbanding nisbah pinjaman terjejas kasar industri perbankan Malaysia sebanyak

Kesan tsunami hanya sementara

pix_gal0
Saham Nikkei menjunam tetapi pasaran serantau hampir tidak berubah


KESAN insiden gempa bumi dan tsunami serta kebocoran loji nuklear Jepun ke atas pasaran saham tempatan serta serantau setakat ini adalah bersifat sementara dan terhad berikutan perkara itu berlaku di luar dugaan pelabur, kata penganalisis. Bursa Malaysia dan pasaran saham utama serantau semalam ditutup hampir tidak berubah walaupun Indeks Nikkei 225 di Bursa Tokyo menjunam 6.18 peratus atau 633.94 mata kepada 9,620.49 mata, penurunan paling tertinggi sejak Disember 2008. Pada akhir dagangan, penanda aras utama Bursa Malaysia, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI), hanya mengalami penyusutan 0.02 peratus atau 0.27 mata untuk ditutup pada 1,495.35 mata.



Sementara itu, pasaran saham serantau lain seperti Hong Kong bagaimanapun tidak terjejas dengan Indeks Hang Seng melonjak 0.41 peratus atau 96.10 mata kepada 23,345.88 mata, manakala Indeks Komposit Shanghai China meningkat 0.17 peratus atau 5.11 mata kepada 2,938.91 mata dan pasaran saham Jakarta bertambah 0.78 peratus atau 27.61 mata kepada 3,569.84.



Penganalisis berkata, suasana jualan panik hanya berlaku di Bursa Tokyo susulan ketidaktentuan kesan langsung akibat kemusnahan dialaminya, sekali gus menyebabkan sebahagian besar pelabur dari beberapa negara lain menarik keluar pelaburan masing-masing.



Ketua Penganalisis OSK Research Sdn Bhd, Chris Eng, berkata meskipun beberapa kawasan aktiviti ekonomi negara itu mengalami kemusnahan, namun kebanyakan pelabuhan serta kawasan industri utama lain kekal dalam keadaan baik.

Susulan itu, ia dilihat tidak akan memberikan kesan negatif yang ketara kepada ekonomi Malaysia serta usahawan tempatan buat masa ini.



“Gempa bumi dan tsunami terburuk dalam sejarah di Jepun itu dijangka hanya akan menjejaskan sentimen jangka pendek pasaran saham tempatan dan kesannya juga terhad kerana beberapa pelabuhan utama di Jepun serta kawasan industrinya masih beroperasi dengan baik.



“Ia juga dijangka memberi kelebihan kepada sektor tertentu seperti balak dan keluli yang dijangka akan menerima peningkatan permintaan kerana sumber itu diperlukan untuk membina semula bandar dan rumah yang musnah dan sebagainya,” katanya dalam nota penyelidikan firma penyelidikan ekuiti itu semalam.



Penganalisis TA Securities, Kaladher Govindan pula berkata, di sebalik kejadian malang itu, pelabur akan menyedari bahawa Jepun memerlukan sumber baru untuk membina semula bandar dan kediaman, memulihkan bekalan tenaga, makanan, perubatan, memastikan air bersih mencukupi dan sebagainya.



“Mengambil contoh insiden gempa bumi di Kobe pada 1995, kami dapati indeks bursa tempatan yang susut 8.02 mata atau 0.9 peratus sehari selepas insiden dan 48 mata lagi pada minggu selepas itu, sebelum pulih kembali sebulan kemudian.



“Dari segi ekonomi, pada 1995 jumlah eksport dan import Jepun telah meningkat masing-masing pada kadar 2.6 peratus dan 12.3 peratus.



“Oleh yang demikian, permintaan bagi komoditi berkemungkinan akan meningkat apabila keadaan kembali reda, sekali gus memanfaatkan sektor perladangan, minyak dan gas, keluli dan balak,” katanya.



Namun, jelas, terdapat kemungkinan berlaku keadaan turun-naik pasaran dalam jangka terdekat susulan aktiviti pengimbangan semula portfolio khususnya oleh pengurus dana Jepun yang menjual dagangan untuk dibawa pulang ke negaranya.





Pelabur Jepun dijangka jual aset di luar negara

PELABUR Jepun dijangka menjual aset masing-masing di luar negara dan membawa pulang dana bagi membantu membiayai proses pembinaan semula beberapa bandar di negara mereka yang musnah akibat bencana gempa bumi dan tsunami, beberapa hari lalu. Langkah itu dijangka akan mengheret turun nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding yen dan akan menyebabkan kejatuhan ketara dalam perbendaharaan kerana bon kerajaan AS adalah aset pilihan di kalangan pelabur Jepun, kata penganalisis pasaran. Harga saham di pasaran New York juga dijangka berdepan tekanan. Syarikat insurans Jepun dijangka akan menjual beberapa aset masing-masing yang paling cair seperti Perbendaharaan AS bagi membolehkan mereka bertindak balas ke atas bencana terburuk negara itu sejak Perang Dunia Kedua.



Krisis itu boleh menyebabkan kerugian diinsuranskan bernilai hampir AS$35 bilion (RM106.1 bilion), kata syarikat pemodelan risiko, AIR Worldwide, sekali gus menjadikannya bencana paling mahal dalam sejarah iaitu hampir separuh daripada nilai kerugian keseluruhan bencana alam seluruh dunia bagi industri insurans.



Peniaga berdepan dengan kemungkinan itu pada Jumaat lalu, apabila nilai yen melonjak dan perbendaharaan menjunam.



Bank of Japan mungkin akan menyuntik wang ke dalam sistem bagi mengehadkan kecairan aset.

Bagaimanapun, persoalan besar adalah berapa banyak jualan susulan akan dilakukan.



Naib Pengerusi firma bernilai AS$150 bilion Loomis Sayles, Dan Fuss, memberitahu Reuters bahawa jangkaan terbaik adalah perbendaharaan akan terus menyaksikan kerugian.



Memandangkan Jepun adalah pemegang hutang kerajaan AS kedua terbesar dan mempunyai hampir AS$900 bilion dalam rizab dolar, Fuss berkata negara itu mungkin akan menggunakan rizab terbabit bagi tujuan pembinaan semula.



“Pembeli bon yang besar dibawa keluar dari pasaran,” kata Fuss sambil menambah bahawa Jepun ‘kurang mampu untuk menambah rizab mereka dan membeli Perbendaharaan’.



Krisis di Jepun itu juga akan memberikan alasan baru kepada tekanan ke atas penarikan saham yang ditunggu sekian lama.



Ramai pelabur bergantung kepada harga minyak yang susut pada Jumaat lalu berikutan kebimbangan gempa bumi di Jepun, akan menjejaskan sentimen ekonomi.



Ia muncul selepas mencecah paras tinggi berikutan rusuhan di Afrika Utara dan Asia Barat, tetapi ketegangan di rantau itu berterusan pada hujung minggu. – Reuters

Bahana gabungan 3 bencana

Bencana gempa bumi, tsunami dan ancaman radiasi di dua buah reaktor nuklear Jepun bakal menyaksikan ekonomi ketiga terbesar dunia itu bakal jatuh lebih teruk daripada jangkaan awal.



Kekurangan tenaga dan kemungkinan untuk menaikkan kadar cukai dilihat semakin memberi tekanan kepada syarikat dan pengguna, sekali gus memberi kesan kelembapan ekonomi yang lebih teruk selepas gempa bumi di Kobe pada 1995.



Ini didorong oleh faktor harga minyak dan pengukuhan Yen ketika ini serta hutang Jepun yang semakin menimbun.



Bekalan elektrik juga akan diputuskan bermula hari ini dan akan menyebabkan perniagaan serta isi rumah terjejas kerana negara itu sedang bergelut dengan krisis terburuknya selepas Perang Dunia Kedua.



Lebih sejuta rakyatnya hidup tanpa air bersih dan bekalan tenaga di dalam bandar yang telah musnah.



Setelah dibebani hutang yang dua kali ganda saiz ekonominya yang bernilai AS$5 trillion (RM15.13 trillion) selain diancam penurunan penarafan, kerajaan Jepun ketika ini sedang berbincang untuk cukai bagi membiayai kerja-kerja pemulihan.



Pertumbuhan ekonomi Jepun ketika ini adalah lebih baik daripada selepas gempa bumi Kobe.



Bagaimanapun, ia akan mejejaskan keluaran dalam negara kasar (KDNK) beberapa bulan lagi, yang mana negara itu baharu sahaja pulih daripada kemelesetan pada hujung 2010.



"Apabila bercakap mengenai bencana alam, pada awalnya, kamu dapat melihat kejatuhan teruk di dalam pengeluaran, kemudian kamu boleh melihat pemulihan berbentuk V. Tetapi selalunya, setiap orang akan memandang mudah kepada kerosakan tersebut," kata Ketua Ekonomi Global di Societe Generale, Michala Marcussen.



Tambah beliau, bekalan tenaga adalah faktor kritikal, yang mana apabila pengeluaran tenaga terjejas bagi sesuatu tempoh masa, ia akan memberi kesan kepada ekonomi.



Tokyo Electric Power Co. mengumumkan semalam bahawa ia terpaksa memutuskan bekalan tenaga pada musim sejuk, sebagai tambahan pada musim panas.



"Gempa bumi tersebut bakal membuatkan banyak urusan tertangguh, kami akan melihat KDNK terjejas, dan pemotongan bekalan tenaga akan menyebabkan produktiviti merudum," kata Janwillem Acket, Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Julius Baer.



Beliau menganggarkan kesan akan dirasai bagi dua suku berturut-turut namun ia dijangka tidak akan menyebabkan kemelesetan ekonomi.



"Kami tahu kewangan awam sudah lemah, lebih lemah daripada selepas gempa bumi Kobe. Tekanan untuk menaikkan cukai kecemasan adalah tinggi, namun saya tidak fikir ekonomi Jepun akan mengalami kemelesetan semula", katanya kepada Reuters.



Sementara itu, DowJones melaporkan pasaran saham Nikkei menjunam 6.2 peratus kepada 9,620.49 mata yang merupakan kejatuhan terburuk dalam sehari sejak dua tahun lalu.



Mata wang Yen yang melonjak pada paras empat bulan tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan merosot selepas aktiviti penjualan secara besar-besaran di pasaran saham dan bon serta tawaran suntikan dana berjumlah AS$183 bilion (RM552.66 bilion) oleh Bank of Japan.



Langkah tersebut adalah bagi memulihkan keyakinan pasaran.



''Ia merupakan hari penuh emosi bagi pasaran ekuiti Asia, dengan berita-berita terkini mengenai suntikan dana mahupun bencana bakal berlaku ekoran krisis reaktor nuklear,'' kata Chris Weston dari IG Markets kepada DowJones,'' tambahnya. - Agensi



TSUNAMI


Sabtu, 5 Mac 2011

Gabon cari syarikat pembalak Malaysia

Republik Gabon menyediakan pelbagai insentif dan kemudahan infrastruktur serba moden bagi menarik lebih ramai pelabur khususnya dalam industri pembalakkan dari Malaysia.



Gabon yang terletak di timur Afrika merupakan negara yang kaya dengan sumber balak meliputi 85 peratus daripada keluasan negara berkenaan.



Negara yang hanya mempunyai kapasiti penduduk lebih 1.5 juta orang mempunyai iklim yang hampir sama dengan Malaysia dan mengeluarkan balak berkualiti tinggi jenis Okoume atau lebih dikenali sebagai Meranti.



Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan Gabon sangat berminat untuk bekerjasama dengan pelabur dari negara ini berikutan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki menguruskan aktiviti pembalakan secara mapan.



Menurutnya, bagi tujuan tersebut, mereka telah menyediakan hampir 20 peratus daripada ruang Zon Ekonomi Khas (SEZ) yang merupakan projek utama negara tersebut kepada pelabur dari Malaysia.



''Selain itu kerajaan Gabon turun memberikan insentif seperti pengecualian cukai selama 10 tahun, potongan cukai perdagangan, potongan 15 peratus untuk caj elektrik dan pelbagai lagi.



"Mereka juga menggalakkan kehadiran pengusaha sektor huluan dan hiliran daripada industri berkenaan bagi membantu merancakkan ekonomi negara berkenaan,'' katanya semasa sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Peluang Pelaburan Dan Perniagaan Antara Malaysia-Gabon di sini hari ini.



Turut hadir Menteri Air dan Hutan Gabon, Magnagna Christian, Ketua Pengarah Air dan Hutan Gabon, Koumba Nzaou dan Ketua Pengarah Lembaga Perusahaan Kayu Malaysia (MTIB), Jalaluddin Harun.



Pada majlis itu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara kedua-dua negara.



Hamzah berkata, negara itu dianggarkan mempunyai 22 juta hektar hutan dara dengan 12.5 juta daripadanya berpotensi untuk dikomersialkan bagi aktiviti pembalakan.



"Negara berkenaan mempunyai tiga pelabuhan utama dan sebuah lapangan terbang antarabangsa untuk kemudahan perdagangan.



"Rakyat Gabon mempunyai tahap celik huruf yang sangat tinggi untuk rantau berkenaan iaitu lebih 90 peratus. Oleh itu, tidak menjadi masalah kepada mana-mana pelabur tempatan yang berminat untuk melabur di sana,'' jelasnya.



Selain mempunyai kekayaan sumber balak, Gabon juga merupakan negara pengeluar minyak dengan 77 peratus daripadanya dieksport dan sumber mineral mangan dengan kapasiti pengeluaran 3.25 juta tan pada 2008.



Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan perdagangan industri kayu negara, Hamzah berkata tahun lalu sebanyak RM20.34 bilion eksport direkodkan, kurang 15 peratus daripada yang disasarkan.



Menurutnya, ia disebabkan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah yang menyebabkan permintaan terhadap kayu merudum.



''Tahun ini dijangkakan eksport akan lebih baik dengan sasaran sebanyak RM25 bilion.



''Namun begitu jika krisis politik yang berlaku di Timur Tengah berterusan, ini akan menjejaskan sasaran tersebut,'' jelasnya.



Bakal berlaku tekanan inflasi - Mustapa

Pelaburan Malaysia di Asia Barat tidak terjejas meskipun berlaku beberapa kemelut politik di beberapa buah negara itu baru-baru ini.



Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun apa yang nyata berlaku adalah kesan kenaikan harga petroleum akibat ketidaktentuan di negara-negara terbabit.



Selain itu, beliau berkata, tekanan inflasi juga mungkin berlaku dalam jangka sederhana.



"Implikasi lain adalah harga makanan akan meningkat mendadak di seluruh dunia. Itu tekanan yang kita juga rasa di negara ini.



"Dari aspek pelaburan, Malaysia mempunyai harapan yang tinggi dan buat masa ini, pelaburan Malaysia masih stabil,'' katanya selepas melawat kilang baru dan ibu pejabat JF Technology Bhd. (JF Technology) di sini hari ini.



Turut hadir Pengarah Urusan JF Technology, Foong Wei Kuong.



JF Technology dikorporatkan pada tahun 1999 dan menghasilkan lebih 1,000 jenis pin dan ujian penyiasatan untuk pengendali ujian pengeluar alatan tulen (OEM).



Kos pembinaan kilang dan ibu pejabat baru JF Technology ialah kira-kira RM23 juta.



Melalui ibu pejabat baru itu, JF Technology akan bertukar peranan daripada pengeluar ujian peralatan tulen (OEM) kepada pengeluar cip alatan tulen (ODM).



Wei Kuong pula berkata, beliau mahu JF Technology diiktiraf dan dikenali sebagai pemain industri bertaraf dunia dan bukan pemain di rantau ini semata-mata.



Katanya, melalui kemudahan yang baru di ibu pejabat di sini, pasukan kajian dan penyelidikan akan membangunkan ciptaan baru bagi keperluan pembungkusan alat-alat baru termasuk saiz-saiz pad kecil, pin-pin spring dan lain-lain lagi.



"Kami melihat tahun ini sebagai tahun yang menampilkan keterujaan dan operasi yang lancar untuk kumpulan.



"JF Technology dalam kedudukan yang betul untuk menghadapi fasa seterusnya melalui inovasi teknologi dan kecemerlangan perniagaan,'' ujarnya.