Ahad, 8 Ogos 2010

Syarikat Korea minat tubuh operasi di Malaysia

Cheong Ah-Net Network, satu syarikat perubatan dan pergigian Korea yang berpangkalan di Incheon Metro City, merancang menubuhkan satu operasi di Malaysia sebagai sebahagian daripada program pengembangannya.



Naib Presidennya, Kenneth Tak berkata, wakil syarikat itu telah beberapa kali melawat beberapa tempat di Malaysia bagi mengenal pasti lokasi yang betul bagi usahasamanya dan mereka telah berada di Langkawi hari ini kerana pulau ini disifatkannya sebagai satu kawasan berpotensi bagi pelaburan.



Menurut Tak, rakan tempatan syarikat itu telah mencadangkan Kulim dan Langkawi kerana Kulim sedang dibangunkan sebagai kawasan perindustrian manakala Langkawi dibangunkan lebih kepada lokasi pelancongan.



"Kedua-dua tempat itu mempunyai kelebihan. Kami akan mengkaji cadangan itu dan sedang menimbangkannya.



"Kemungkinan kami boleh memberi fokus pada pembedahan pergigian (pembukaan hospital pergigian) di Langkawi. Kami boleh menerima para pelancong sebagai pelanggan kami. Mereka boleh datang ke sini untuk bercuti dan mendapatkan perkhidmatan kami," katanya selepas pertemuan dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini hari ini.



Semasa pertemuan itu, delegasi Korea itu diberi taklimat oleh Pengurus Besar LADA, Azman Umar mengenai Langkawi dan peluang pelaburan di pulau tersebut.



Tak berkata, ahli delegasi itu turut melawat beberapa hospital swasta di Kedah, yang termasuk Pusat Perubatan Kedah di Alor Setar.



"Kami juga ingin mengkaji bidang lain bagi tujuan pelaburan. Kami akan pergi tempat-tempat berkenaan terlebih dahulu. Selepas itu, kami akan membincangkan dengan rakan kami mengenai pelan pelaburan berkenaan," katanya.



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NNF Construction Sdn. Bhd. Datin Na'emah Ishak, yang membawa syarikat dari Korea itu ke Malaysia berkata, syarikat itu berminat untuk melabur di Malaysia untuk memindahkan kepakaran mereka dalam bidang 'implan pergigian' ke Malaysia.



Katanya, mereka bercadang mewujudkan hospital bagi tujuan itu yang disasarkan terhadap pelancong asing dan Langkawi dilihat sesuai dengan hasrat syarikat itu.



"Walaupun ada peluang perniagaan lain, syarikat ini lebih berminat kepada perubatan dan pergigian untuk memulakan operasi mereka di Malaysia," katanya. - BERNAMA

Penyedia minyak, gas jangka terima kontrak RM15 bilion

Penyedia minyak dan gas Malaysia dijangka memperoleh kontrak bernilai sekurang-kurang RM10 hingga RM15 bilion dalam tempoh 18 bulan akan datang, kata ECMLibra Investment Research.



Firma itu berkata, industri perkhidmatan minyak dan gas kelihatan menyakinkan dan cergas memandangkan pelbagai projek masa depan yang dijangka diselesaikan antara 2013 dan 2015.



"Projek-projek tersebut berkaitan dengan projek pemulihan minyak dipertingkat, laut dalam, hiliran daratan dan juga lapangan marginal.



"Petronas telah pun menunjukkan bahawa sudah sampai masanya untuk meningkatkan pelaburan dalam negeri memandangkan penurunan pengeluaran tempatan dan kami percaya projek pembangunan semula seperti Tapis akan menjadi yang pertama mengorak langkah," kata ECMLibra dalam nota penyelidikannya hari ini.



Firma penyelidikan itu berkata, Tapis dijangka bermula tidak lama lagi diikuti oleh projek laut dalam dan kemudiannya projek reka bentuk dan kejuruteraan.



"Kami percaya, projek fabrikasi utama bagi pelantar pemprosesan pusat, penggantian kepala telaga dan penggantian saluran paip akan turut bermula tidak lama lagi," kata firma itu.



"Projek-projek tersebut dinilai melebihi US$1 bilion (RM3.15 bilion) dan Malaysian Marine and Heavy Engineering Holdings (MMHE) Bhd., Kencana dan Sime Engineering sepatutnya menjadi antara peneraju utama sebagai pembina," kata firma itu.



Sama seperti Tapis, SapuraCrest mungkin membida kerja-kerja pemasangan dan Wah Seong membida projek penyalutan.



"Dengan barisan projek di masa depan, kami melihat 2011 sebagai tahun yang cergas bagi industri. Kami mengekalkan pendirian positif kami dalam sektor tersebut dengan pilihan utama ialah SapuraCrest, Wah Seong dan Dayang," kata ECMLibra.



Ia berkata, penyenaraian MMHE tidak lama lagi juga bakal menjadi pemangkin bagi pengumuman projek-projek baharu dalam industri. - BERNAMA