Isnin, 22 Februari 2010

YTL beli sejuta cip tunggal WiMAX bagi rangkaian 4G

 YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Com.) hari ini mengumumkan pembelian sejuta unit cip tunggal WiMAX GDM7205 dan cip mod dua hala tunggal GDM7215 WiMAX/Wi-Fi dari pembekal peneraju WiMAX global, GCT Semiconductor (GCT).

GCT merupakan peneraju pembekal penyelesaian WiMAX bergerak yang berpusat di Amerika Syarikat.

YTL Com. dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, perjanjian pembelian itu menunjukkan komitmen YTL dan tanda dedikasi GCT yang menyokong sepenuhnya penggunaan rangkaian perkhidmatan 4G di seluruh negara.

Kata kenyataan itu, GCT akan berkongsi kepakaran teknikal dan menyediakan YTL Com. dengan kemajuan cip WiMAX kuasa terendah yang boleh didapati di pasaran hari ini.

"Ini menjadikan visi YTL Com. untuk mencipta ekosistem lengkap dengan perkhidmatan Internet telefon menggunakan 4G menjadi kenyataan,'' kata kenyataan tersebut.

YTL Com. mahu menjadi pertama dalam dunia melancarkan rangkaian 4G seluruh negara menawarkan hubungan seni internet bergerak ke Malaysia.

GCT merupakan peneraju pasaran dalam menyediakan penyelesaian cip tunggal dunia WiMAX.

GCT memegang status penguasaan pasaran terbesar berdasarkan jualan set cip WiMAX dan beberapa pelanggan WiMAX baru-baru ini menggunakan teknologi GCT.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Com., Wing K. Lee berkata, pengumuman yang dibuat hari ini merupakan batu loncatan kepada YTL.

Katanya, memacu skala ekonomi merupakan keutamaan dalam usaha pembangunan ekosistem syarikat seperti mana syarikat membangunkan rangkaian 4G pertama di seluruh dunia.

"Dalam sejarah WiMAX, ia merupakan perkara yang signifikan bagi memastikan masa depan pelanggan akan menikmati harga yang terbaik dalam produk dan penyelesaian 4G,'' ujarnya.

Date : 22 Feb 2010


Great Eastern hampir miliki Tahan Insurance

Great Eastern Holdings Ltd. (Great Eastern) hampir pasti untuk memiliki perniagaan insurans am, Tahan Insurance Malaysia Bhd. (Tahan Insurance).

Menurut kenyataan dikeluarkan, Great Eastern telah meneruskan rundingan untuk memiliki segmen perniagaan tersebut.

''Syarat dan terma bagi pembelian tersebut perlu mendapat kelulusan pihak berwajib.

''Sekiranya pengambilan alihan tersebut dimuktamadkan ia tidak melibatkan transaksi besar di bawah peraturan penyenaraian Singapore Exchange Securities Trading Limited,'' katanya.

Pada bulan lalu, Tahan Insurance telah menawarkan untuk menjual perniagaan insurans amnya kepada pihak yang berminat.

Great Eastern telah menerima pelawaan tersebut.

Great Eastern dimiliki sepenuhnya oleh Great Eastern Holdings Ltd. dan syarikat induknya adalah Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd. (OCBC).

Difahamkan sekiranya rundingan itu berjaya, Great Eastern, salah sebuah syarikat insurans terbesar di negara ini, dijangka bakal mengukuhkan kedudukannya dalam segmen insurans am di Malaysia.

Syarikat tersebut menawarkan pelbagai produk seperti pelan insurans hayat, pelan berkaitan pelaburan, perlindungan gadai janji, perlindungan perniagaan, manfaat pekerja, insurans perubatan dan skim manfaat kesihatan kumpulan.

Great Eastern kini dikatakan berada di landasan yang betul untuk menjadi peneraju penyedia perkhidmatan kewangan di Asia.


Date: 22/2/2010