Jumaat, 7 Januari 2011

Felda sanggup beli QSR, KFCH

Felda sanggup membeli QSR Brands Bhd. (QSR) dan KFC Holdings Bhd. (KFCH) jika Johor Corporation (JCorp) benar-benar mahu menjual dua entiti tersebut bagi mengatasi beban hutangnya.


Pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad berkata, ia memiliki pengalaman serta kekuatan bagi mengendalikan entiti besar termasuk mampu menawarkan pasaran yang besar berlandaskan masyarakat Felda yang besar


Katanya lagi, jika pembelian itu benar-benar berlaku, ia bakal membuka peluang ekonomi baru kepada generasi kedua Felda seperti peluang pekerjaan dan penyertaan ke dunia korporat terutamanya industri makanan halal yang ditawarkan melalui rangkaian restoran KFC.


"Felda mempunyai kemampuan. Malah, jika setiap seorang masyarakat Felda membeli produk KFC sehari, keuntungan besar mampu dicapai," katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis menandatangani memorendum persefahaman (MoU) di antara Felda, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan KFCH di sini hari ini.


Di bawah MoU itu, ketiga-tiga pihak terbabit akan memberi pendidikan berterusan kepada belia Felda melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan milik KFCH iaitu KFCH International College dengan memberi pendedahan kepada sistem pengurusan restoran KFC.


Program pendidikan tersebut terbuka kepada belia Felda yang tidak memiliki pencapaian pendidikan yang tinggi.


Selain itu, golongan ibu tunggal dan suri rumah Felda juga dibenarkan menyertai program tersebut bagi menambahkan ilmu perniagaan.


Hadir ialah Pengerusi KFCH, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Pengarah Urusan KFCH, Jamaludin Md. Ali, Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab dan Presiden MBFM, Anuar Abdul Manap.


JCorp mendapat perhatian dunia korporat baru-baru ini berikutan desas-desus ia mahu menjual QSR dan KFCH bagi mengurangkan beban beban hutangnya.


Bagaimanapun, pada 27 Disember lalu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kasim menegaskan pihaknya tidak berhasrat untuk menjual aset-aset berharga, iaitu QSR dan KFCH, yang dipegang melalui anak syarikatnya Kulim (M) Bhd. (Kulim)


Sebaliknya, beliau menegaskan QSR dan KFCH akan kekal sebagai aset berharga dan strategik bagi JCorp dan tidak munasabah untuk menjual perniagaan teras JCorp.


Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Ali berkata, jika terdapat perletakkan harga yang bersesuaian untuk membeli QSR dan KFCH, kedua-duanya boleh dijual memandangkan ia sebuah syarikat senaraian awam yang keputusannya ditentukan oleh pemegang sahamnya.


"Sama ada Felda hendak membeli QSR. Itu bukan bidang kuasa saya, soalan itu perlu ditanya kepada Pengerusi Felda sendiri," katanya.


Sementara itu, Jamaludin berkata, sebanyak 25 buah restoran KFC akan dibuka tahun ini diseluruh negara dengan anggaran pelaburan bernilai RM25 juta.


"Daripada jumlah itu, 15 buah akan disertakan dengan kemudahan pandu lalu (drive through) dan sebanyak 20 buah restoran Pizza Hut pula akan dibuka diseluruh Malaysia dengan pelaburan sebanyak RM20 juta," ujarnya.

















OSyS jadi pilihan AGTS

Optimized Systems and Solutions (OSyS) telah dipilih oleh Advance Gas Turbine Solutions Sdn. Bhd. (AGTS) untuk menyediakan khidmat pengurusan boleh guna peralatan (EHM) kepada pelanggannya di Malaysia.



Naib Presiden Serantau Asia Pasifik OSyS, Winston Milner berkata, penganugerahan ini menandakan pembangunan penting untuk OSyS meluaskan portfolio mereka dalam sektor tenaga di rantau Asia Pasifik.



''Kami berpuas hati dengan kerjasama ini dan akan menyokong AGTS dalam pembangunan berterusan perkhidmatan penyelengaraan kapal mereka.



''Kami teruja dengan peluang untuk membangunkan skil EHM di dalam AGTS dan rantau ini,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.



Penyedia penyelesaian OSyS EHM menyediakan perbandingan kritikal untuk sektor tenaga, yang memerlukan kecekapan minyak, mengurangkan kesan alam dan keupayaan tertinggi dengan mengakses serta menilai lima data operasi dari perlatan yang telah dipasang.



Melalui analisis data dan trend mengenalpasti, EHM akan mengunjurkan bila peralatan operasi kritikal perlu pemeriksaan atau penyelenggaraan.



''Di dalam industri minyak dan gas, sebarang pemberhentian secara tidak berjadual mempunyai impak besar terhadap kewangan dan kemanusiaan. Tanpa pengesanan dan tindakbalas yang cepat, satu masalah yang kecil boleh mengakibatkan kos yang amat tinggi.



''Sehubungan itu, mengurus dan mengoptimum kan pembaikan secara efektif adalah kunci untuk memastikan kecekapan yang maksimum, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos khidmat,'' kata Pengurus Besar AGTS, Robert Bouwens.



OSyS merupakan anak syarikat milik penuh Rolls-Royce, berpengalaman lebih sedekad dalam memberikan perkhidmatan EHM kepada pelbagai pasaran global termasuk minyak dan gas, penerbangan dan sektor nuklear.



FBM KLCI catat rekod lima hari berturut turut

Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mengenepikan sentimen yang kurang memberangsangkan di pasaran-pasaran serantau untuk mencatatkan paras tinggi baharu dan kali ini, ia didorong oleh saham-saham berkaitan telekomunikasi.



Pada penutup, FBM KLCI mengakhiri paras tinggi sehariannya iaitu 1,573.63 untuk ditutup pada 1,572.21, naik 3.84 mata, sekali gus mengekalkan pengukuhannya untuk hari kelima berturut-turut. Ia dibuka 5.11 mata lebih tinggi pada 1,573.48.



Saham untung mengatasi saham rugi dengan 526 berbalas 324."Ia merupakan perolehan mingguan terbaik iaitu 3.1 peratus dan jumlah dagangan mingguan terbaik dalam enam bulan," kata Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment, Dr Nazri Khan.



Indeks Kewangan susut 9.18 mata kepada 14,416.01 dan Indeks Perusahaan menokok 1.63 mata kepada 2,929.06 dan Indeks Perladangan merosot 53.28 mata kepada 8,248.43. Indeks FBM Emas melonjak 35.89 mata kepada 10,791.87, Indeks FBM Ace mengembang 65.32 mata kepada 4,492.46 dan Indeks FBM70 naik 45.09 mata kepada 11,476.83.



Jumlah dagangan ialah 2.536 bilion saham bernilai RM3.454 bilion, lebih rendah daripada 2.204 bilion saham bernilai RM3.141 bilion semalam.



Saham-saham aktif, SAAG Consolidated naik 1.5 sen kepada 10.5 sen, Talam turun setengah sen kepada 9.5 sen dan Hubline mengembang 1.5 sen kepada 24.5 sen.



Di kalangan saham berwajaran tinggi, CIMB Group dan Sime Darby, masing-masing berkurangan tiga sen kepada RM8.93 dan RM9.37, Petronas Chemicals melonjak empat sen kepada RM5.96, Genting kekal pada RM11.30 dan Maxis lega satu sen kepada RM5.35.



Di pasaran Utama, jumlah dagangan menambah kepada 2.115 bilion saham bernilai RM3.351 bilion daripada 1.816 bilion unit bernilai RM3.051 bilion semalam.



Waran menokok kepada 292.271 juta saham bernilai RM74.636 juta daripada 268.861 juta unit bernilai RM63.991 juta sebelumnya.



Jumlah dagangan di Pasaran Ace mengukuh kepada 112.671 juta saham bernilai RM22.547 juta daripada 100.726 juta unit bernilai RM15.693 juta pada hari Khamis. - Bernama



Bursa Malaysia cecah 1,730 mata akhir tahun

Indeks Komposit Bursa Malaysia (FBM KLCI) bakal meningkat 10 peratus dan mencecah 1,730 menjelang akhir tahun, kata sebuah firma penyelidikan tempatan, HwangDBS Vickers Research Sdn. Bhd. (HwangDBS) hari ini.


Pengarah Eksekutif dan Ketua Penyelidik HwangDBS, Wong Ming Tek berkata, penanda aras utama pasaran saham tempatan, masih mempunyai ruang untuk terus meningkat, didorong oleh pengukuhan ringgit dan kecairan yang tinggi.


"Berdasarkan aliran yang berlaku, apabila ringgit mengukuh, FBM KLCI juga akan naik, " katanya semasa Taklimat Jangkaan Masa Depan Strategi Pasaran dan Sektor Perbankan 2011 di sini hari ini.


Beliau turut meramalkan ringgit akan mengukuh sehingga RM2.96 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun.


Selain itu, pemulihan ekonomi serta program-program transformasi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan pasaran modal negara tahun ini.


Menurut Ming Tek, antara sektor yang bakal mendapat tumpuan pada tahun ini adalah pembinaan, perbankan, minyak dan gas, hartanah dan peladangan.


" Kami menjangkakan projek aliran transit massa (MRT) yang bernilai RM36 bilion adalah projek pemangkin kepada sektor pembinaan kerana ia bakal memberi impak positif kepada semua, " katanya.


Berdasarkan faktor-faktor tersebut, Ming Tek mengunjurkan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) tumbuh 5.5 peratus tahun ini dan 7.2 peratus bagi tahun 2010.


"Tahun lalu, ekonomi negara sedang mengalami pemulihan dan pada 2011 ia dijangka akan mula kembali sediakala, " katanya.





































Tidak berdaya harungi kemelesetan

Para pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) percaya mereka tidak mempunyai rizab tunai yang cukup sekiranya berlaku satu lagi kemelesetan ekonomi, demikian menurut hasil satu kaji selidik di sini.



Kajiselidik yang dilakukan Forbes Insights menunjukkan kebanyakan PKS percaya kemelesetan terburuk telah berlalu dan antara 31 dan 54 peratus yang dikaji menyatakan kebimbangan tidak mampu mengharungi kemelesetan baharu.



Kaji selidik itu dilakukan dengan kerjasama antara Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA),



Persatuan Akauntan Umum Bertauliah Kanada (CGA-Canada) dan CNDCEC yang merupakan badan profesional akauntan bertauliah di Itali.



Kajian itu bertajuk 'PKS: Membina semula Asas untuk Pertumbuhan selepas Pemulihan' melibatkan lebih 1,750 PKS dengan 30 peratus terlibat dalam perniagaan mikro yang menggajikan kurang dari 10 orang.



Kaji selidik itu juga mendapati kemelesetan telah memaksa para pengusaha PKS menjadi ahli perniagaan lebih baik dan sekiranya perlu mengambil risiko, mereka dapat mengawalnya.



Kaji selidik itu juga mendapati perniagaan yang menerima nasihat profesional atau pakar mencatatkan prestasi lebih baik kerana ia memberikan PKS keyakinan untuk mengharungi sebarang cabaran.



Kaji selidik itu juga telah membuat beberapa saranan seperti PKS perlu menimbang faktor seperti peningkatan kadar faedah, kerajaan perlu memberi komitmen terhadap dasar pencukaian, monetari dan peraturan selain mengukuhkan jaminan pinjaman kepada PKS.



Selain itu, lebih banyak syarikat perlu meneroka pembiayaan rantaian bekalan, penasihat perniagaan dan syarikat dibiayai kerajaan perlu mengutamakan menambah baik kredit dan kesediaan pelaburan.



''Penyedia modal mesti jelas terhadap kriteria pinjaman atau pelaburan dan menimbangkan keperluan keselamatan dan perniagaan perlu menggunakan maklumat pembiayaan dan kredit terhadap pelanggan serta bakal rakan dagangan mereka.



''Kerajaan juga perlu mengenal pasti kepentingan kritikal kredit dagangan, penasihat perniagaan perlu melihat PKS yang kurang modal dan mereka juga perlu menerima nasihat profesional,'' tambah kaji selidik itu.



Ketua Negara ACCA Malaysia, Jennifer Lopez berkata, dua tahun lalu merupakan tahun mencabar bagi PKS tetapi mereka dapat bangkit menjadi lebih kuat, mempunyai kawalan dan optimistik.



''Tetapi pemulihan, seperti sekarang memberikan risiko yang unik. Kaji selidik ini menunjukkan mempunyai kelengkapan, sokongan dan keyakinan untuk melepasi risiko ini memberi perbezaan kepada PKS untuk terus tumbuh atau kekal di tahap sekarang.



''Oleh itu di peringkat tempatan, inisiatif seperti pembangunan PKS sebagai enjin pertumbuhan dan inovasi dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK 10) dan Pelan Induk 10 tahun adalah dihargai,'' kata beliau.



Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, walaupun terdapat tanda-tanda pemulihan tetapi sektor PKS masih belum benar-benar pulih.



''Kami percaya ia adalah penting untuk memahami isu dihadapi oleh sektor ini dan berdasarkan kaji selidik itu beberapa perkara perlu dilaksanakan oleh pembuat polisi dan mereka yang terlibat,'' katanya.



Harga MSM lepasi paras RM4,000 setan

Harga minyak sawit mentah (MSM) telah disemak semula dengan dinaikkan sebanyak 13 peratus kepada RM3,400 setan tahun ini daripada RM3,000 setan sebelumnya, kata MIDF Research.



Firma penyelidikan itu juga menjangka harga MSM melepasi paras RM4,000 setan pada suku pertama, berikutan permintaan kukuh bagi perayaan Tahun Baru Cina.



"Bagaimanapun, harga tinggi itu mungkin tidak mencukupi untuk menggugat permintaan bagi MSM dan ini akan menyediakan lagi potensi peningkatan jangka pendek bagi harga," kata MIDF Research dalam nota penyelidikannya hari ini.



Katanya, permintaan minyak boleh dimakan dari China kelihatan tidak dipengaruhi oleh turun naik harga dan import tinggi dijangkakan, bagi menambahkan paras inventori bagi perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 3 Februari.



Pada November, meskipun harga MSM mencecah paras tinggi tahunan pertamanya, eksport MSM Malaysia dan Indonesia ke China meningkat masing-masing sebanyak AS$149 juta (RM461) dan AS$454 juta (RM1.4 bilion) bulan ke bulan.



Penggunaan di China dijangka meningkat sebanyak lapan peratus tahun ini.



Permintaan dari India juga kukuh dengan penggunaan berkembang pada 21 peratus setahun bagi lima tahun lepas dan aliran meningkat ini dijangka berterusan.



"Pendapatan yang meningkat di negara kelas pertengahan sedang pesat membangun seperti India dan China dijangka memacu permintaan global bagi minyak sayuran," kata MIDF Research.



Eksport Malaysia ke India meningkat sebanyak AS$28.7 juta (RM88.97 juta) atau 52 peratus bulan ke bulan pada November tahun lepas.



Penggunaan dijangka berkembang pada 10 peratus tahun ini.



MIDF Research berkata ia juga menyemak semula pendapatan syarikat-syarikat di bawah liputannya pada purata 7.5 peratus.



"Kami yakin dengan sektor komoditi pertanian terutamanya MSM, berikutan pengeluaran global yang lemah, dan permintaan tinggi selain kelemahan dolar AS," kata firma itu.



Saham perladangan bergerak seiring dengan harga MSM. Indeks Perladangan naik 26 peratus tahun lepas dengan 48 peratus kenaikan dalam harga MSM.



Harga MSM juga naik ke paras tertingginya dalam tempoh 33 bulan pada RM3,913 setan pada Selasa manakala Indeks Perladangan naik 2.1 peratus hingga takat ini pada tahun ini.



"Kami menjangka harga MSM meneruskan aliran meningkatnya memandangkan keadaan permintaan-penawaran yang tidak sepadan. Itu akan memberi prospek positif bagi saham perladangan," kata MIDF Research.