Jumaat, 7 Januari 2011

Harga MSM lepasi paras RM4,000 setan

Harga minyak sawit mentah (MSM) telah disemak semula dengan dinaikkan sebanyak 13 peratus kepada RM3,400 setan tahun ini daripada RM3,000 setan sebelumnya, kata MIDF Research.



Firma penyelidikan itu juga menjangka harga MSM melepasi paras RM4,000 setan pada suku pertama, berikutan permintaan kukuh bagi perayaan Tahun Baru Cina.



"Bagaimanapun, harga tinggi itu mungkin tidak mencukupi untuk menggugat permintaan bagi MSM dan ini akan menyediakan lagi potensi peningkatan jangka pendek bagi harga," kata MIDF Research dalam nota penyelidikannya hari ini.



Katanya, permintaan minyak boleh dimakan dari China kelihatan tidak dipengaruhi oleh turun naik harga dan import tinggi dijangkakan, bagi menambahkan paras inventori bagi perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 3 Februari.



Pada November, meskipun harga MSM mencecah paras tinggi tahunan pertamanya, eksport MSM Malaysia dan Indonesia ke China meningkat masing-masing sebanyak AS$149 juta (RM461) dan AS$454 juta (RM1.4 bilion) bulan ke bulan.



Penggunaan di China dijangka meningkat sebanyak lapan peratus tahun ini.



Permintaan dari India juga kukuh dengan penggunaan berkembang pada 21 peratus setahun bagi lima tahun lepas dan aliran meningkat ini dijangka berterusan.



"Pendapatan yang meningkat di negara kelas pertengahan sedang pesat membangun seperti India dan China dijangka memacu permintaan global bagi minyak sayuran," kata MIDF Research.



Eksport Malaysia ke India meningkat sebanyak AS$28.7 juta (RM88.97 juta) atau 52 peratus bulan ke bulan pada November tahun lepas.



Penggunaan dijangka berkembang pada 10 peratus tahun ini.



MIDF Research berkata ia juga menyemak semula pendapatan syarikat-syarikat di bawah liputannya pada purata 7.5 peratus.



"Kami yakin dengan sektor komoditi pertanian terutamanya MSM, berikutan pengeluaran global yang lemah, dan permintaan tinggi selain kelemahan dolar AS," kata firma itu.



Saham perladangan bergerak seiring dengan harga MSM. Indeks Perladangan naik 26 peratus tahun lepas dengan 48 peratus kenaikan dalam harga MSM.



Harga MSM juga naik ke paras tertingginya dalam tempoh 33 bulan pada RM3,913 setan pada Selasa manakala Indeks Perladangan naik 2.1 peratus hingga takat ini pada tahun ini.



"Kami menjangka harga MSM meneruskan aliran meningkatnya memandangkan keadaan permintaan-penawaran yang tidak sepadan. Itu akan memberi prospek positif bagi saham perladangan," kata MIDF Research.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan