Indeks Komposit Bursa Malaysia (FBM KLCI) bakal meningkat 10 peratus dan mencecah 1,730 menjelang akhir tahun, kata sebuah firma penyelidikan tempatan, HwangDBS Vickers Research Sdn. Bhd. (HwangDBS) hari ini.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Penyelidik HwangDBS, Wong Ming Tek berkata, penanda aras utama pasaran saham tempatan, masih mempunyai ruang untuk terus meningkat, didorong oleh pengukuhan ringgit dan kecairan yang tinggi.
"Berdasarkan aliran yang berlaku, apabila ringgit mengukuh, FBM KLCI juga akan naik, " katanya semasa Taklimat Jangkaan Masa Depan Strategi Pasaran dan Sektor Perbankan 2011 di sini hari ini.
Beliau turut meramalkan ringgit akan mengukuh sehingga RM2.96 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun.
Selain itu, pemulihan ekonomi serta program-program transformasi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan pasaran modal negara tahun ini.
Menurut Ming Tek, antara sektor yang bakal mendapat tumpuan pada tahun ini adalah pembinaan, perbankan, minyak dan gas, hartanah dan peladangan.
" Kami menjangkakan projek aliran transit massa (MRT) yang bernilai RM36 bilion adalah projek pemangkin kepada sektor pembinaan kerana ia bakal memberi impak positif kepada semua, " katanya.
Berdasarkan faktor-faktor tersebut, Ming Tek mengunjurkan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) tumbuh 5.5 peratus tahun ini dan 7.2 peratus bagi tahun 2010.
"Tahun lalu, ekonomi negara sedang mengalami pemulihan dan pada 2011 ia dijangka akan mula kembali sediakala, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan