Khamis, 21 Januari 2010

Ekonomi tumbuh lebih tinggi - Deutsche Bank

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Ekonomi Malaysia diunjur mencatatkan pertumbuhan yang lebih teguh, melepasi sasaran kepada 5.5 peratus pada tahun ini.

Jangkaan itu adalah lebih tinggi berbanding unjuran peribadi yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak lima peratus dan kerajaan 3.5 peratus.

Pengarah Urusan dan Ketua Penyelidikan Pasaran-Pasaran Global Asia Pasifik Kumpulan Deutsche Bank, Dr. Michael Spencer berkata, pertumbuhan itu dirangsang kukuh oleh perbelanjaan sebanyak 3.3 kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, pada 2011, sumbangan perbelanjaan swasta dijangka meningkat sebanyak empat peratus.''Perbelanjaan domestik bakal menjadi penyumbang (pada masa depan), bagaimanapun, pada masa ini eksport kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi dengan diunjurkan berkembang lapan peratus pada 2010,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai Tinjauan Ekonomi Malaysia 2010 di sini hari ini.Dalam pada itu, Spencer turut meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 50 mata asas pada separuh kedua tahun ini dan 100 mata asas lagi pada 2011.''(Mungkin) kenaikan pertama dilakukan seawal pada bulan Julai ini,'' katanya.

Ramalan itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan inflasi sudah berada di tahap normal, iaitu dua peratus di Malaysia.Spencer berkata, kebanyakan bank pusat Asia akan meningkatkan kadar faedah sebelum bank pusat Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menaikkan OPR pada suku ketiga tahun ini.

''Kami menjangka AS akan menaikkan kadar purata kepada 90 mata asas dengan jangkaan kenaikan inflasi sebanyak 1.6 peratus antara November 2009 dan Disember 2010,'' katanya.

Beliau tidak menolak India, China dan Filipina akan menjadi negara pertama menaikkan kadar faedah.

Menurut beliau, lonjakan dalam inflasi harga minyak dijangka berakhir pada pertengahan tahun dan kenaikan harga makanan dijangka menyebabkan kadar inflasi di Asia naik kepada 3.6 peratus pada tahun ini berbanding 1.2 peratus pada tahun lalu.
''Polisi monetari yang dilaksanakan semasa kemelesetan ekonomi, menyebabkan kadar inflasi merudum tetapi dijangka berubah tidak lama lagi,'' ujar beliau.

Beliau turut mengunjurkan ringgit akan mengukuh kepada RM3.20 berbanding dolar AS disebabkan sokongan daripada aliran masuk modal ke dalam negara.-BERNAMA