YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Comm.) hari ini melantik ECS ICT Bhd. (ECSB) sebagai pengedar tunggal peranti 4G di Malaysia.
ECSB merupakan antara pengedar terbesar produk teknologi dalam negara akan menjadi pengedar tunggal komponen
YTL Comm., melalui anak syarikatnya ECS Astar Sdn. Bhd. bakal melancarkan perkhidmatan 4G pada 18 November ini.
Menurut Pengarah Eksekutif YTL Comm., Datuk Yeoh Seok Hong, pemilihan ECSB berdasarkan prestasi cemerlang syarikat tersebut menjadi pengedar pelbagai jenama popular berkaitan teknologi seperti komputer riba, mesin pencetak dan perisian komputer.
"Mereka memiliki cawangan yang banyak di seluruh negara dan juga sebagai pengedar produk jenama lain, maka ia meningkatkan keberkesanan pemasaran produk kami kepada pembeli.
"Ia (pelantikan ECSB) juga menjimatkan kos dari segi pengedaran kami selepas pengenalan kepada umum bulan depan," katanya dalam majlis menandatangani kerjasama tersebut di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi ECSB, Datuk Teo Chiang Quan, Pengarah Urusan ECSB, Foo Sen Chin dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Comm., Wing K Lee.
Menurut Sen Chin, kerjasama itu bakal meningkatkan pendapatan syarikatnya bagi tahun kewangan 2011.
"Melalui kerjasama ini, kami akan menyediakan kemudahan logistik melalui 2,500 rangkaian pengedaran kami di seluruh negara. Buat permulaan, kami menumpukan sekitar Lembah Klang dan ia berterusan di seluruh Semenanjung Malaysia secara berperingkat," katanya.
Sementara itu, K Lee berkata, selepas pengenalan rasmi pada 18 November depan, dari semasa ke semasa syarikatnya akan mengumumkan peluasan liputan 4G terutamanya ke bandar-bandar besar dan seterusnya ke kawasan pendalaman.
"Setakat ini kami mempunyai 2,500 stesen pemancar di seluruh Semenanjung dan 1,000 lagi sedia dibangunkan. Dengan itu kami yakin untuk mengekalkan momentum pembesaran liputan kami," katanya.
Dalam pada itu, Seok Hong enggan mendedahkan kadar bayaran yang bakal diletakkan untuk perkhidmatan 4G milik YTL Comm., tetapi menyatakan kadar tersebut adalah kompetitif dan pelanggan tidak akan dikenakan bayaran tambahan yang banyak untuk menggunakannya.