Khamis, 11 November 2010

Tambat semula ringgit

Beliau berkata, kuasa beli rakyat masih rendah biarpun nilai mata wang negara semakin meningkat, sekali gus mendorong kepada penurunan nilai import .

"Kita tidak perlu menghentikan tambatan ringgit kerana kebanyakan negara di dunia sekarang menentukan nilai mata wang mereka mengikut undang-undang.

"Kuasa beli rakyat sepatutnya meningkat apabila mata wang semakin mengukuh kerana mereka sudah mampu membeli barangan dengan harga lebih murah berbanding ketika ringgit berada dalam keadaan lemah nilainya.

"Oleh kerana kita tiada kuasa untuk menentukan nilai ringgit dan memilih untuk memberhentikan tambatan ringgit, kita kena terimalah bahawa kita tidak merasai apa-apa manfaat daripada pengukuhannya," katanya
Dr. Mahathir berkata demikian di dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan di Siri Ceramah Islam Antarabangsa Labuan di sini hari ini.

Beliau menambah, Malaysia sebenarnya mengambil langkah kebelakang apabila membenarkan nilai ringgit ditentukan oleh pasaran terbuka.

"Di dalam perang mata wang hari ini, kita hentikan (menambat ringgit) sedangkan orang lain melaksanakan tindakan yang kita pernah buat dahulu," ujarnya.
Dr. Mahathir, pada September tahun 1998, telah melaksanakan sistem tambatan ringgit, sebagai salah satu reaksi untuk menangani kemelut mata wang Asia Timur 1997-1998 yang melanda Malaysia dan negara-negara rantau ini.

Bagaimanapun, pada 21 Julai 2005, kerajaan memutuskan memansuhkan tambatan ringgit dan nilainya kemudian ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.

Ditanya mengenai prestasi cemerlang Bursa Malaysia kebelakangan ini, Dr. Mahathir berkata, beliau sebenarnya bimbang dengan aliran berkenaan kerana pengukuhan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) adalah disebabkan oleh peningkatan aliran dana oleh pelabur asing.
Jelas beliau, terdapat kemungkinan bahawa para pelabur asing tersebut melabur di Malaysia bagi mengaut keuntungan sementara.

"Tidak perlu ghairah dengan situasi ini kerana mereka (pelabur asing) hanya datang dengan satu tujuan iaitu menaikkan harga saham dan jual balik pada harga yang tinggi."

"Apabila pasaran jatuh, orang tempatan yang akan terima padahnya, apa yang tinggal kepada kita hanyalah saham-saham yang tidak bernilai" ujar beliau lagi.

Tambah beliau, situasi ini pernah berlaku semasa krisis kewangan Asia pada 1997/1998 apabila indeks utama yang ketika itu berada di paras 1,300 jatuh menjunam kepada 262 akibat pengaliran keluar pelaburan asing.

Beliau juga mencadangkan badan kawal selia supaya mengawal aliran masuk dana asing di negara ini bagi memastikan pasaran modal kekal stabil dan terkawal.

"Badan kawal selia harus meneliti setiap pelabur sama ada mereka adalah pelabur sejati yang mengharapkan dividen ataupun hanya mahu mengaut keuntungan segera," katanya

ICC: Terma tidak betul jejaskan perniagaan

Penggunaan terminologi yang tidak betul dalam perdagangan antarabangsa boleh menjejaskan perniagaan dari segi kos perundangan dan kontrak terbatal.

Demikian dimaklumkan oleh Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (ICC Malaysia) kepada para pengimport, pengeksport, tokoh bank, penghantar fret dan perunding perniagaan di satu seminar yang diadakan di sini hari ini.

Seminar itu bertujuan membantu para peniaga mengelak salah faham dengan mengedarkan maklumat mengenai terma yang diiktiraf antarabangsa dan memberi penjelasan mengenai kos, risiko dan tanggungjawab pembeli dan penjualan dalam penghantaran atau penyampaian barangan mereka.

ICC Malaysia ialah jawatankuasa kebangsaan kepada ICC di Malaysia. Terdapat 93 jawatankuasa kebangsaan ICC seluruh dunia.

Seminar yang sama akan diulang semula esok, kata ICC Malaysia dalam kenyataan hari ini sambil berkata, sambutan untuk acara itu amat menggalakkan.

ICC telah mengumpul senarai terma perdagangan yang diiktiraf antarabangsa yang ia semak kembali dan dilancarkan pada 15 September sebagai Incoterms 2010.

Terma ini akan berkuat kuasa seluruh dunia pada 1 Januari 2011. Singkatan untuk "terma komersial antarabangsa", peraturan Incoterms pertama kali diwujudkan oleh ICC pada 1936 untuk membantu peniaga mengelak salah faham dengan menjelaskan kos, risiko dan tanggungjawab kedua-dua pembeli dan penjual dalam penghantaran/penyampaian barangan.

Peraturan Incoterms 2010 mengambilkira perkembangan perdagangan global sejak ianya disemak kali terakhir pada 2000.

Ini termasuklah perubahan dalam keselamatan kargo yang merupakan barisan hadapan dalam agenda pengangkutan untuk banyak negara.- Bernama

Integrax buat tawaran mahu beli Taipan merit

Integrax Bhd. telah menawarkan untuk membeli 50 peratus campur satu saham Taipan Merit Sdn. Bhd. dalam Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (LMT), bersama-sama dengan notis untuk penyelesaian penamatan perjanjian pegangan saham oleh Taipan Merit.

Tawaran untuk memiliki saham Taipan Merit menyaksikan Integrax melaksanakan opsyennya di bawah perjanjian pemegang saham antara kedua-dua pihak yang membolehkan pemindahan saham, kata Integrax dalam satu kenyataan hari ini.

"Pada masa yang sama, Integrax tidak mengiktiraf notis Taipan Merit berhubung penamatan perjanjian," katanya.

Taipan Merit, anak syarikat milik penuh Perak Corp Bhd yang sebaliknya pula ialah 52.54 peratus dikuasai oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, telah diberikan 30 hari untuk memindahkan kesemua sahamnya dalam LMT ke Integrax dan menunjukkan harga jualan saham.

Pengemukaan notis untuk penyelesaian itu menyebut tiga perkara, termasuk notis penamatan perjanjian pemegang saham, pelantikan semula Amin Halim Rasip sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LMT walaupun terdapat bantahan oleh Integrax dan perebutan Taipan Merit ke atas pengurusan LMT.

Taipan Merit telah menamatkan perjanjian pemegang saham dengan Integrax pada akhir Oktober di mana Integrax telah didakwa melanggarnya.

Tiada kata putus lagi - Proton

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir bertukar-tukar dokumen dengan Gianfranco Casati di Shah Alam, semalam. Turut hadir Azhar Othman.


Proton Holdings Bhd., (Proton) masih belum menentukan model mana yang akan digunakan oleh Mitsubishi Motors Corporation (MMC) sebagai sebahagian daripada pertukaran kerjasama antara kedua-dua syarikat berkenaan.

Namun difahamkan MMC akan mengambil platform Proton Exora sebagai sebahagian daripada kerjasama antara kedua-dua syarikat itu sebagaimana yang dilakukan ke atas Proton Inspira yang diasaskan dari model Mitsubishi Lancer.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, MMC masih mengkaji platform model mana yang akan diambil untuk digunakan oleh mereka bagi pembangunan model baru atau penjenamaan semula.

"Perbincangan antara kami masih di peringkat awal namun ingin saya tekankan bahawa Proton berminat untuk bekerjasama membekalkan komponen kepada MMC khususnya bagi tujuan pengeluaran di kilang mereka di Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian penggunaan sistem perancangan Sumber Perusahaan (ERP) di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Kewangan Proton, Azhar Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Accenture, Giafranco Casati dan Pengarah Urusan Industri Automitf Global Accenture, Luca Mentuccia.
Menurut Syed Zainal Abidin, kerjasama untuk membekalkan komponen kepada kilang MMC di Thailand itu akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Beliau menambah, perbincangan antara Proton dan MMC bagi kerjasama pintar yang melibatkan pertukaran platform itu telah lama berjalan sebagaimana yang dilakukan ke atas Proton Inspira iaitu sejak dua tahun lalu.
Namun katanya, ia terpulang kepada MMC untuk mendapatkan platform model mana yang mereka inginkan kerana Proton amat terbuka dengan mana-mana kerjasama yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak.
Beliau berkata, Proton juga menkaji kemungkinan mengeksport Proton Inspira ke luar negara dan sama ada ia akan menggunakan nama yang sama atau sebaliknya, belum ada keputusan dibuat.

Sementara itu, Syed Zainal berkata, kerjasama dengan perunding pengurusan global, Accenture bertujuan meningkatkan keberkesanan dan keupayaan Proton untuk bergerak lebih pantas pada masa depan.
Namun, tumpuan utamanya adalah meningkatkan kerjasama keseluruhan rangkaian bekalan dari pembekal kepada pengedar.

Ekonomi turun 5% suku ketiga

Ekonomi Malaysia dijangka susut sekitar lima peratus pada suku ketiga 2010 berbanding 8.9 peratus pada suku kedua, dengan jangkaan permintaan untuk barangan perkilangan dunia akan terus perlahan, kata Kenanga Research.

Aliran penurunan itu juga dijangka berterusan pada suku keempat susulan perolehan eksport yang lebih rendah, katanya dalam nota kajiannya hari ini.

"Ini dijejaskan lagi oleh pengukuhan ringgit, hasil daripada langkah-langkah kuantatif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, yang akhirnya akan menjadikan eksport Malaysia kurang menarik," kata firma penyelidikan itu.

Bagaimanapun, Kenanga Research berkata, menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, permintaan domestik yang meningkat mungkin menangani sebahagian daripada impak penurunan permintaan luar.

"China, rakan dagang utama, juga dijangka menyokong kegiatan pengeksportan Malaysia kerana pertumbuhan ekonomi negara itu terus pesat meskipun unjurannya suram," katanya.
Kenanga berkata, ia mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar 6.8 peratus manakala unjuran pertumbuhan 5.5 peratus pada 2011.

Mengenai Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), Kenanga Research menjangkakan keluaran perkilangan akan terus menurun hasil daripada permintaan luar yang semakin kecil.

"Hakikat bahawa eksport perkilangan Malaysia meliputi produk elektrik dan elektronik, permintaan pengguna global yang dijangkakan perlahan, akan mengekalkan aliran menurun untuk tempoh berbaki tahun ini dan separuh pertama 2011," katanya