Khamis, 11 November 2010

Tiada kata putus lagi - Proton

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir bertukar-tukar dokumen dengan Gianfranco Casati di Shah Alam, semalam. Turut hadir Azhar Othman.


Proton Holdings Bhd., (Proton) masih belum menentukan model mana yang akan digunakan oleh Mitsubishi Motors Corporation (MMC) sebagai sebahagian daripada pertukaran kerjasama antara kedua-dua syarikat berkenaan.

Namun difahamkan MMC akan mengambil platform Proton Exora sebagai sebahagian daripada kerjasama antara kedua-dua syarikat itu sebagaimana yang dilakukan ke atas Proton Inspira yang diasaskan dari model Mitsubishi Lancer.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, MMC masih mengkaji platform model mana yang akan diambil untuk digunakan oleh mereka bagi pembangunan model baru atau penjenamaan semula.

"Perbincangan antara kami masih di peringkat awal namun ingin saya tekankan bahawa Proton berminat untuk bekerjasama membekalkan komponen kepada MMC khususnya bagi tujuan pengeluaran di kilang mereka di Thailand," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian penggunaan sistem perancangan Sumber Perusahaan (ERP) di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Kewangan Proton, Azhar Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Accenture, Giafranco Casati dan Pengarah Urusan Industri Automitf Global Accenture, Luca Mentuccia.
Menurut Syed Zainal Abidin, kerjasama untuk membekalkan komponen kepada kilang MMC di Thailand itu akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Beliau menambah, perbincangan antara Proton dan MMC bagi kerjasama pintar yang melibatkan pertukaran platform itu telah lama berjalan sebagaimana yang dilakukan ke atas Proton Inspira iaitu sejak dua tahun lalu.
Namun katanya, ia terpulang kepada MMC untuk mendapatkan platform model mana yang mereka inginkan kerana Proton amat terbuka dengan mana-mana kerjasama yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak.
Beliau berkata, Proton juga menkaji kemungkinan mengeksport Proton Inspira ke luar negara dan sama ada ia akan menggunakan nama yang sama atau sebaliknya, belum ada keputusan dibuat.

Sementara itu, Syed Zainal berkata, kerjasama dengan perunding pengurusan global, Accenture bertujuan meningkatkan keberkesanan dan keupayaan Proton untuk bergerak lebih pantas pada masa depan.
Namun, tumpuan utamanya adalah meningkatkan kerjasama keseluruhan rangkaian bekalan dari pembekal kepada pengedar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan