Ekonomi Malaysia dijangka susut sekitar lima peratus pada suku ketiga 2010 berbanding 8.9 peratus pada suku kedua, dengan jangkaan permintaan untuk barangan perkilangan dunia akan terus perlahan, kata Kenanga Research.
Aliran penurunan itu juga dijangka berterusan pada suku keempat susulan perolehan eksport yang lebih rendah, katanya dalam nota kajiannya hari ini.
"Ini dijejaskan lagi oleh pengukuhan ringgit, hasil daripada langkah-langkah kuantatif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, yang akhirnya akan menjadikan eksport Malaysia kurang menarik," kata firma penyelidikan itu.
Bagaimanapun, Kenanga Research berkata, menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, permintaan domestik yang meningkat mungkin menangani sebahagian daripada impak penurunan permintaan luar.
"China, rakan dagang utama, juga dijangka menyokong kegiatan pengeksportan Malaysia kerana pertumbuhan ekonomi negara itu terus pesat meskipun unjurannya suram," katanya.
Kenanga berkata, ia mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar 6.8 peratus manakala unjuran pertumbuhan 5.5 peratus pada 2011.
Mengenai Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), Kenanga Research menjangkakan keluaran perkilangan akan terus menurun hasil daripada permintaan luar yang semakin kecil.
"Hakikat bahawa eksport perkilangan Malaysia meliputi produk elektrik dan elektronik, permintaan pengguna global yang dijangkakan perlahan, akan mengekalkan aliran menurun untuk tempoh berbaki tahun ini dan separuh pertama 2011," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan