Jumaat, 5 November 2010

Cardia Bioplastics Ltd - Mahu lancar 2 produk

Syarikat teknologi pembungkusan berpangkalan di Australia, Cardia Bioplastics Ltd, merancang melancarkan dua produk di Malaysia awal tahun depan, kata Pengarah Urusan, Dr. Frank Glatz.



Beliau berkata, kedua-dua produk iaitu produk biohibrid dan "compostable" yang diperakui, pada masa ini sedang dinilai oleh peruncit, pemilik jenama, makanan ringan dan syarikat pelancongan serta syarikat-syarikat berminat yang lain di Malaysia.



"Mereka kesemua amat berminat terhadap produk-produk ini," kata beliau di sini.



Katanya, Malaysia merupakan pasaran penting untuk syarikat yang menjadi pemaju, pengeluar dan pemasaran resin mapan serta produk siap yang dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui untuk industri produk plastik dan pembungkusan global.



Glatz berkata, Malaysia pada masa ini mempunyai ratusan buah syarikat pengubahan plastik yang membuat filem, botol dan lain-lain dari plastik dan memasarkannya di dalam dan luar negara.



"Habnya strategik untuk pembuatan plastik dan itulah sebabnya kami berada di sini kerana peluangnya yang signifikan bukan hanya untuk syarikat, tetapi juga untuk pengubah plastik di keseluruhan rantaian bekalan," kata Glatz.



Ditanya mengenai kilang yang dicadangkan untuk dibina di Taman Plastik Kertih, Terengganu, beliau berkata, mereka masih lagi meninjau rakan niaga yang sesuai untuk bangunan itu.



"Berapa banyak yang perlu dilaburkan dalam kilang baru itu bergantung kepada rakan yang dipilih," kata beliau.



Ia bergantung kepada kapasiti yang mereka mahu keluarkan, tambah beliau.



Syarikat ialah pengeluar beg plastik boleh urai pertama dunia yang dihasilkan daripada adunan pengeluaran karbon dioksida dan kanji berasaskan kepada sumber yang boleh diperbaharui. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan