Jumaat, 5 November 2010

Bio-Xcell sasar jadi pusat terulung 2015

Taman ekosistem bioteknologi Bio-Xcell di Nusajaya disasar menjadi pusat pembangunan dan perdagangan industri bioteknologi terulung di Asia dalam tempoh lima tahun lagi.



Malaysia adalah negara tunggal di rantau ini yang menyediakan kemudahan infrastruktur serba moden, khas untuk pembangunan bioteknologi bertaraf antarabangsa.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bio-Excell Sdn. Bhd., Raja Ridwa Aziz, dasar bioteknologi negara kini memasuki fasa kedua dan dijangka memasuki fasa ketiga menjelang 2020.



Beliau berkata, fasa ketiga dijangka menekankan aspek penjenamaan dan mengkomersialkan industri bioteknologi negara ke peringkat antarabangsa.



"Berdasarkan perkembangan semasa, kami yakin mampu mencapai tahap antarabangsa lebih awal berbanding sasaran kerana tiada saingan dari negara lain di rantau ini.



"Tahun 2015 dijangkakan Bio-Xcell sudah mampu menerajui industri bioteknologi di Asia," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.



Raja Ridwa berkata, Bio-Xcell kini menerima pelaburan asing berjumlah lebih RM750 juta dan angka itu semakin menghampiri sasaran RM1 bilion sebelum akhir tahun ini.



Beliau berkata, ketika ini, tiga syarikat bioteknologi bertaraf multinasional telah mengesahkan untuk membangunkan infrastruktur mereka di Bio-Xcell.



"Syarikat tersebut ialah Bio Corn dari India, Metabolic Explorer (Metex) dari Perancis dan terbaharu GlycosBio dari Amerika Syarikat.



"Kami menyasarkan akan membawa dua buah syarikat ternama lagi untuk memantapkan Bio-Xcell sebelum akhir tahun ini," jelasnya.



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GlycosBio, Richard C. Cilento Jr. berkata, Malaysia merupakan pusat pembangunan bioteknologi paling strategik di rantau ini disokong oleh infrastruktur, insentif dan pelbagai sumber yang mudah didapati.



Cilento Jr. berkata, pihaknya akan membangunkan pusat memproses ethanol hibrid bernilai AS$15 juta (RM46.4 juta) yang mampu menghasilkan 20,000 tan metrik bahan kimia tersebut setahun.



"Malaysia akan menjadi pusat pengedaran kami untuk pasaran China dan Singapura.



"Kami juga akan menghasilkan Isoprene iaitu bahan kimia untuk menghasilkan getah sintetik menjelang 2013," katanya.



Tambahnya lagi, Malaysia merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, oleh itu GlycosBio juga mempunyai matlamat untuk menghasilkan inovasi produk berkenaan pada masa depan di sini.




 
Oleh FAIRUS KASSIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan