Ahad, 10 Januari 2010

PENYAKIT KENCING MANIS

Apa Dia Penyakit Kencing Manis

Penyakit ini telah lama diketahui manusia. Beribu-ribu penduduk di negara kita mengidap penyakit ini. Penyakit kencing manis tidak seharusnya menjadi satu penghalang kepada kehidupan yang biasa. Dengan bertambahnya pengetahuan berkenaan penyakit kencing manis dan penghasilan ubat-ubat untuk penyakit ini, tidak ada sebab mengapa anda tidak boleh hidup seperti manusia biasa

Penyakit kencing manis adalah satu keadaan di mana terdapat kadar gula yang berlebihan dalam peredaran darah. Ini terjadi kerana badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan kita. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ bernama pancreas yang terletak dibawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugas harian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukos adalah punca utama yang memberi tenaga.

Dalam keadaan biasa, insulin membantu gula (glukos) dalam darah untuk memasuki sel-sel badan untuk ditukarkan kepada tenaga. Bagi orang yang mengidap penyakit kencing manis, organ pancreas tidak dapat menghasilkan hormon insulin dengan secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak dapat bertindak seperti biasa. Akibatnya, glukos atau gula tidak dapat memasuki sel-sel badan. Kadar gula dalam peredaran darah menjadi tinggi. Gula yang berlebihan ini akan disingkirkan oleh badan melalui air kencing. Inilah sebabnya, penyakit ini dikenali sebagai penyakit kencing manis. Tanpa insulin, sel-sel badan tidak menerima bekalan glukos, walaupun kadarnya amat tinggi dalam peredaran darah. Ini menyebabkan badan akan kekurangan tenaga.

Siapakah pengidap penyakit kencing manis ?

Sesiapa pun boleh mendapat penyakit ini.Tetapi mereka yang datang daripada keluarga atau keturunan di mana terdapat ahli-ahli yang mengidap penyakit kencing manis sudah meningkat umur (40 tahun ke atas) mempunyai berat badan berlebihan atau gemuk mempunyai risiko yang lebih untuk mendapat kencing manis

Apakah rawatan untuk penyakit kencing manis ?

Sebelum tahun 1921, tiada ubat-ubat tertentu untuk merawat penyakit ini. Pada masa ini terdapat ubat-ubat untuk mengawal penyakit kencing manis dan ini memberi peluang kepada pengidap-pengidap penyakit ini untuk meneruskan kehidupan yang biasa. Rawatan untuk penyakit kencing manis adalah melalui kawalan pemakanan.

Makanan yang anda makan memainkan peranan yang penting dalam kawalan penyakit kencing manis. Adakalanya, kes-kes yang tidak teruk, dapat diakwal melalui jagaan makanan sahaja.

Ubat

Selain daripada kawalan pemakanan, kebanyakan pesakit memerlukan ubat untuk mengawal penyakit mereka. Ubat-ubat ini terdiri daripada suntikan insulin.Insulin boleh diberi melalui suntikan sahaja kerana ia akan dimusnahkan di dalam perut jika dimakan

Pil

Ubat-ubat ini membantu badan menggunakan gula dengan sempurna dan dengan itu dapat mengawal penyakit ini.

Ada pula pesakit-pesakit yang memerlukan suntukan insulin sementara pesakit-pesakit lain pula boleh mengawal penyakit mereka dengan memakan pil. Doktor anda, setelah menjalankan pemeriksaan terhadapa anda, akan menentukan samaada anda memerlukan suntikan insulin atau pil dalam rawatan anda. Kes penyakit kencing manis anda mungkin tidak sempurna dengan kes orang lain dan oleh itu rawatan yang ditentukan oleh doktor anda mungkin tidak serupa dengan rawatan untukpesakit lain. Doktor akan menentukan rawatan mengikkut keadaan penyakit seseorang.

Rawatan awal adalah penting.

Menyembuhkan tanda-tanda dan gejala kencing manis

Menggelakkan atau mengurangkan akibat-akibat buruk yang berlaku jikalau penyakit ini melarat

Membolehkan pesakit hidup dalam kehidupan biasa dan bahagia

Ubat

Patuhilah nasihat doktor anda mengenai ubat-ubat yang anda perlu ambil

Jangan berhenti mengambil ubat kerana anda merasa sihat dan berfikir bahawa ubat itu tidak perlu lagi. Berhenti mengambil ubat tanpa nasihat daripada doktor anda adalah sangat merbahaya kerana ini boleh mengakibatkan penyakit anda melarat disebabkan tidak dikawal dengan sempurna

Jangan lupa untuk pergi ke hospital atau klinik pada masa yang ditetapkan untuk pemeriksaan doktor

Pemeriksaan dari masa ke semasa termasuk ujian air kencing dan darah adalah sangat penting dalam rawatan dan kawalan kencing manis

Makanan

Seperti yang disebutkan tadi, kawalan makanan sangat penting dalam rawatan penyakit kencing manis

Patuhilah nasihat doktor anda mengenai makanan

Makanan harian yang anda patut makan bergantung kepada beberapa faktor seperti berat badan, umur, pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan oleh anda dan keadaan penyakit anda. Adalah mustahak bahawa makanan harian mestilah seimbang iaitu, mengandungi semua bahan-bahan yang diperlukan oleh badan anda untuk kesihatan dan juga memberi tenaga untuk menjalankan tugas harian

Panduan makanan

Makanan yang patut dielakkan

Gula

Gula melaka

Coklat

Jem

Madu

Sirap

Aiskrim

Biskut-biskut yang manis

Susu pekat

Minuman ringan

Gula-gula jeli

Makanan yang patut dikurangkan

Nasi

Roti

Ubi kentang

Ubi keledek

Ubi kayu

Jus

Kelapa

Daging kambing

Buah-buahan jeruk

Bahan-bahan tenusu

Makanan yang boleh dimakan dengan bebas

Serbuk lada

Rempah-rempah

Serbuk kari

Cecair – air,the, kopi,jus tomato dan limau, sup cair

Sayur-sayuran – kacang panjang, kobis, bawang, timun, lobak merah, kangkong, sawi,cendawan, bayam,tomato,bunga kobis, kacang bendi,terung, ketola.

Penjagaan berat badan

Penyakit kencing manis berlaku dengan lebih kerap di kalangan orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Didapati bahawa tindakan insulin berkesan dalam orang yang gemuk

Amatlah penting bagi pengidap kencing manis untuk sentiasa ,menjaga berat badan. Kalau berat badan turun, badan dapat menggunakan gula dalam darah dengan lebih sempurna dan dengan itu, kadar gula dalam darah akan turun

Kalau anda gemuk

Kurangkan makanan !

Terutama makanan yang terlalu banyak karbohidrat dan lemak

Bersenamlah selalu

Senaman

Cuba melakukan senaman setiap hari seperti berjalan dan berkebun

Senaman yang dilakukan secara teratur adalah sangat baik untuk penyakit kencing manis kerana ini dapat menambahkan lagi pembakaran gula dalam otot-otot dan dengan itu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Pengaliran darah juga bertambah baik

Perkara untuk diawasi : kalau anda kurang aktif dan sudah lama tidak bersenam, dapatkan nasihat doktor anda sebelum memulakan apa-apa senaman

Mengelakkan jangkitan

Pesakit kencing manis lebih mudah mendapat jangkitan daripada orang biasa. Oleh itu, anda perlu menjaga diri sendiri melalui langkah-langkah tersebut :

Selalu menjaga kebersihan diri

Tiap-tiap hari, cucikan kaki dan jari-jari kaki dengan menggunakan sabun dan air, keringkan kaki dan sapukan bedak

Mandilah selalu

Sapukan bedak di bahagian-bahagian kulit yang berpeluh berlebihan

Jaga kebersihan gigi

Menjauhkan diri dari kecederaan

Jangan berjalan tanpa kasut atau selipar

Berhati-hatilah semasa memotong kuku jari dan jari kaki

Bersih dan balutkan mana-mana luka yang ada

Berhati-hati semasa bercukur

Penjagaan kaki

Kalau peredaran darah di bahagian kaki anda tidak dapat mengalir dengan sempurna atau diganggu, ini boleh membawa akibat yang buruk dan mungkin boleh menghilangkan kaki anda disebabkan oleh jangkitan yang melarat. Oleh itu, sentiasa perlu menjaga kaki anda

Jangan menyilangkan kaki anda semasa duduk pada suatu masa yang lama

Jangan pakai kasut yang ketat

Sentiasa urutkan kaki anda

Tiap-tiap hari, berbaringlah dengan meletakkan kaki di paras yang lebih tinggi dari badan anda untuk beberapa minit

Apakah bahaya kalau penyakit kencing manis tidak dirawat atau dikawal dengan baik.

Penyakit ini akan melarat sehingga mendatangkan akibat-akibat buruk seperti :-

Buta

Kerosakan buah pinggang

Sakit jantung dan penyakit lumpuh

Darah tinggi

Penyakit saraf

Ini boleh mengakibatkan pesakit hilang deria di bahagian kaki dan tangan. Ia tidak dapat merasai sakit, panas dengan itu boleh mencederakan diri sendiri tanpa disedari

Jangkitan yang menyebabkan Gangrene (tisu-tisu mati) yang boleh mengakibatkan kehilangan kaki

Tidak sedarkan diri

Kalau tidak dirawati dengan serta merta, pesakit boleh maut

Anda boleh mengelakkan akibat-akibat buruk ini kalau anda menjaga diri anda dengan baik

Mengidap penyakit kencing manis tidak bermakna anda hidup seperti dipenjarakan

Kalau anda ikut langkah-langkah dalam rawatan dan kawalan penyakit ini, anda boleh menikmati kehidupan yang penuh dan bahagia

Kawal penyakti kencing manis untuk menikmati kehidupan yang bahagia dan sihat



Terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia

Ubah selera elak penyakit diabetis, obesiti

KENAIKAN harga gula sebanyak 20 sen pada 1 Januari lalu, sememangnya mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak kerana mereka bimbang berlaku peningkatan harga barang utama dan lazimnya disusuli kenaikan harga makanan lain pula.

Ia ada kebenarannya dari sudut harga serta kepenggunaan. Hakikatnya ramai lebih peka dan prihatin soal kenaikan harga berbanding ‘barah’ dari sudut kesihatan akibat pengambilan gula berlebihan.

Pasti ramai tidak menyedari peningkatan bilangan penyakit diabetes atau kencing manis dan obesiti yang berkait rapat dengan kesan pengambilan gula.

Pengambilan gula pada kadar berpatutan yang diperlukan tubuh tidak akan menjejaskan kesihatan. Ia hanya mengundang padah apabila pengambilan secara berlebihan yang menjadi punca masalah diabetes atau kencing manis, kerosakan ginjal, kardiovaskular, obesiti, kemurungan serta kerosakan gigi.

Sama seperti karbohidrat, gula ialah punca utama tenaga untuk tubuh. Gula bukan sekadar partikel kecil berkilat tetapi juga boleh diperoleh daripada sumber lain seperti seperti susu (laktosa) dan buah-buahan (fruktosa).


Malah semua perkataan yang berakhir dengan ‘ose’ (dalam bahasa Inggeris) adalah gula, misalnya glukose, sucrose (bahan pemanis) dan dextrose (rasa manis dalam madu).

Presiden Persatuan Obesiti Malaysia, Prof Dr Mohd Ismail Noor, berkata berbanding negara lain seperti Thailand, harga gula di Malaysia masih murah.

Justeru, ancaman kesihatan seperti masalah obesiti, kardiovaskular dan diabetes di Malaysia tidak akan berakhir selagi negara tidak mempunyai strategi kesihatan yang berkesan.

“Kenaikan harga gula adalah satu daripada cara. Mungkin ia akan membebankan golongan tidak berkemampuan tetapi mereka boleh dibantu dengan cara lain,” katanya.


Malah, Dr Mohd Ismail berpendapat, kenaikan harga gula itu sepatutnya sudah dibuat sejak dulu.

“Jika kenaikan harga gula menyebabkan harga minuman atau makanan kegemaran anda turut naik, mungkin ini masanya untuk berubah selera,” katanya.

Berikut ialah pelbagai jenis komplikasi penyakit akibat pengambilan gula secara berlebihan:

Obesiti dan kegemukan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 1 bilion penduduk dunia mengalami kegemukan ketika ini dan jumlah itu bakal mencecah 1.5 bilion pada 2015. Sekurang-kurangnya 20 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami kegemukan pada 2005.

Punca asas obesiti dan kegemukan ialah ketidakseimbangan antara pengambilan kalori dan penggunaan kalori.

Peningkatan global kegemukan dan obesiti ini disebabkan oleh perubahan diet dengan pengambilan lebih banyak makanan yang bergula dan berlemak tetapi rendah vitamin, mineral dan mikronutrisi lain.

Selain itu, ia juga disebabkan kurangnya melakukan aktiviti fizikal disebabkan kemajuan sistem pengangkutan awam yang menyebabkan ramai tidak lagi gemar berjalan kaki atau berbasikal yang dapat membakar kalori.

Tidak lama dulu, WHO juga melaporkan mengenai kajian di Afrika Selatan pada 2003 yang mendapati pengambilan gula yang tinggi menjadi penyebab utama obesiti dan karies gigi. Kira-kira 20 peratus kalangan dewasa mengalami masalah obesiti, manakala sembilan peratus kanak-kanak turut mengalami masalah sama.

Mengikut garis panduan WHO, kegemukan berlaku apabila Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih 25 dan mereka yang melebihi bacaan 30 dikategorikan sebagai obesiti.

Diabetes

Selain obesiti, pengambilan gula berlebihan ditambah dengan tabiat malas bersenam juga mendedahkan seseorang itu kepada pelbagai risiko kesihatan. Misalnya, gula boleh menjejaskan platelet darah yang mungkin menjadi punca masalah jantung. Malah, gula turut menjadi antara penyebab Diabetes Jenis Dua, tulang rapuh, masalah ginjal, hati, kemurungan serta turut dikaitkan dengan tumor barah.

Sekadar perbandingan, pada 1996 seramai 6.5 peratus rakyat Malaysia berusia lebih 30 tahun disahkan menghidap diabetes. Sedekad kemudian, jumlah itu meningkat kepada 9.5 peratus. Lebih menakutkan, pada tahun sama dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun disahkan sebagai penghidap diabetes.

Malah, dalam tempoh 10 tahun akan datang, kira-kira 25 peratus warga Malaysia bakal menghidap diabetes jika tiada sebarang usaha pencegahan dibuat.

Walaupun diabetes dikaitkan dengan faktor genetik tetapi mengubah cara hidup mampu mencegah diabetes. Dari sudut perubatan, diabetes adalah kegagalan tubuh memproses gula dan kegagalan untuk menyingkirkannya dari salur darah. Justeru, kadar gula yang banyak dalam darah meningkatkan risiko sakit jantung dan strok atau angin ahmar, selain menyebabkan ginjal terjejas. Kadar gula yang tinggi juga menjejaskan sistem tubuh hingga menyebabkan buta.

Jangkitan kulat

Setiap satu sudu gula berupaya menekan sistem imun tubuh hingga enam jam lamanya. Gula juga menggalakkan pertumbuhan kulat di luar kawalan dalam sistem pencernaan. Kulat dikenali ‘candida albicans’ boleh merebak ke organ dalaman dan sistem pernafasan. Simptom paling biasa jangkitan kulat ini ialah jangkitan yis, masalah pencernaan atau lelah.

Bagi sesetengah orang, gula lebih menggemukkan berbanding lemak. Malah di kalangan kanak-kanak dan remaja, punca kalori yang utama ialah minuman berkarbonat dan jus yang mengandungi kandungan gula tinggi. Gula dalam bentuk cecair lebih banyak menimbulkan masalah kerana kita cenderung untuk mengambilnya dalam jumlah berlebihan.

Diet yang dipenuhi dengan pengambilan makanan tinggi kalori akan menyebabkan obesiti dan diabetes. Data 2006 menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obesiti. Secara bersama, obesiti dan diabetes adalah faktor risiko utama masalah jantung.

Pentingnya Kesihatan Usus

KESIHATAN usus memainkan peranan besar kepada kesihatan. Usus bukan sekadar sebagai tempat salur laluan makanan sebelum dikumuhkan, malah ia berperanan sebagai barisan pertahanan penting tubuh terhadap bakteria berbahaya.

Kesihatan usus akan mempengaruhi penyerapan nutrien dan zat daripada makanan dan ini tentunya memberi kesan kepada kesihatan tubuh yang juga mempengaruhi kekuatan sistem imuniti.

Kebanyakan masalah lazim berkaitan dengan saluran gastrousus sebenarnya bermula dengan ketidakseimbangan mikroflora usus, iaitu akibat gangguan mikro-organisma berbahaya. Probiotik adalah bakteria hidup yang digunakan untuk memperbaiki keseimbangan flora usus dan bermanfaat dalam banyak cara.

Probiotik melindungi kita daripada mikro-organisma, kulat dan virus berbahaya. Sistem imuniti tubuh yang kuat juga akan melindungi tubuh daripada patogen. Masalah gangguan usus seperti sembelit dan cirit-birit dapat dielakkan dan ditangani dengan pengambilan probiotik yang mencukupi.

Probiotik yang merupakan bakteria bermanfaat dapat menghasilkan enzim laktase dan bahan antimikrob lain.

Ciri-ciri yang unik ini membolehkan individu yang mengambilnya mencerna laktosa dengan lebih berkesan.

Tambahan pula, mereka lebih berupaya menahan gangguan patogen kerana bakteriosin yang dihasilkan oleh probiotik hidup dapat menghapuskan bakteria berbahaya.

Selain itu, metabolisma probiotik akan mewujudkan persekitaran usus berasid yang dapat mengurangkan pertumbuhan mikroorganisma berbahaya.

Sifat yang tidak kurang pentingnya pada probiotik adalah bersaing dengan patogen-patogen untuk mendapatkan makanan dan tapak pelekatan dalam dinding usus. Ini secara langsungnya dapat merendahkan kesempatan patogen untuk membentuk koloni dalam usus.

Pilihlah probiotik dari strain yang dikaji dan terbukti selamat dan berkesan untuk menangani ketidakselesaan gastrousus yang ditimbulkan ketidakseimbangan mikroflora usus.

Hasil daripada penyelidikan selama lebih tiga puluh tahun mendapati Lactobacillus acidophilus NCFM dapat memperbaiki masalah penghadaman dan juga kesihatan usus secara keseluruhannya.

Kebersihan oral atasi mulut berbau

DOKTOR,
SAYA mengalami masalah halitosis (mulut berbau) yang amat ketara, walaupun saya sudah membuat berbagai rawatan. Saya menggosok gigi dan lidah setiap kali lepas makan. Saya juga membuat pemeriksaan gigi secara teratur, saya mengelakkan makanan yang mengundang bau seperti petai.

Baunya amat busuk walaupun melalui pernafasan, saya amat malu dan tertekan dan jarang bersosial disebabkan masalah ini.

Untuk pengetahuan doktor saya menghidap penyakit resdung, iaitu gatal-gatal hidung apabila terkena habuk, apabila digosok pada hidung ada terasa seperti bau nanah. Saya ingin penjelasan doktor. Terima kasih.

* AN, Johor Bharu.

JAWAPAN,

Nafas atau mulut berbau (Halitosis) boleh disebabkan oleh masalah yang berpunca dari bahagian hidung, sinus, tekak, gigi, ruang mulut, paru-paru mahupun dari perut. Semua bahagian ini ada bersangkut-paut dengan ruang pernafasan.

AN telah membuat perkara yang betul iaitu membuat pemeriksaan gigi dan mengamalkan pembersihan oral yang memadai. Oleh kerana masalah halitosis itu berterusan, saya berpendapat masalah AN mungkin berpunca dari bahagian hidung ataupun sinus.

Sinus adalah ruang kosong di bahagian tengkorak yang berkomunikasi dengan ruang hidung. Apabila ruang sinus ini dijangkiti oleh kuman, kahak kuning atau kehijauan akan mengalir ke ruang hidung lalu menitis ke belakang tekak (post nasal drip).

Ini akan membawa kepada pelbagai masalah dari sakit kepala, hidung tersumbat, sakit tekak, serak suara mahupun nafas berbau.

Rinitis ialah istilah yang menyatakan bengkak pada tisu bahagian hidung (inflamasi atau radang pada membran mukus di hidung) yang boleh menyebabkan gatal-gatal hidung dan bersin. Ia sama ada disebabkan oleh alahan ataupun infeksi pada mana-mana bahagian hidung atau rongga sinus. Post nasal drip boleh disebabkan oleh rinitis itu sendiri.

Saya ingin menasihat AN supaya berjumpa seorang pakar ENT supaya pemeriksaan sinus melalui endoskopi dan rawatan sewajarnya dapat diberikan

Utusan Malaysia,10 Jan 2010

Pentingnya kesihatan usus

KESIHATAN usus memainkan peranan besar kepada kesihatan. Usus bukan sekadar sebagai tempat salur laluan makanan sebelum dikumuhkan, malah ia berperanan sebagai barisan pertahanan penting tubuh terhadap bakteria berbahaya.

Kesihatan usus akan mempengaruhi penyerapan nutrien dan zat daripada makanan dan ini tentunya memberi kesan kepada kesihatan tubuh yang juga mempengaruhi kekuatan sistem imuniti.

Kebanyakan masalah lazim berkaitan dengan saluran gastrousus sebenarnya bermula dengan ketidakseimbangan mikroflora usus, iaitu akibat gangguan mikro-organisma berbahaya. Probiotik adalah bakteria hidup yang digunakan untuk memperbaiki keseimbangan flora usus dan bermanfaat dalam banyak cara.

Probiotik melindungi kita daripada mikro-organisma, kulat dan virus berbahaya. Sistem imuniti tubuh yang kuat juga akan melindungi tubuh daripada patogen. Masalah gangguan usus seperti sembelit dan cirit-birit dapat dielakkan dan ditangani dengan pengambilan probiotik yang mencukupi.

Probiotik yang merupakan bakteria bermanfaat dapat menghasilkan enzim laktase dan bahan antimikrob lain.

Ciri-ciri yang unik ini membolehkan individu yang mengambilnya mencerna laktosa dengan lebih berkesan.

Tambahan pula, mereka lebih berupaya menahan gangguan patogen kerana bakteriosin yang dihasilkan oleh probiotik hidup dapat menghapuskan bakteria berbahaya.

Selain itu, metabolisma probiotik akan mewujudkan persekitaran usus berasid yang dapat mengurangkan pertumbuhan mikroorganisma berbahaya.

Sifat yang tidak kurang pentingnya pada probiotik adalah bersaing dengan patogen-patogen untuk mendapatkan makanan dan tapak pelekatan dalam dinding usus. Ini secara langsungnya dapat merendahkan kesempatan patogen untuk membentuk koloni dalam usus.

Pilihlah probiotik dari strain yang dikaji dan terbukti selamat dan berkesan untuk menangani ketidakselesaan gastrousus yang ditimbulkan ketidakseimbangan mikroflora usus.

Hasil daripada penyelidikan selama lebih tiga puluh tahun mendapati Lactobacillus acidophilus NCFM dapat memperbaiki masalah penghadaman dan juga kesihatan usus secara keseluruhannya.

Gula baik, gula jahat

SEBELUM terkena kawal pemakanan, jangan ikut nafsu. Beringat sebelum terkena. Kurangkan makan nasi, minuman berkarbonat dan makanan yang bergula." Begitulah bunyi khidmat pesanan ringkas (SMS) dari seorang pesakit kencing manis yang ditemu bual Mingguan Malaysia Rabu lalu.

Ketika membacanya, mungkin kita sudah biasa mendengar nasihat sedemikian. Namun, cerita sebaliknya banyak memberi pengajaran. Awal tahun ini, isu gula semakin menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini. Di sebalik kisah kenaikan dan kekurangan gula, kita lupa tentang implikasinya jika berlebihan.

Pertemuan dengan pesakit kencing manis, Nila Kesuma mat, 49 di Kapar, Selangor ingin membawa pembaca menghayati kisahnya dan mengambil iktibar. Keadaan hidupnya menjadi lebih parah apabila kaki kiri Nila dipotong akibat menghidap kencing manis dua tahun lalu. Sebelum itu, dia tidak menyangka hanya kerana gula dia boleh hidup menderita seperti ini. Pergerakannya terbatas.

Bayangkan hidupnya yang ceria telah berubah. Nila hanya mengetahui dirinya menghidap kencing manis selepas melahirkan anak keduanya. Namun Nila tidak bersungguh-sungguh mengambil insulin bagi memastikan kencing manisnya stabil. Sikap acuh tak acuh terhadap penyakit ini menyebabkan Nila kehilangan kaki kirinya.

Nasihatnya kepada generasi muda, kurangkan gula kerana tanpa disedari ia boleh menjadi pembunuh.Mujur sahaja Nila antara insan yang bernasib baik. Selepas kisahnya tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia tahun lalu, dia kini mampu hidup selesa hasil bantuan pelbagai pihak. Hidup sebagai ibu tunggal yang terpaksa menyara dua orang lagi anaknya dalam keadaan yang serba kekurangan mendapat perhatian orang ramai.

Akhirnya, walaupun kurang upaya, dia kini mampu tersenyum ceria. Jika dahulu dia sukar berjalan dan berdiri walaupun berkaki palsu, sekarang dia boleh melakukannya. Kisah kencing manis memberi hikmah kepadanya kerana dia kini lebih berhati-hati tentang pemakanan seperti mengurangkan pengambilan gula.
Gula dan diabetes

Menurut Pakar Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, diabetes sebenarnya berpunca daripada masalah pemprosesan atau metabolisma gula kurung efektif dalam badan. Walaubagaimanapun, gula atau glukosa bukanlah masalah utama penyebab diabetes.

"Diabetes adalah disebabkan pengambilan kalori yang berlebihan ditambah pula dengan kurang aktiviti senaman seharian. Jika seseorang mengambil atau memakan lebihan kalori dari yang sepatutnya, maka lebihan kalori ini akan bertukar menjadi lemak yang berkumpul dibahagian hadapan abdomen (sekelilingnya) yang kita namakan Central Obesity. Lemak lebihan inilah akhirnya menyebabkan insulin iaitu hormon utama memproses gula didalam darah menjadi kurang efektif, lalu terjadi keadaan dimana paras gula menjadi terlalu tinggi," katanya.

Dr. Abdul Malik memberitahu, pada masa inilah seseorang dilabel sebagai pesakit diabetes. Berkongsi makna gula, beliau menjelaskan, gula adalah salah satu komponen asasi makanan selain protein dan lemak. Gula perlu untuk memberi tenaga kepada manusia bagi menyempurnakan pelbagai aktiviti harian.

"Gula adalah substrate yang paling penting bagi otak berfungsi dengan normal. Tanpa gula, otak boleh mengalami kerosakan yang teruk dan mungkin tidak dapat berfungsi seperti biasa. Jika gula berlebihan terjadi seperti yang berlaku kepada pesakit diabetis kita akan menjadi lebih letih, sentiasa haus dan terpaksa minum air dalam kuantiti yang banyak," jelasnya.

Justeru itu, berat badan mungkin susut dan kita perlu membuang air kecil kerap sekali, termasuk di waktu malam (tidur). Gula yang berlebihan menjadikan sistem imun kita lemah dan ini menyebabkan kita senang mengalami jangkitan kuman dan luka akan mengambil masa yang terlalu lama untuk sembuh.

Selain itu, gula yang berlebihan dalam jangka masa lama akan menyebabkan salur darah halus di mata mengalami pendarahan dan menyebabkan kita menjadi buta. Salur darah di jantung juga boleh tersumbat dan ini menyebabkan serangan sakit jantung. "Hal yang sama terjadi di buah pinggang, menyebabkan "protein" bocor melalui kencing dan kerosakan buah pinggang berlaku menyebabkan kita perlu menjalani dialysis untuk keadaan ini. Deria saraf di kaki dan tangan juga boleh menjadi lemah menyebabkan kita tidak merasai luka dikaki dan oleh itu tidak mendapatkan rawatan. Luka tersebut boleh dimasuki kuman dan lama kelamaan menjadi besar dan teruk sehingga kita terpaksa memotong bahagian kaki tersebut untuk menyelamatkan nyawa pesakit," ujarnya.

Dr. Abdul Malik menasihatkan orang ramai, jika seseorang mengalami sebarang tanda-tanda gula berlebihan seperti diatas, bersegeralah dapatkan nasihat dan rawatan doktor."Kena ingat, masalah diabetis adalah masalah lebihan kalori dan gula bukanlah masalah utama diabetis. Jika penyakit diabetis ini dapat dikawal dengan rapi awal-awal lagi, mungkin kerosakkan jantung, mata dan buah pinggang dapat dielakkan," katanya.

Pemakanan gula
Dari sudut pemakanan, gula dalam bentuk hablur berwarna putih yang biasa kita kenal sebagai gula atau gula pasir mengandungi zat kosong yang bermaksud kandungannya semata-mata sukrosa.

Ia dikatakan tanpa zat kerana tidak mengandungi nutrien penting seperti vitamin B, enzim-enzim dan hanya mengandungi garam galian pada kadar yang sangat rendah.
Hampir semua orang beranggapan bahawa mereka memerlukan gula terutama dalam minuman sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sehari. Mereka percaya bahawa gula menyumbang tenaga.

Sekilas pandang sememangnya ia menyumbang tenaga tetapi apabila dicerna, gula melepaskan glukosa dengan pantas. Kemudian paras glukosa akan jatuh dengan pantas juga dan berada di bawah paras normal.

Makanan berkarbohidrat terutama yang ceruh atau masih ada selaput seperti beras perang atau bijiran berkarbohidrat terproses yang apabila dimasak dan dimakan dengan lemak atau protein menjadikan pelepasan glukosa dalam darah pada kadar perlahan.
Paras glukosa darah akan jatuh secara perlahan-lahan dan tidak akan melepasi di bawah paras normal.

Perubahan mood, tidak boleh fokus untuk melakukan kerja, mengantuk, letih adalah berpunca dari kadar glukosa darah rendah dari paras normal, iaitu suatu keadaan dikenali sebagai hipoglisemia. Seseorang akan terus merasakan dirinya memerlukan gula untuk mengembalikan fisiologi mereka kepada keadaan normal. Kitaran ini akan berlarutan beberapa kali dalam sehari.

Cara yang paling baik ialah berlatih mengurangkan pengambilan gula secara bertahap.
Pertama, seseorang perlu tahu mengenai kegiatan gula pada kadar-kadar berbeza dan kaedah pengambilan terhadap fisiologi. Kedua, mereka perlu tahu hasil kesan pengurangan pengambilan gula.

Ketiga, mereka perlu ada tekad dan yakin boleh melakukannya iaitu mengurangkan pengambilan gula. Akhir sekali, mereka mesti bersungguh- sungguh untuk terus-menerus melakukannya.

Sekiranya seseorang berjaya mengurangkan pengambilan gula kepada separuh daripada jumlah biasa, akhirnya mereka akan merasa kadar yang diambil itu tetap manis.
Sekiranya anda mengalami hipoglisemia ketika mengurangkan pengambilan gula, kajian menunjukkan pengambilan minyak hati ikan kod secara berterusan dapat membantu menstabilkan glukosa dalam darah. Minyak kelapa dara juga boleh membantu iaitu dengan memperlahankan pelepasan glukosa darah.

Gula, seperti mana perangsang metabolik lain termasuk kopi, rokok dan alkohol sekiranya diambil berterusan adalah punca kepada penyakit-penyakit degeneratif dengan menyebabkan tubuh sentiasa dalam keadaan stres (tegang).

Ia mengakibatkan hormon kortisol yang dikaitkan dengan penyesuaian fisiologi terhadap stres jangka panjang berada pada paras lebih tinggi daripada normal. Hormon ini dikaitkan dengan pelbagai ketidakseimbangan berbagai jenis hormon, neurotransmitter, dan enzim.

Mengambil alternatif lain seperti madu, gula kabung, gula marah, sirap maple, sirap berfruktos seperti sirap ros bukan suatu yang baik juga. Kesemuanya akan meningkatkan pelepasan glukosa darah yang pantas kecuali diambil pada kadar rendah dan diambil bersama lemak atau protein.

Sirap fruktos seperti sirap ros dan sirap-sirap lain mengandungi pewarna tiruan yang boleh memudaratkan sel dan DNA.Menurut kajian, gula tiruan juga akan menjadikan tubuh menerimanya seolah-olah seseorang makan gula biasa selain keselamatannya terhadap tubuh diragui.
Walaupun fruktos buah-buahan adalah baik berbanding dengan makanan dan minuman terproses kerana buah-buahan mengandungi serat dan nutrien-nutrien lain. Sekiranya memakan buah yang manis seperti tembikai, pastikan tidak dimakan secara berlebihan. Biasakan minum jus buah-buahan tanpa gula.

Kesimpulannya, kadar pengambilan gula boleh dikurangkan jika ada kekuatan diri dan mental serta usaha.


Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my