KESIHATAN usus memainkan peranan besar kepada kesihatan. Usus bukan sekadar sebagai tempat salur laluan makanan sebelum dikumuhkan, malah ia berperanan sebagai barisan pertahanan penting tubuh terhadap bakteria berbahaya.
Kesihatan usus akan mempengaruhi penyerapan nutrien dan zat daripada makanan dan ini tentunya memberi kesan kepada kesihatan tubuh yang juga mempengaruhi kekuatan sistem imuniti.
Kebanyakan masalah lazim berkaitan dengan saluran gastrousus sebenarnya bermula dengan ketidakseimbangan mikroflora usus, iaitu akibat gangguan mikro-organisma berbahaya. Probiotik adalah bakteria hidup yang digunakan untuk memperbaiki keseimbangan flora usus dan bermanfaat dalam banyak cara.
Probiotik melindungi kita daripada mikro-organisma, kulat dan virus berbahaya. Sistem imuniti tubuh yang kuat juga akan melindungi tubuh daripada patogen. Masalah gangguan usus seperti sembelit dan cirit-birit dapat dielakkan dan ditangani dengan pengambilan probiotik yang mencukupi.
Probiotik yang merupakan bakteria bermanfaat dapat menghasilkan enzim laktase dan bahan antimikrob lain.
Ciri-ciri yang unik ini membolehkan individu yang mengambilnya mencerna laktosa dengan lebih berkesan.
Tambahan pula, mereka lebih berupaya menahan gangguan patogen kerana bakteriosin yang dihasilkan oleh probiotik hidup dapat menghapuskan bakteria berbahaya.
Selain itu, metabolisma probiotik akan mewujudkan persekitaran usus berasid yang dapat mengurangkan pertumbuhan mikroorganisma berbahaya.
Sifat yang tidak kurang pentingnya pada probiotik adalah bersaing dengan patogen-patogen untuk mendapatkan makanan dan tapak pelekatan dalam dinding usus. Ini secara langsungnya dapat merendahkan kesempatan patogen untuk membentuk koloni dalam usus.
Pilihlah probiotik dari strain yang dikaji dan terbukti selamat dan berkesan untuk menangani ketidakselesaan gastrousus yang ditimbulkan ketidakseimbangan mikroflora usus.
Hasil daripada penyelidikan selama lebih tiga puluh tahun mendapati Lactobacillus acidophilus NCFM dapat memperbaiki masalah penghadaman dan juga kesihatan usus secara keseluruhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan