Jenama fesyen UNIQLO yang baru membuka cawangan pertamanya di Malaysia, dijangka memberi persaingan sengit bagi Zara, MNG dan H&M kerana menjanjikan tawaran harga yang jauh lebih murah.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Fast Retailing Co. Ltd., Tadashi Yanai (gambar) berkata, UNIQLO memang menawarkan harga yang lebih munasabah, selari dengan matlamatnya untuk membolehkan semua orang diberi peluang memakai pakaian berkualiti pada harga yang murah.
‘‘UNIQLO bukan untuk golongan tertentu kerana harga yang ditawarkan bagi setiap pakaiannya sesuai untuk semua pembeli di seluruh dunia.
‘‘Kami mahu semua orang di dunia ini, dari golongan atasan dan bawahan memakai jenama ini kerana kualitinya,’’ katanya ketika ditemui di sini.
Butik pertama UNIQLO bertempat di Fahrenheit 88, Kuala Lumpur merupakan cawangan terbesar jenama itu di rantau Asia Tenggara.
UNIQLO adalah butik pakaian kasual yang diwujudkan buat kali pertama di Hiroshima, Jepun pada 1984 dan sehingga hari ini ia memiliki 900 cawangan di seluruh dunia. Ia juga adalah jenama isi rumah yang popular di Jepun.
Fast Retailing yang turut mengeluarkan jenama Theory, Helmut Lang, Comptoir Des Cotonnier, Princess tam.tam, g.u dan Candish bekerjasama dengan DNP Clothing Sdn. Bhd. untuk membuka cawangannya di sini.
Ia membabitkan perkongsian saham 55 peratus oleh UNIQLO manakala bakinya oleh DNP Clothing Sdn. Bhd. Yanai, yang juga individu terkaya di Jepun itu percaya dengan strategi UNIQLO itu, jenama tersebut bakal mengatasi Zara, MNG dan H&M dalam tempoh lima tahun lagi.
Mengulas mengenai peluasan UNIQLO di Kuala Lumpur, Yanai yang juga pengasas jenama itu berkata, bandar raya ini mampu memberi potensi perniagaan kepada produk tersebut.
Tambahnya, UNIQLO tidak mempunyai sebarang strategi tertentu untuk menguasai pasaran jenama tersebut di Malaysia, sebaliknya ia sama dengan cawangan-cawangan lain di seluruh dunia.
‘‘UNIQLO mempertaruhkan pakaian dan fesyen yang sama di seluruh dunia pada harga rendah tetapi kualiti yang sama dengan jenama-jenama terkenal lain.
‘‘Setakat ini, UNIQLO mendapat sambutan begitu baik, memandangkan operasi di Malaysia terlalu baru. Tetapi saya percaya jenama ini mampu menguasai pasaran runcit fesyen di negara ini,’’ ujarnya.