Khamis, 18 November 2010

Keresa Plantations sasar pengeluaran MSM 27,000 tan sehektar

Keresa Plantations Sdn. Bhd., syarikat perladangan kelapa sawit pertama Sarawak yang memperoleh pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), menyasarkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 27,000 tan sehektar, kata Pengarah Urusannya, Graeme Iain Brown hari ini.



Beliau berkata, syarikat perladangan bersaiz kecil itu, yang memiliki 6,023 hektar ladang di Tubau, Bintulu, sedang mengenal pasti pelbagai pihak, termasuk Sime Darby dan Wilmar International, untuk menjalin perjanjian dalam tempoh beberapa minggu akan datang.



"Kami terbuka untuk semua pasaran (eksport) bagi menghasilkan sejumlah 30,000 tan MSM setahun," katanya kepada pemberita selepas penyerahan sijil di pensijilan itu di sini.



Turut hadir ialah Pengerusi Keresa Plantations Datuk Amar Leonard Linggi Jugah, yang juga Pengerusi Keresa Mill Sdn. Bhd., dan Pengarah Urusan BSI Group Asean Alwi Abdul Hafiz.



Brown berkata, syarikat itu sedang mengusahakan satu skim untuk memasukkan pekebun kecil penduduk asal untuk menghantar produk MSM mereka ke kilangnya selain pensijilan yang serupa untuk tiga lagi ladang milik Keresa yang membabitkan sejumlah 16,000 hektar antara Bintulu dan Miri.



Syarikat perlu mengkaji semula cara ia menjalankan perniagaan terutama apabila negara seperti Belanda komited untuk memperoleh 100 peratus minyak sawit yang memperoleh pensijilan lestari menjelang 2015 selain sebagai pengeluar utama atau peruncit seperti Unilever, Body Shop dan Tesco, katanya.



Brown berkata, tanggapan umum di Eropah ialah Sarawak menebang hutan hujan dan kerap didakwa oleh beberapa segmen bahawa produk minyak sawit dikaitkan dengan penebangan hutan, pemusnahan alams ekitar dan pertikaian mengenai tanah.



Alwi berkata, pensijilan RSPO merupakan mekanisme untuk pengeluar yang bertanggungjawab menunjukkan komitmen mereka dalam mengeluarkan minyak sawit lestari selain sedia diaudit secara berterusan oleh pihak ketiga.



Beliau berkata, hanya tujuh peratus atau 3.2 juta daripada 45 juta tan pengeluaran tahunan global memperoleh sijil ketika ini, dengan Malaysia menyumbang sebanyak 65 peratus, diikuti Indonesia dan Papua New Guinea. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan