Rabu, 12 Januari 2011

Beli Kim Eng perluas laluan serantau Maybank

Cadangan Malayan Banking Bhd. (Maybank) untuk membeli firma broker saham berpangkalan di Singapura, Kim Eng Holdings Ltd., dengan harga RM4.3 bilion akan membolehkan bank itu mempercepat pertumbuhan pembrokeran runcit firma itu dalam pasaran-pasaran semakin berkembang yang kurang ditembusi seperti Indonesia.



Dalam satu nota hari ini, OSK Research berkata, pembelian itu akan memberikan laluan perbankan pelaburan dan pengagihan pembrokeran segera ke lapan negara, dengan Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina, di mana Kim Eng merupakan satu daripada tujuh firma broker saham terunggul, sebagai pasaran tumpuan utama.



"Berdasarkan kejayaan yang dicapai oleh CIMB dengan pembelian GK Goh, pastinya ada sinergi berdaya maju dan berpotensi yang boleh diraih oleh Maybank hasil kemasukan Kim Eng," katanya.



OSK berkata, ia berpandangan "neutral hingga sedikit positif" tentang pembelian itu kerana kesan ke atas pendapatan dalam jangka terdekat amat kecil.



Ia mengekalkan saranan "beli" ke atas Maybank dengan harga sasaran RM10.07. - Bernama



Perolehan Tejari diunjur meningkat hingga 20%

Tejari Technologies Bhd. (Tejari) mengunjurkan perolehannya meningkat sebanyak 10 hingga 20 peratus bagi tahun kewangan 2011.



Ketua Pegawai Kewangannya, Kenny Khow berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan prospek lebih baik bagi syarikat pada tahun ini terutama dalam bidang teknologi.



''Pengambilan alih dua syarikat dalam industri teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) melalui anak syarikat milik penuh kami ICT Utopia Sdn. Bhd. (ICT Utopia) pada Julai tahun lalu telah membantu memulihkan perolehan serta keuntungan syarikat berbanding sebelumnya.



''Pada tahun ini juga, kami sedang meninjau peluang melaksanakan aktiviti pengambilan alih dan gabungan strategik terutama dalam segmen perniagaan teknologi Tejari,'' katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan terbitan hak dengan waran Tejari di sini hari ini.



Hadir sama Pengarah Eksekutif ICT Utopia, Wayne Chong, Pengurus Kanan PM Securities Sdn. Bhd. (PM Securities), Vivien Hooi dan Ketua Bersama PM Securities, Wong Chan Han.



Khow berkata, bagi perniagaan kejuruteraan Tejari iaitu kegiatan penyediaan penyelesaian reka bentuk automasi hidraulik dan peralatan kejuruteraan, mereka sedang membida beberapa projek besar pada tahun ini.



''Setakat ini, jumlah kontrak dalam segmen perniagaan ini bernilai sekitar RM40 juta dan pada tahun ini lebih banyak projek besar sedang dibida oleh syarikat.



''Oleh itu, kami yakin untuk mencapai pertumbuhan terutama dengan keputusan kewangan yang memberangsangkan bagi tahun kewangan lalu,'' jelasnya.



Terdahulu, Tejari mengumumkan terbitan hak sehingga 420.02 juta saham baru pada harga RM0.10 sesaham beserta 315.01 juta waran boleh pisah (detachable) pada asas empat terbitan hak serta tiga waran percuma bagi setiap saham sedia ada pada harga terbitan RM0.12 setiap terbitan hak.



Terbitan hak itu dijangka menjana sehingga RM50.4 juta. RM11 juta akan digunakan untuk membayar pinjaman, manakala RM38.5 juta untuk modal kerja yang akan dibahagikan kepada setiap divisyen perniagaan.



Sekiranya terbitan itu menerima langganan minimum iaitu sebanyak RM30 juta, sebanyak RM11 juta tetap digunakan untuk membayar pinjaman dan selebihnya digunakan sebagai modal kerja.