Jumaat, 19 November 2010

iHeal Medical unjur RM10 juta


iHeal Medical Services Sdn. Bhd. (iHeal Medical), projek usahasama Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWT), menyasarkan pendapatan RM10 juta mulai tahun depan dan pertumbuhan sebanyak 15 peratus bagi tahun-tahun seterusnya.



Pengarah Kesihatannya, Dr. David Khoo Sin Keat, bagaimanapun berkata, iHeal Medical menumpukan pelancong asing sebagai pelanggan utama khususnya dari Indonesia.



Beliau berkata, pelancong asing itu kerap ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana ia dianggap antara terbaik di rantau Asia Tenggara.



Sin Keat menambah: "Bagi rakyat tempatan, pusat ini berperanan mendidik mereka tentang penjagaan kesihatan khususnya pada peringkat awal kerana mereka, biasanya kurang mengendahkannya.



"Kami juga mengambil kesempatan ini bagi memperkasakan program pelancongan kesihatan oleh kerajaan," katanya .



Beliau berkata demikian selepas lawatan media ke sekitar hospital yang beroperasi sejak Jun lalu di Pusat membeli-belah Mid Valley di sini hari ini.



iHeal Medical akan dirasmikan Isnin ini oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.



Hospital dibangunkan oleh LTAWT yang menguasai 60 peratus kepentingannya sahamnya dan baki 40 peratus lagi oleh Biomedical Technologies Sdn. Bhd. dan pengasasnya iaitu Sin Keat sendiri.



Ujar Sin Keat, hospital itu mensasarkan untuk menerima antara 800 hingga 1,000 pesakit setiap bulan.



"Kami menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti mana-mana pusat kesihatan yang lain. Apa yang lebih istimewa, kami menyediakan persekitaran yang serta penggunaan teknologi perubatan moden," jelasnya.



Antara perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan adalah kesihatan berbentuk pencegahan awal penyakit, terapi, rawatan genetik dan teknik pembedahan minimum invasif.



Pusat kesihatan itu turut berkerjasama dengan Pusat Perubatan Prince Court bagi perkongsian perkhidmatan kesihatan dan Asiatic Centre for Genome Technology Sdn. Bhd. (ACGT) bagi tujuan perkongsian teknologi penyelidikan dan pembangunan.



Beliau berkata, pihaknya tidak melakukan promosi besar-besaran kerana keuntungan bukan tumpuan pusat kesihatan itu ditubuhkan.



Tambah Sin Keat, apabila kedudukan iHeal Medical menjadi kukuh, beliau mengharapkan operasi pusat kesihatan itu dikembangkan di Indonesia, China dan Vietnam.