Khamis, 28 Januari 2010

Aspek Kecairan Dalam Pelaburan

MINGGU ini kita membincangkan mengenai aspek kecairan (liquidity) dalam pelaburan. Istilah ini bermaksud kemudahan untuk menukar sesuatu bentuk pelaburan kepada tunai di dalam jangka masa singkat tanpa menanggung kos urus niaga yang tinggi.


Berdasarkan fakta, ramai bakal pelabur lebih suka memilih pelaburan yang mempunyai tahap kecairan yang tinggi. Menurut hukum ekonomi permintaan dan penawaran, lebih tinggi tahap kecairan sesuatu pelaburan, maka lebih rendah pulangannya.

Pelaburan yang mempunyai tahap kecairan yang tinggi seperti akaun simpanan, simpanan tetap dan bon, di mana pelabur boleh menunaikan atau menukar pelaburannya pada harga pokok kepada wang tunai dalam kadar segera tanpa membabitkan kos urus niaga yang tinggi.

Manakala pelaburan yang mempunyai tahap kecairan rendah seperti hartanah atau aset tetap akan mengambil masa yang lebih lama dan membabitkan kos urus niaga yang agak tinggi.

Seseorang mungkin terfikir pelaburan di pasaran saham terbuka boleh diklasifikasikan sebagai mempunyai tahap kecairan yang tinggi kerana saham biasanya boleh dijual atau ditukar kepada wang tunai dalam tempoh beberapa hari. Namun, realitinya, saham boleh menjadi satu pelaburan yang tidak mudah cair.

Antara sebab utama keadaan itu ialah kebanyakan pelabur mungkin dibelenggu oleh `perangkap psikologi'. Pelabur tidak mahu menjual pegangan mereka di bawah paras harga belian sesuatu saham ketika pasaran jatuh.

Mereka lebih rela menunggu dan berharap pasaran akan naik semula, tetapi jika diteliti, sesuatu kejatuhan pasaran (bear market) mungkin mengambil masa sehingga dua hingga tiga tahun.

Justeru, pelabur berkenaan terpaksa menunggu dalam jangka masa itu untuk melakukan urus niaga dan seterusnya mendapat keuntungan. Antara sebab lain ialah seseorang pelabur itu mungkin tidak boleh menjual pegangannya apabila tiba masa untuk menjual.

Ciri terakhir pula ialah ciri ketidaktentuan (uncertainty) yang mana lebih berkisar kepada faktor `harapan' dan `risiko'. Ini disebabkan sesetengah bentuk pelaburan sukar untuk menjangka pulangannya berbanding pelaburan lain.

Misalnya, simpanan tetap boleh dikategorikan sebagai satu pelaburan yang selamat di dalam keadaan biasa. Namun begitu, ramai juga pelabur yang terperangkap seperti apa yang berlaku di Indonesia di mana beberapa bank dan syarikat kewangan terpaksa ditutup atau diambil alih pengurusannya ekoran krisis kewangan pada 1997.

Pelaburan di pasaran saham terbuka juga mempunyai tahap ketidaktentuan pulangan yang sangat tinggi. Harga saham yang stabil pada hari ini mungkin akan jatuh menjunam pada masa depan, begitu juga sebaliknya.

Kebanyakan pelabur baru di pasaran saham terbuka tidak memahami konsep ini. Mereka secara melulu bergantung kepada remisier atau khabar angin dan seterusnya menjangka pelaburan mereka akan menepati jangkaan dan memberikan pulangan yang besar.

Seseorang tidak boleh mendapatkan sesuatu tanpa membabitkan kos. Pelaburan saham di pasaran bebas hanya memberi pulangan yang tinggi disebabkan ketidaktentuannya.

Jika anda tidak sanggup menanggung risiko ketidaktentuan ini, adalah lebih baik jika anda memilih pelaburan yang lebih selamat seperti simpanan tetap, amanah saham tertutup dan sebagainya
 
Sumber : Internet/Berita  Main Saham

Tiada ulasan:

Catat Ulasan