Khamis, 28 Januari 2010

Kenali Asas Pelaburan

KITA sering mendengar orang ramai bercakap atau berbincang mengenai pelaburan. Isu pelaburan kebelakangan ini begitu hangat diperkatakan dan sudah menjadi satu topik perbualan umum.


Justeru, tidak hairan jika ramai menganggap pelaburan dan spekulasi adalah satu perkara yang sama. Bagi mengelak dipengaruhi kegiatan spekulasi berkenaan, pelabur terutama pelabur baru perlu mengenali asas pelaburan.

Kebiasaannya, sebelum seseorang pelabur khususnya pelabur di pasaran saham memulakan pelaburan, dia mungkin tidak mempunyai pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan.

Pelabur berkenaan mungkin bergantung sepenuhnya kepada remisier atau broker saham untuk memberitahunya mengenai prosedur urus niaga dan peraturan pasaran saham.

Selain itu, kebanyakan pelabur pula mungkin membuat keputusan untuk berurus niaga berdasarkan khabar angin dan spekulasi.

Walaupun, ada antara mereka yang berjaya memperoleh keuntungan segera, namun lama-kelamaan ia bertukar kepada kerugian kerana terus bergantung kepada khabar angin dan spekulasi berkenaan.

Ini disebabkan pelabur kecil terbabit biasanya mempunyai dana yang terhad dan tidak mampu bertahan lama di pasaran.

Secara umumnya, pelaburan boleh didefinisikan sebagai `satu pertukaran wang tunai atau pembelian aset dengan harapan bahawa aset itu akan membawa keuntungan pada masa depan dalam bentuk faedah, dividen, sewaan atau kenaikan harga'.

Perkataan `aset' bermaksud aset tetap dan aset kewangan. Aset tetap ialah aset nyata iaitu harta yang bersifat kebendaan dan mencerminkan nilai sebenar seperti tanah, rumah, kenderaan dan peralatan.

Aset kewangan pula ialah sesuatu harta yang bersifat tuntutan berdokumen terhadap pemilikannya dan agak sukar menentukan nilai sebenarnya seperti saham, simpanan tetap dan insurans.

Perlu ditekan di sini, perkataan `dengan harapan' bermakna ia membabitkan risiko iaitu kemungkinan mengakibatkan kerugian.

Setiap pelaburan pasti mempunyai risiko. Jika seseorang melabur di pasaran terbuka, risiko yang perlu ditanggungnya ialah perubahan harga sesuatu saham berkenaan.

Berdasarkan definisi itu, jelas bahawa ada pelbagai bentuk pelaburan. Menyimpan wang di dalam akaun simpanan, membeli hartanah dan membeli kenderaan adalah antara contoh pelaburan.

Malah, menyimpan wang dalam `tabung buluh' juga dianggap sebagai pelaburan iaitu memberi pulangan atau faedah ketika berlaku deflasi iaitu ketika harga barangan atau perkhidmatan turun.

Berikutan wujud pelbagai bentuk pelaburan, seseorang pelabur perlu bijak menentukan matlamat pelaburannya. Selain risiko, antara ciri lain yang harus dipertimbangkan ialah bentuk pulangan, kecairan dan ketidaktentuan pasaran saham.

Bentuk pulangan sesuatu pelaburan biasanya merangkumi pulangan tetap dan keuntungan modal. Sesetengah pelaburan hanya memberi pulangan dalam bentuk pulangan tetap seperti akaun simpanan, simpanan tetap, bil Perbendaharaan dan bon.

Pelaburan yang tidak menjanjikan pulangan secara tetap tetapi dalam bentuk keuntungan modal yang tinggi ialah seperti pelaburan emas dan berlian.

Pelaburan yang bergantung kepada keuntungan modal biasanya memberi pulangan yang tinggi berbanding pelaburan yang memberi pulangan tetap. Bagaimanapun, pelaburan yang memberi keuntungan modal sahaja adalah lebih berisiko berbanding pelaburan yang memberi pulangan tetap.

Dalam jangka panjang, pelaburan di pasaran saham terbuka memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding kaedah pelaburan simpanan akaun tetap.

Sumber : Internet/Berita Main Saham

Tiada ulasan:

Catat Ulasan