Khamis, 11 November 2010

ICC: Terma tidak betul jejaskan perniagaan

Penggunaan terminologi yang tidak betul dalam perdagangan antarabangsa boleh menjejaskan perniagaan dari segi kos perundangan dan kontrak terbatal.

Demikian dimaklumkan oleh Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (ICC Malaysia) kepada para pengimport, pengeksport, tokoh bank, penghantar fret dan perunding perniagaan di satu seminar yang diadakan di sini hari ini.

Seminar itu bertujuan membantu para peniaga mengelak salah faham dengan mengedarkan maklumat mengenai terma yang diiktiraf antarabangsa dan memberi penjelasan mengenai kos, risiko dan tanggungjawab pembeli dan penjualan dalam penghantaran atau penyampaian barangan mereka.

ICC Malaysia ialah jawatankuasa kebangsaan kepada ICC di Malaysia. Terdapat 93 jawatankuasa kebangsaan ICC seluruh dunia.

Seminar yang sama akan diulang semula esok, kata ICC Malaysia dalam kenyataan hari ini sambil berkata, sambutan untuk acara itu amat menggalakkan.

ICC telah mengumpul senarai terma perdagangan yang diiktiraf antarabangsa yang ia semak kembali dan dilancarkan pada 15 September sebagai Incoterms 2010.

Terma ini akan berkuat kuasa seluruh dunia pada 1 Januari 2011. Singkatan untuk "terma komersial antarabangsa", peraturan Incoterms pertama kali diwujudkan oleh ICC pada 1936 untuk membantu peniaga mengelak salah faham dengan menjelaskan kos, risiko dan tanggungjawab kedua-dua pembeli dan penjual dalam penghantaran/penyampaian barangan.

Peraturan Incoterms 2010 mengambilkira perkembangan perdagangan global sejak ianya disemak kali terakhir pada 2000.

Ini termasuklah perubahan dalam keselamatan kargo yang merupakan barisan hadapan dalam agenda pengangkutan untuk banyak negara.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan