Para pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) percaya mereka tidak mempunyai rizab tunai yang cukup sekiranya berlaku satu lagi kemelesetan ekonomi, demikian menurut hasil satu kaji selidik di sini.
Kajiselidik yang dilakukan Forbes Insights menunjukkan kebanyakan PKS percaya kemelesetan terburuk telah berlalu dan antara 31 dan 54 peratus yang dikaji menyatakan kebimbangan tidak mampu mengharungi kemelesetan baharu.
Kaji selidik itu dilakukan dengan kerjasama antara Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA),
Persatuan Akauntan Umum Bertauliah Kanada (CGA-Canada) dan CNDCEC yang merupakan badan profesional akauntan bertauliah di Itali.
Kajian itu bertajuk 'PKS: Membina semula Asas untuk Pertumbuhan selepas Pemulihan' melibatkan lebih 1,750 PKS dengan 30 peratus terlibat dalam perniagaan mikro yang menggajikan kurang dari 10 orang.
Kaji selidik itu juga mendapati kemelesetan telah memaksa para pengusaha PKS menjadi ahli perniagaan lebih baik dan sekiranya perlu mengambil risiko, mereka dapat mengawalnya.
Kaji selidik itu juga mendapati perniagaan yang menerima nasihat profesional atau pakar mencatatkan prestasi lebih baik kerana ia memberikan PKS keyakinan untuk mengharungi sebarang cabaran.
Kaji selidik itu juga telah membuat beberapa saranan seperti PKS perlu menimbang faktor seperti peningkatan kadar faedah, kerajaan perlu memberi komitmen terhadap dasar pencukaian, monetari dan peraturan selain mengukuhkan jaminan pinjaman kepada PKS.
Selain itu, lebih banyak syarikat perlu meneroka pembiayaan rantaian bekalan, penasihat perniagaan dan syarikat dibiayai kerajaan perlu mengutamakan menambah baik kredit dan kesediaan pelaburan.
''Penyedia modal mesti jelas terhadap kriteria pinjaman atau pelaburan dan menimbangkan keperluan keselamatan dan perniagaan perlu menggunakan maklumat pembiayaan dan kredit terhadap pelanggan serta bakal rakan dagangan mereka.
''Kerajaan juga perlu mengenal pasti kepentingan kritikal kredit dagangan, penasihat perniagaan perlu melihat PKS yang kurang modal dan mereka juga perlu menerima nasihat profesional,'' tambah kaji selidik itu.
Ketua Negara ACCA Malaysia, Jennifer Lopez berkata, dua tahun lalu merupakan tahun mencabar bagi PKS tetapi mereka dapat bangkit menjadi lebih kuat, mempunyai kawalan dan optimistik.
''Tetapi pemulihan, seperti sekarang memberikan risiko yang unik. Kaji selidik ini menunjukkan mempunyai kelengkapan, sokongan dan keyakinan untuk melepasi risiko ini memberi perbezaan kepada PKS untuk terus tumbuh atau kekal di tahap sekarang.
''Oleh itu di peringkat tempatan, inisiatif seperti pembangunan PKS sebagai enjin pertumbuhan dan inovasi dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK 10) dan Pelan Induk 10 tahun adalah dihargai,'' kata beliau.
Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Penasihat ACCA dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, walaupun terdapat tanda-tanda pemulihan tetapi sektor PKS masih belum benar-benar pulih.
''Kami percaya ia adalah penting untuk memahami isu dihadapi oleh sektor ini dan berdasarkan kaji selidik itu beberapa perkara perlu dilaksanakan oleh pembuat polisi dan mereka yang terlibat,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan