Jumaat, 7 Januari 2011

FBM KLCI catat rekod lima hari berturut turut

Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mengenepikan sentimen yang kurang memberangsangkan di pasaran-pasaran serantau untuk mencatatkan paras tinggi baharu dan kali ini, ia didorong oleh saham-saham berkaitan telekomunikasi.



Pada penutup, FBM KLCI mengakhiri paras tinggi sehariannya iaitu 1,573.63 untuk ditutup pada 1,572.21, naik 3.84 mata, sekali gus mengekalkan pengukuhannya untuk hari kelima berturut-turut. Ia dibuka 5.11 mata lebih tinggi pada 1,573.48.



Saham untung mengatasi saham rugi dengan 526 berbalas 324."Ia merupakan perolehan mingguan terbaik iaitu 3.1 peratus dan jumlah dagangan mingguan terbaik dalam enam bulan," kata Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment, Dr Nazri Khan.



Indeks Kewangan susut 9.18 mata kepada 14,416.01 dan Indeks Perusahaan menokok 1.63 mata kepada 2,929.06 dan Indeks Perladangan merosot 53.28 mata kepada 8,248.43. Indeks FBM Emas melonjak 35.89 mata kepada 10,791.87, Indeks FBM Ace mengembang 65.32 mata kepada 4,492.46 dan Indeks FBM70 naik 45.09 mata kepada 11,476.83.



Jumlah dagangan ialah 2.536 bilion saham bernilai RM3.454 bilion, lebih rendah daripada 2.204 bilion saham bernilai RM3.141 bilion semalam.



Saham-saham aktif, SAAG Consolidated naik 1.5 sen kepada 10.5 sen, Talam turun setengah sen kepada 9.5 sen dan Hubline mengembang 1.5 sen kepada 24.5 sen.



Di kalangan saham berwajaran tinggi, CIMB Group dan Sime Darby, masing-masing berkurangan tiga sen kepada RM8.93 dan RM9.37, Petronas Chemicals melonjak empat sen kepada RM5.96, Genting kekal pada RM11.30 dan Maxis lega satu sen kepada RM5.35.



Di pasaran Utama, jumlah dagangan menambah kepada 2.115 bilion saham bernilai RM3.351 bilion daripada 1.816 bilion unit bernilai RM3.051 bilion semalam.



Waran menokok kepada 292.271 juta saham bernilai RM74.636 juta daripada 268.861 juta unit bernilai RM63.991 juta sebelumnya.



Jumlah dagangan di Pasaran Ace mengukuh kepada 112.671 juta saham bernilai RM22.547 juta daripada 100.726 juta unit bernilai RM15.693 juta pada hari Khamis. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan