MIDF Amanah Investment Bank Bhd. (MIDF Investment) mengunjurkan pasaran saham tempatan bakal mencecah paras 1,650 mata pada tahun depan berikutan beberapa sentimen positif.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Penyelidikannya, Zulkifli Hamzah berkata, antara sentimen adalah lebih banyak tawaran awam permulaan (IPO) besar diketuai oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. (Petronas Carigali).
''Penyenaraian Petronas Carigali yang dijangka pada tahun depan akan meningkatkan minat pelabur asing untuk melibatkan diri dalam pasaran ekuiti tempatan.
''Minat pelabur asing terhadap Petronas Carigali adalah disebabkan oleh syarikat itu secara aktif melakukan aktiviti eksplorasi minyak. IPO tersebut dijangka menjadi IPO terbesar pada tahun hadapan,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memberikan taklimat media mengenai unjuran ekonomi pada tahun hadapan di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Megat Hisham Megat Mahmud dan Pakar Ekonomi MIDF Investment, Anthony Dass.
Tambah Zulkifli, sentimen lain turut membantu adalah lebih banyak aktiviti korporat seperti penggabungan dan pengambilan alih syarikat (M&A).
''Aktiviti M&A telah dimulakan pada tahun ini dengan beberapa syarikat hartanah besar telah mengambil langkah tersebut. Pada tahun hadapan sektor lain yang bakal mengalami M&A adalah sektor minyak dan gas.
''Faktor lain yang mendorong kepada pasaran ekuiti yang memberangsangkan adalah pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) iaitu pada paras melebihi lima peratus,'' jelasnya.
Selain itu, katanya pelaksanaan program transformasi ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia ke sepuluh (RMK10) turut membantu merancakkan pasaran ekuiti tempatan.
''Ini kerana lebih banyak projek yang berintensif modal akan mula bergerak dalam pasaran.
''Manakala pertumbuhan pendapatan korporat juga bakal melonjak kepada paras 15.8 peratus berbanding 14 peratus pada tahun ini. Ia akan disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perbankan, perladangan dan pembinaan,'' tambahnya.
Sementara itu, ringgit akan terus mengukuh pada paras RM3.00 berbanding dolar AS dan pada suku pertama tahun depan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas.
Zulkifli berkata, penambahan kadar OPR itu bergantung kepada keadaan inflasi semasa negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan