Jumaat, 24 Disember 2010

Tawaran tender MRT dibuka April

MOHD Nur Ismal  menunjukkan pelan laluan projek MRT dari Sungai Buloh   ke Kajang pada taklimat  media projek MRT di Kuala Lumpur.
MOHD Nur Ismal menunjukkan pelan laluan projek MRT dari
Sungai Buloh ke Kajang pada taklimat media projek MRT di Kuala Lumpur.
 
 
 
Kerja pembinaan fasa pertama akan dimulakan pada Julai tahun depan



TENDER laluan pertama projek Aliran Transit Massa (MRT) antara Sungai Buloh dan Kajang akan dibuka bidaan syarikat tempatan dan asing pada April ini, kata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).



Ketua Eksekutifnya, Mohd Nur Ismal Kamal, berkata tawaran bidaan yang dibuat menerusi tender terbuka itu termasuk bagi kerja pembinaan stesen merangkumi stesen bawah tanah dan bertingkat, laluan bertingkat, depoh, kerja pembinaan landasan dan sistem tren.


Tender itu akan dibuka kepada syarikat tempatan dan luar negara yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan projek pengangkutan awam rel, katanya pada taklimat media mengenai MRT di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar. Kerajaan sebelum ini mengumumkan MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd, yang dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk projek itu tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam proses tender itu kecuali untuk pakej terowong.



Kerja pembinaan bagi fasa pertama projek itu yang menjadi antara projek permulaan (EPP) menerusi Greater KL/Lembah Klang itu akan dimulakan pada Julai tahun depan dan dijangka siap enam tahun kemudian.



Mohd Nur Ismal berkata, kira-kira 20 peratus daripada kerja pembinaan keseluruhan laluan MRT sepanjang 60 kilometer itu membabitkan pembinaan terowong atau laluan bawah tanah.



Mengenai pembiayaan bagi projek itu, Mohd Nur Ismal berkata, ia akan dibiayai sepenuhnya kerajaan, manakala kaedah mendapatkan dana bagi pembiayaan projek itu akan diputuskan kelak.

Mengenai mekanisme pengumpulan dana pula ia akan ditentukan mengikut kaedah paling efektif mengikut kesesuaian kedudukan kewangan kerajaan, katanya.



Syed Hamid pula berkata, bagi tujuan penjanaan dana itu, Kementerian Kewangan akan mewujudkan syarikat tujuan khas (SPV) sebagai entiti pembiayaan infrastruktur projek itu.



"Mekanisme pembiayaan secara lebih terperinci belum dimuktamadkan, katanya.



Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan mekanisme mendapatkan dana bagi pembinaan projek prasarana terbesar negara itu akan dijana daripada pasaran modal.



Kos pembinaan projek itu dianggarkan bernilai RM36.6 bilion.



Ditanya mengenai isu pengambilan tanah yang mungkin timbul sebelum pelaksanaan projek itu, Syed Hamid berkata, SPAD menyedari perkara itu dan akan menanganinya dengan baik.



Kami tidak mahu isu pengambilan tanah itu menjadi penghalang kepada projek ini.



Justeru, kami akan melakukan apa yang perlu berhubung perkara itu, katanya.



Beliau berkata, SPAD juga akan mendapatkan maklum balas awam mengenai projek itu menerusi pameran terbuka yang akan diadakan pada Mac atau April tahun depan.



Maklum balas ini diperlukan sebelum kerja pecah tanah dimulakan pada Julai 2011, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan