Jumaat, 24 Disember 2010

SenHeng sasar jualan RM900j tahun depan

SenHeng Elektrik (KL) Sdn. Bhd. (SenHeng) menyasarkan jualannya meningkat sebanyak 16 peratus kepada RM900 juta pada tahun hadapan.



Pengarah Urusannya, Lim Kim Chieng berkata, SenHeng berjaya mencatat jualan sebanyak RM777 juta setakat ini, peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding tahun lalu.



Menurutnya, peningkatan tersebut didorong oleh kuasa membeli rakyat Malaysia yang semakin meningkat berikutan kestabilan ekonomi negara dan sokongan skim ansuran mudah daripada AEON Credit Service (M) Sdn. Bhd.



"Kami optimis untuk mencapai sasaran jualan tahun hadapan melalui 100 cawangan di seluruh nagara dan sebuah cawangan baharu di Vietnam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kempen SenHeng Toy Story 3 Mix Match.



Seramai 50 orang pemenang menerima televisyen Samsung LED 3D bersaiz 40 inchi bernilai RM9,999 pada majlis tersebut yang diadakan di sini hari ini.



Chieng berkata, SenHeng merancang untuk membuka 30 cawangan tempatan baharu dan tiga cawangan di Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam dengan nilai pelaburan lebih RM23 juta pada tahun hadapan.



"Daripada jumlah tersebut 10 hingga 30 cawangan akan dibuka secara francais. Ketika ini SenHeng mempunyai 48 cawangan yang diuruskan secara francais," ujarnya.



Beliau berkata, SenHeng mempunyai dua cabang perniagaan iaitu SenHeng Elektrik dan SenQ.



"SenQ fokus kepada barangan elektrik premium yang menawarkan pelbagai barangan berjenama dan bermutu tinggi manakala SenHeng Elektrik lebih kepada barangan mampu milik.



"SenHeng Elektrik menyumbang sebanyak 58 peratus kepada jualan kami dan selebihnya adalah SenQ," jelasnya.



Mengulas mengenai kempen SenHeng Toy Story 3 Mix Match, Chieng berkata, kempen tersebut berjaya menjana jualan sebanyak RM178 juta sepanjang tiga bulan bermula Jun lalu.



Katanya lagi, SenHeng akan menganjurkan dua buah lagi kempen besar tahun hadapan iaitu Be A Super Hero dan Green Power bermula Januari depan.



"Kempen Green Power dijangka menjana jualan RM1.3 juta manakala Be A Super Hero mampu meraih lebih RM177 juta.



"Kempen Green Power akan diakhiri dengan penanaman pokok di tanah seluas 46 hektar di Ulu Segama, Sabah dan nama pelanggan bertuah akan ditandakan pada setiap pokok tersebut," jelasnya.



Untuk menyertai kempen Green Power pelanggan hanya perlu membeli pendingin hawa berteknologi hijau bernilai serendah RM1,500 dan kempen itu akan berlangsung selama setahun.



Manakala kempen Be A Super Hero akan bermula Januari hingga Februari depan dan pelanggan berpeluang memiliki lebih 30 buah televisyen Sony LED dan 500 buah model kereta Black Beauty edisi khas.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan