SELASA lalu menyaksikan termeterainya janji yang menyaksikan berakhirnya kisah hangat tidak ubah seperti 'percintaan tiga segi' di dunia korporat tempatan. Selepas lebih dua tahun berusaha DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) secara rasminya pilihan syarikat automotif asing terkemuka dunia, Volkswagen AG (VW) untuk dijadikan pasangan dalam menerokai pasaran tempatan dan serantau.
Bagaimanapun perjalanannya, sebenarnya tidak semudah yang disangkakan apabila syarikat konglomerat itu terpaksa bersaing dengan Proton Holding Bhd. (Proton) kerana mempunyai keinginan yang sama.
Hasrat DRB-HICOM, syarikat senaraian awam milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pernah terpaksa ditangguhkan selama setahun dengan berikutan kehadiran syarikat milik kerajaan dalam perebutan itu. Malah, Proton pernah ditawarkan satu bentuk kerjasama atau pakatan melibatkan tiga pihak dengan VW sebagai satu penyelesaian menguntungkan semua pihak, malangnya tawaran itu ditolak. Ia dikatakan termasuk memberikan platform kereta Passat yang dikeluarkan syarikat Jerman itu, untuk menggantikan kereta Proton Perdana kepada syarikat kereta nasional.
Kegagalan menjalin kerjasama dengan Proton, hampir menyaksikan VW meninggalkan Malaysia untuk mencari 'pasangan' lain di Thailand dan Indonesia, sekali gus boleh menyebabkan negara sekadar mampu gigit jari ketika terdapat persaingan sengit di luar untuk mencari rakan kongsi asing.
Bagaimanapun, DRB-HICOM, berjaya meneruskan rundingan dengan menawarkan pilihan baharu, satu model perniagaan yang berbeza. Syarikat itu dilihat memiliki keupayaan tinggi memenuhi selera besar VW kerana DRB-HICOM sendiri merupakan pengeluar dan pemasang kereta premium terkemuka dunia seperti Mercedes, Audi, Honda dan Suzuki.
Di bawah model perniagaan itu, DRB-HICOM menawarkan satu pakej kerjasama yang lengkap meliputi pengeluaran, pemasangan dan pengedaran berdasarkan jalinan operasi yang ada selain rangkaian pengeluar komponen atau vendor sedia ada yang turut membekalkan produk syarikat automotif lain di luar negara.
Biarpun kerjasama ini dilihat seolah-olah lebih bersifat komersial. Syarikat konglomerat tempatan itu sebenarnya turut berperanan membantu mencapai aspirasi Malaysia menjadi sebagai sebuah negara maju dengan menerajui industri automotif yang bakal menyediakan peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan peluang perniagaan industri hiliran selain pertukaran kepakaran dalam pemasangan, ujian dan kualiti bagi model di pasang dalam negara.
Sebenarnya, tidak ramai benar-benar mengenali DRB-HICOM yang kini berusia 30 tahun dan telah berkecimpung dalam bidang automotif lebih awal berbanding Proton sendiri dengan memiliki kemudahannya di Pekan. Malah, Kumpulan Naza sendiri pernah mengunakan kemudahan yang tersedia di sana untuk operasinya.
Bertatih dan berkembang di atas kaki sendiri tanpa menikmati keistimewaan, syarikat yang pernah menjadi milik tokoh koporat terkemuka allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad, berjaya memantapkan prestasinya dan membangunkan keupayaan daripada segi empat M iaitu kaedah, mesin, bahan mentah dan tenaga kerja menepati kehendak pengguna.
Malangnya, sikap low profile menyebabkan keupayaan tidak terserlah dan diketahui ramai.
Keterlibatan DRB-HICOM dalam pemasangan kereta-kereta jenama besar memberikan impak penting untuk menarik syarikat asing seperti VW. Pada masa yang sama, ia juga meningkat kebolehupayaan meningkatkan kandungan tempatan dengan pantas.
Kejayaan memasang kereta berpremium tinggi seperti Mercedes S series, di Kompleks Automotif Bersepadu DRB-HICOM di Pekan, Pahang, berjaya menambat hati VW untuk bertapak di Malaysia.
Kalau sebelum ini syarikat tempatan itu boleh diberikan kepercayaan untuk memasang kereta mewah itu dengan kualitinya bertaraf dunia, apalah sangat menghasilkan kereta VW pada kualitinya yang setanding jika tidak lebih baik.
Sebagai pengeluar kereta yang terbilang, syarikat dari Jerman lebih cenderung kepada cadangan yang lebih menguntungkan iaitu peluasan operasi di dalam dan peringkat serantau ketika penguasaannya di dunia sebelah sini, kekal terlalu kecil.
DRB-HICOM pula dilihat sebagai pilihan yang terbaik kerana penanda aras dalam operasinya sama ada dalam pemasangan dan juga pengedaran, adalah menepati kualiti sejagat.
Dengan memilihnya, VW tidak perlu bimbang bakal terpaksa mengambil masa lebih panjang untuk mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Lagipun syarikat kereta nasional itu tidak pula menawarkan model perniagaan pilihan apabila syarikat asing itu dikatakan sukar membuat keputusan untuk mewujudkan kerjasama tanpa memiliki kepentingan majoriti.
Biarpun DRB-HICOM berjaya memikat VW, tetapi melalui syarikat konglomerat itu, peluang masih terbuka luas untuk Proton merintis kerjasama dengan VW , sekali gus mengangkat keupayaannya ke tahap lebih tinggi dalam perspektif lebih baik. Tambahan pula, syarikat pengeluar kereta asing itu sendiri turut membangunkan jenama kereta Republik Czech iaitu Skoda dan Seat dari Sepanyol sebagai 'kereta rakyat' di bawah naungan VW tanpa menghapuskan nama jenama asalnya. Malah, ia terus berkembang di arena antarabangsa.
Bagi DRB-HICOM sendiri, kerjasama baharu ini sebenarnya hanya permulaan kepada usahanya yang lebih besar ke arah melahirkan produk sendiri satu ketika nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan