Jumaat, 24 Disember 2010

Bursa saham dunia melonjak ke paras tertinggi

Pasaran saham dan harga minyak dunia telah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun lalu.



Prestasi ini didorong oleh data mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi positif tahun depan yang dikeluarkan Amerika Syarikat.



Semakan menaik data itu menunjukkan ekonomi Amerika Syarikat berkembang 2.6 peratus pada suku ketiga ditambah dengan angka jualan runcit yang membuktikan aktiviti ekonomi di negara itu bertambah kukuh.



Pengukuhan saham sektor perbankan membantu Index S&P 500 merekodkan pencapaian tertinggi selepas merudum akibat keruntuhan Lehman Brothers.



"Sektor korporat dilihat mempunyai masa depan cerah, dengan aliran peningkatan keuntungan dijangka berterusan di samping dasar-dasar kerajaan yang diramal kekal mesra pelabur," kata Ahli Strategi Barclays Wealth, Henk Potts.



Tambahnya, negara-negara lain juga diunjur berkembang.



Indeks ekuiti MSCI meningkat 0.1 peratus, telah mencatat paras tertinggi sejak September 2008 iaitu 328.89.



Indeks ini telah meningkat sebanyak 10 peratus tahun ini.



Manakala Indeks saham global Thomson Reuters juga naik 0.1 peratus.



Harga minyak mentah Amerika Syarikat dicatat pada harga AS$90.48 setong (RM 281.69) sekali gus merekod paras tertinggi sejak Oktober 2008.



Dalam pada itu, dolar Amerika jatuh 0.1 peratus berbanding mata wang utama lain, manakala Yen pula meningkat 0.7 peratus kepada 82.99 berbanding satu dolar Amerika di dalam satu dagangan kecairan kecil.



Data positif yang dikeluarkan Amerika dan kebimbangan terhadap krisis hutang Eropah meningkatkan ramalan bahawa dolar seharusnya didagangkan lebih kukuh tahun depan.



" Peningkatan dolar memang munasabah tahun depan terutama pada separuh pertama, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Amerika dan mampu mengejutkan pasaran kewangan, " kata Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ di dalam satu nota kepada pelanggannya. - Reuters



Tiada ulasan:

Catat Ulasan