Khamis, 19 November 2009

Perlu ada anjakan- Nor Mohamed

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Malaysia perlu beranjak kepada pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi berasaskan produktiviti, teknologi, inovasi dan kreativiti bagi mencapai sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi di kalangan negara-negara maju.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (gambar) berkata, dalam persekitaran yang penuh mencabar, produktiviti adalah perkara penting dalam mencapai wawasan 2020 serta pembentukan ekonomi baru.


"Kita harus meningkatkan produktiviti, tanpa meningkatkan produktiviti, kita tidak boleh mencapai visi kita," katanya selepas merasmikan alumni PTD Forum Ekonomi Rancangan Malaysia ke-10: Satu Paradigma Baru di sini hari ini.


Untuk mencapai negara maju, Malaysia perlu meningkatkan pendapatan per kapita kepada AS$12,000 berbanding AS$7,000 setakat ini.


"Malaysia bakal mencapai negara maju pada akhir Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu pada tahun 2020," katanya.


Negara tidak boleh terus terperangkap dengan status negara berpendapatan sederhana selama-lamanya, katanya.


"Kita perlu membuka ruang seluas-luasnya dan menerokai laluan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi," katanya.


Di samping itu, pertumbuhan ekonomi turut diterajui oleh peranan sektor swasta yang lebih dinamik terutamanya dalam bidang pertumbuhan baru.


Justeru, peranan dan sumbangan sektor swasta untuk memacu dan menjadi peneraju utama pertumbuhan ekonomi akan diperkukuhkan semula.


"Kita perlu menilai semula persekitaran dasar yang kurang kondusif untuk menjana kegiatan swasta yang lebih dinamik," katanya.


Pada tahun 1997, pelaburan swasta menyumbang 32 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.


Semenjak krisis kewangan Asia, sumbangannya telah ketara merosot dan kini sumbangannya kurang daripada 10 peratus, yang merupakan antara terendah di rantau ini.


Katanya, formula kejayaan pembangunan negara 50 tahun dahulu tidak boleh menjamin sepenuhnya kecemerlangan ekonomi masa depan.


Model ekonomi baharu akan mengambil kira persekitaran global yang telah berubah menjadi lebih kompetitif serta mengenal pasti dan merebut peluang-peluang baharu dalam arena global. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan