Jumaat, 20 November 2009

Prestasi suku ketiga lebih baik

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada suku ketiga dengan mengalami penguncupan lebih kecil kepada - 1.2 peratus berbanding -3.9 peratus pada suku sebelumnya.


Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, pretasi itu adalah hasil sokongan permintaan dalam negeri berikutan pengukuhan penggunaan swasta dan perbelanjaan sektor awam yang semakin tinggi.


''Prestasi suku ketiga ini melihatkan tanda-tanda pemulihan penting dan kami meyakini ekonomi negara akan menjadi lebih baik pada suku keempat nanti, dipacu oleh pelaksanaan pelan rangsangan,'' katanya pada sidang akhbar bagi pengumuman prestasi ekonomi Malaysia suku ketiga di BNM di sini hari ini.


Beliau berkata, selain itu, kedudukan ekonomi global terutama ekonomi serantau, juga telah membantu menstabilkan sektor luaran.


Dengan prestasi itu, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak -3.8 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.


Malah, BNM berkeyakinan Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan sebanyak lima peratus pada tahun depan sekiranya pemulihan ekonomi dunia khususnya di kalangan negara-negara maju tidak terjejas, permintaan domestik terus kukuh dan pelaksanaan pelan rangsangan ekonomi berjalan mengikut jadualnya.


''Sekiranya semua aspek ini berjalan lancar, Malaysia berupaya mencapai sasaran pertumbuhan sebanyak lima peratus seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,'' tambah beliau.


Zeti bagaimanapun berkata, kerajaan masih mengekalkan unjurannya bahawa berlaku penguncupan sebanyak tiga peratus pada 2009 kerana negara-negara utama global masih mempunyai risiko ekonomi.


Zeti menambah, setakat ini keadaan ekonomi dan kewangan global memperlihatkan tanda-tanda stabil manakala negara-negara serantau juga mencatatkan pertumbuhan positif.


Meskipun perkembangan semakin positif, kadar pemulihan ekonomi global berlaku secara beransur-ansur sehingga menyebabkan prospek ekonomi kekal tidak menentu terutama apabila kesan daripada sokongan dasar penting mulai berkurangan.


Bagaimanapun, momentum ekonomi Malaysia dijangka meningkat disebabkan sentimen
perniagaan dan pengguna bertambah baik dengan langkah-langkah fiskal, dasar monetari yang akomodatif dan akses pembiayaan yang berterusan.


Bagi suku pertama, permintaan dalam negeri mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.4 peratus dipacu oleh pertumbuhan penggunaan sektor swasta dan perbelanjaan awam lebih kukuh.


Penggunaan swasta pula naik sebanyak 1.5 peratus disokong keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik, paras harga lebih rendah dan perbelanjaan tinggi untuk musim perayaan.


Sektor awam terus bertindak menyokong ekonomi melalui penggunaannya yang berkembang 10.9 peratus berikutan perbelanjaan emolumen lebih tinggi manakala pelaburan sektor awam yang kukuh menyokong pembentukan modal tetap kasar yang menguncup lebih sederhana sebanyak 7.9 peratus dalam keadaan pelaburan sektor swasta yang masih lembap.


Daripada segi penawaran, semua sektor ekonomi kecuali pertanian mencatatkan prestasi lebih baik dengan sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi iaitu 7.9 peratus berikutan pelaksanaan projek-projek di bawah pakej rangsangan ekonomi manakala sektor perkhidmatan pula berkembang sebanyak 3.4 peratus.


Bagi sektor luaran, lebihan perdagangan kekal besar pada RM26.7 bilion disebabkan penguncupan eksport dan import pada kadar lebih kecil. Eksport merosot sebanyak 22.3 peratus.


Zeti berkata, aliran masuk kasar pelaburan langsung asing (FDI) pula sederhana kepada RM6.2 bilion dengan sejumlah besarnya disalurkan kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan.


Pelaburan luar negeri oleh syarikat-syarikat tempatan mencatatkan aliran keluar bersih lebih besar berjumlah RM3.4 bilion khusus dalam pelaburan sektor perkhidmatan.


Sektor kewangan juga terus berdaya tahan dengan permodalan yang kukuh, kualiti aset tinggi dan mudah tunai lebih daripada mencukupi, sekali gus membolehkan sektor ini terus menyokong pembiayaan dan perkhidmatan dalam ekonomi.


Pada akhir September lalu, nisbah modal wajaran risiko dan nisbah modal teras sistem perbankan semakin kukuh masing-masing kepada 14.5 peratus dan 12.9 peratus dengan penampan modal melebihi RM50 bilion.


Nisbah pinjaman tidak berbayar bertambah baik kepada 2.1 peratus manakala tahap kegagalan membayar pinjaman merosot antara satu hingga dua bulan, mencakupi 3.4 peratus daripada keseluruhan jumlah pinjaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan