Rabu, 20 Januari 2010

Permintaan domestik penyumbang utama

DALAM keadaan persekitaran luaran lebih mencabar, permintaan domestik terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi dan dijangka berkembang 6.1 peratus pada tahun 2008 (2007:9.8 peratus).

Pertumbuhan permintaan domestik akan disokong pengukuhan perbelanjaan penggunaan swasta dan awam yang dianggarkan meningkat 6.8 peratus dan 5.7 peratus (2007:10.8 peratus; 6.6 peratus).

Perbelanjaan sektor swasta dijangka berkembang 6.6 peratus (2007:10.6 peratus) dan meningkatkan peratusan bahagian kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 62.9 peratus, menyumbang 4.1 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK (2007:62.3 peratus; 6.3 mata peratusan).

Sementara itu, perbelanjaan sektor awam diang-gar mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus (2007:7.9 peratus) menyumbang 1.1 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK (2007:1.9 mata peratusan).

Pelaburan swasta dijangka mapan pada kadar 6.2 peratus (2007:9.8 peratus) didorong pelbagai inisiatif kerajaan bertujuan mengurangkan kos kendalian perniagaan serta menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.

Pertumbuhan ini ditunjukkan Penyiasatan Jangkaan Perniagaan yang dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan pertumbuhan perbelanjaan modal dari sektor swasta dijangka meningkat kukuh sebanyak 114.5 peratus dalam tempoh separuh pertama 2008.

Sektor perlombongan dan elektrik akan menyumbang peratusan terbesar kepada perbelanjaan modal sebanyak 38.3 diikuti oleh sektor perkhidmatan (37.6 peratus) terutama dalam subsektor pengangkutan dan komunikasi.

Projek yang diluluskan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia bagi pelaburan domestik meningkat kepada RM9.3 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2008 (Januari-Jun 2007:RM15.2 bilion), khususnya dalam industri produk logam asas dan kelengkapan pengangkutan.

Pertumbuhan ini didorong permintaan global yang kukuh terhadap produk berkaitan besi dan kenderaan.

Perbelanjaan penggunaan swasta dianggar meningkat 6.8 peratus dengan sumbangan kepada KDNK sebanyak 51.0 peratus pada tahun 2008 (2007:10.8 peratus, 50.5 peratus).

Pertumbuhan ini disokong peningkatan pendapatan isi rumah hasil daripada pasaran buruh yang stabil serta kenaikan harga komoditi.

Peningkatan penggunaan swasta juga dicerminkan penunjuk utama penggunaan seperti jualan kereta penumpang dan motosikal yang mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 26.8 peratus dan 20.1 peratus dalam tempoh enam bulan pertama 2008 (Januari-Jun 2007:-12.2 peratus; 4.5 peratus).

Sumber; Berita Harian-Laporan Ekonomi 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan