Rabu, 20 Januari 2010

Kesejahteraan rakyat fokus dasar awam kerajaan

KUALA LUMPUR: Kesejahteraan rakyat akan terus menjadi fokus dasar awam dan program kerajaan di mana pembasmian kemiskinan akan terus diberi perhatian dan peruntukan sewajarnya, menurut Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikeluarkan hari ini.

Peningkatan penguatkuasaan keselamatan, menambah pembinaan rumah mampu milik, kemudahan awam, sistem pengangkutan bandar serta mempertingkatkan pembabitan wanita dalam aktiviti ekonomi juga akan menjadi fokus dasar awam kerajaan.

Rakyat, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak akan mendapat akses yang lebih baik kepada bekalan air bersih, elektrik, pendidikan dan kemudahan kesihatan selari dengan sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi infrastruktur.

"Isu jenayah dan keselamatan menjadi kebimbangan utama rakyat. Penyelarasan antara agensi penguatkuasaan akan diperkemas bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terutama di kawasan kerap berlaku jenayah," kata laporan itu.

Pembabitan wanita dalam aktiviti ekonomi akan dipertingkat melalui program latihan keusahawanan dan kemahiran.

Bagi memudahkan wanita bekerja, kerajaan akan menggalakkan majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja kerana menurut laporan itu corak demografi telah berubah sejak sekian lama dengan dua per tiga daripada penduduk tinggal di kawasan bandar.

Perkara ini memberi tekanan kepada keperluan perkhidmatan seperti pengangkutan, kesihatan, pendidikan, perumahan dan kemudahan lain di kawasan bandar, kata laporan itu.

Selain itu, taraf pendapatan sebilangan besar penduduk bandar tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang tinggi di bandar.

"Kerajaan akan menangani isu ini dengan menambah pembinaan rumah mampu milik, kemudahan awam dan sistem pengangkutan bandar," kata laporan itu.

Pengangkutan awam akan dipertingkatkan lagi dengan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang berfungsi sebagai badan tunggal bagi menyelaras pembangunan pengangkutan awam yang bersepadu di Lembah Klang.

Menurut laporan itu, badan ini akan menangani pelbagai isu, termasuk ketepatan masa, keselesaan, keselamatan, kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) dan integrasi dengan mod kemudahan pengangkutan yang lain.

Pada tahun 2009, sebanyak RM280 juta diperuntukkan bagi projek bekalan air luar bandar.

Projek ini dijangka memberi manfaat kepada 47,200 isi rumah. Sehingga akhir September 2009, sebanyak RM97.4 juta telah dibelanjakan.

Bagi bekalan elektrik luar bandar, RM525.1 juta diperuntukkan dan akan memanfaatkan 55,700 isi rumah di mana sehingga akhir September 2009, sebanyak RM200 juta telah dibelanjakan.

Di bawah pakej rangsangan ekonomi pertama, sebanyak RM1.4 billion telah disediakan bagi projek jalan luar bandar, bekalan air, premis perniagaan kecil dan program pembasmian kemiskinan.

Lebih daripada 21,000 projek telah dikenal pasti dan sehingga akhir September 2009, sebanyak RM755.8 juta telah dibelanjakan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan