KUALA LUMPUR;Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia perlu memberi penekanan kepada kreativiti, inovasi dan aktiviti nilai tambah tinggi untuk berubah ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan memperkukuhkan daya saing jangka panjang.
Perdana Menteri berkata ini menuntut negara untuk memperkasa keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta memperluas aktiviti pengkomersilan produk selaras dengan aspirasi menjadi sebuah ekonomi berasaskan inovasi.
"Kita juga hendaklah meningkatkan permintaan domestik terutama pelaburan swasta dan mempelbagaikan pasaran eksport selain beralih daripada kebergantungan kepada buruh asing kurang mahir kepada modal insan berkemahiran tinggi dan berbakat," katanya di dalam prakata di dalam Laporan Ekonomi 2009/2010 Kementerian Kewangan hari ini.
Dalam meningkatkan daya saing negara, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan sentiasa komited dalam langkah liberalisasi berterusan dan dasar berorientasikan pasaran serta peningkatan akauntabiliti dan ketelusan.
"Bagi merealisasikan matlamat ini, kita mesti melakukan anjakan paradigma, sanggup berubah dan bertindak dengan cara berbeza," katanya.
Beliau berkata ekonomi bertambah baik pada suku kedua dengan penyusutan yang lebih perlahan pada 3.9 peratus, kesan positif dari dua pakej rangsangan dan dasar monetari yang akomodatif.
"Penunjuk utama menggambarkan ekonomi negara semakin pulih dan dijangka mencatatkan penguncupan yang lebih kecil sebanyak 3.0 peratus pada tahun 2009," katanya.
Selain itu, Najib berkata kerajaan beriltizam merealisasikan sasaran yang ditetapkan bagi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Antara sasarannya, katanya ialah pencegahan jenayah, memerangi rasuah, memperluas akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan menambah baik pengangkutan awam.
Beliau menegaskan bahawa rakyat mesti terus bersatu, komited dan berani untuk mengatasi sebarang cabaran bagi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
"Kejayaan negara dalam mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan mengatasi krisis yang lepas tidak mungkin tercapai tanpa sokongan seluruh rakyat.
"Saya yakin 1Malaysia adalah tunjang dasar kerajaan akan menyatupadukan rakyat untuk berusaha dengan lebih gigih ke arah mencapai matlamat ini untuk masa depan yang lebih gemilang," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan