KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang kukuh pada kadar 2.0 hingga 3.0 peratus pada tahun hadapan berbanding dengan penyusutan 3.0 peratus tahun ini, demikian menurut Kementerian Kewangan hari ini.
Ini adalah hasil daripada usaha pragmatik kerajaan termasuk pakej rangsangan fiskal bernilai RM67 bilion yang telah membantu membaik pulih ekonomi tempatan, walau pun dalam keadaan ekonomi dunia yang lemah.
Kementerian Kewangan berkata ekonomi negara juga dijangka mendapat faedah dari perkembangan ekonomi dunia yang semakin stabil serta dasar monetari yang akomodatif.
Kadar Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) yang dijangka tahun ini juga angka yang sudah disemak semula dari jangkaan awal sebanyak -4.0 hingga -5.0 peratus, yang menunjukkan bahawa ekonomi sedang pulih setelah mendapat tempias krisis kewangan yang sedang berlangsung.
Permintaan domestik akan menjadi pemacu utama ekonomi negara, disokong oleh perbelanjaan sektor awam dan penggunaan swasta, kata kementerian itu.
Walau pun pelaburan awam dijangka berkembang ekoran pelaksanaan projek Pakej Rangsangan Ekonomi, katanya pelaburan swasta sebaliknya diunjurkan merosot, yang mencerminkan sentimen perniagaan yang lebih rendah.
Namun, penggunaan swasta dijangka merekodkan pertumbuhan positif yang disokong oleh pendapatan boleh guna isi rumah yang kukuh berikutan pasaran buruh yang stabil dan pemulihan harga komoditi, kata kementerian itu.
Dari sudut penawaran pula, sektor perkhidmatan dan pembinaan dijangka menjadi pertumbuhan.
Kementerian itu berkata pertumbuhan sektor perkhidmatan dianggar berkembang 3.6 peratus pada 2010, daripada anggaran 2.1 peratus tahun ini, yang dipacu oleh prestasi menggalakkan subsektor komunikasi, kewangan dan insurans, perdagangan borong dan runcit, serta harta tanah dan perkhidmatan perniagaan.
Pemulihan dalam aktiviti berkaitan perdagangan dijangka meningkatkan pertumbuhan dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan serta utiliti.
"Prospek sektor perkhidmatan dijangka kekal menggalakkan dengan usaha giat kerajaan bagi membangunkan sektor ini sebagai peneraju utama pertumbuhan," katanya di dalam Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikeluarkan di sini hari ini.
Sementara itu, nilai ditambah sektor pembuatan dijangka kembali pulih 1.7 peratus tahun hadapan, daripada -12.1 peratus yang dijangka tahun ini.
Ini kerana industri berorientasi eksport dijangka mendapat faedah daripada pemulihan perdagangan global, manakala industri berorientasi domestik berkembang seiring dengan sentimen pengguna dan perniagaan yang bertambah baik, katanya.
Menurut kementerian itu, industri elektrik dan elektronik (E&E) dijangka pulih, yang diterajui oleh peningkatan permintaan bagi kelengkapan elektronik dan alat ganti serta semikonduktor.
Katanya produk industri berasaskan sumber dijangka berkembang disebabkan oleh penambahbaikan permintaan bagi produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
"Berikutan prospek kerja yang lebih baik serta peningkatan pendapatan boleh guna, subsektor kelengkapan pengangkutan, terutama prestasi segmen kereta penumpang dijangka kembali cergas."
"Tambahan pula, peningkatan aktiviti sektor pembinaan, dengan pemulihan permintaan sektor perumahan akan menyokong pertumbuhan segmen besi, keluli serta simen," katanya.
Bagi pertanian pula, Kementerian Kewangan berkata sektor itu dijangka kembali cergas 2.5 peratus daripada -2.3 peratus yang dijangka tahun ini, ekoran pemulihan subsektor komoditi.
Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka berkembang 4.9 peratus kepada 17.8 juta tan metrik, daripada -4.1 peratus yang dijangka tahun ini sebanyak 17 juta tan metrik, berikutan pertambahan kawasan matang kepada 3.98 juta hektar daripada 3.8 juta hektar.
Hasil buah tandan segar (FFB) dijangka meningkat kepada 20.1 tan metrik sehektar berikutan pemulihan daripada musim melawas, manakala output getah dijangka meningkat ekoran permintaan dan harga yang lebih baik, katanya.
Subsektor bukan komoditi terutama ternakan dan pertanian lain dijangka terus berkembang berikutan pelaksanaan pelbagai Projek Berimpak Besar (HIP) mula menunjukkan kemajuan.
Industri perikanan dijangka terus berkembang berikutan hasil akuakultur yang lebih tinggi ekoran pertambahan bilangan Zon Industri Akuakultur (ZIA).
Kementerian itu juga berkata sektor perlombongan dijangka kembali pulih 1.1 peratus pada tahun hadapan berbanding jangkaan sebanyak -2.9 peratus tahun ini, yang disokong oleh pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih tinggi.
Pengeluaran minyak mentah diunjur bertambah 0.8 peratus kepada 668,000 tong sehari (tsh) pada 2010 ekoran permintaan yang lebih tinggi, setelah beberapa medan minyak baru dijangka memulakan pengeluaran pada masa itu.
Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata pengeluaran gas asli dianggar meningkat 2.0 peratus kepada 2.126 juta kaki padu standard (jkps) berikutan permintaan yang lebh tinggi daripada pasaran domestik dan luar negara, dan pembesaran MLNG DUA dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran gas kepada 23.9 juta tan metrik setahun.
Bagi sektor pembinaan pula, kementerian itu menganggarkan ia berkembang 3.2 peratus tahun hadapan, daripada 3.5 peratus yang dijangka tahun ini, dengan semua subsektor mencatatkan pertumbuhan kukuh.
Sektor ini dijangka memperoleh manfaat daripada pemulihan ekonomi dan pelaksanaan berterusan aktiviti pembinaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, ditambah pula dengan aktiviti cari gali industri minyak dan gas yang dijangka merangsang sektor pembinaan. Ia berkata, projek utama seperti pertambahan rangkaian Aliran Transit Ringan (LRT) dari aliran Kelana Jaya dan Ampang, Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor, LCCT baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar, dijangka memacu pertumbuhan subsektor kejuruteraan awam.
Subsektor bukan kediaman dianggar meningkat kukuh diterajui oleh permintaan yang lebih baik bagi harta tanah dan bangunan komersil, manakala subsektor kediaman juga dijangka mengukuh berikutan sentimen pengguna dan prospek kerja yang lebih baik. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan