1. Menteri Kewangan Kedua, YB Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah telah mengumumkan pada 27 September 2009 bahawa harga petrol tidak lagi menerima subsidi apabila penstrukturan semula skim subsidi minyak dilaksanakan dalam separuh pertama 2010.
2. Pada masa ini, minyak bersubsidi dinikmati semua pengguna kenderaan, termasuk pemilik kereta mewah dan rakyat asing. Sekarang harga petrol bersubsidi di pam bagi RON 97 ialah RM2.05 seliter manakala RON 95 pula ialah RM1.80 seliter.
3. Justeru ekoran penstrukturan semula ini, menurut beliau, hanya golongan sasar atau pemegang mykad (rakyat Malaysia) sahaja yang berhak menikmati subsidi yang diberikan kerajaan itu.
4. Sekiranya golongan sasar tersebut bermaksud isi rumah miskin maka hanya 3.6% (2007) sahaja yang layak mendapat sunsidi berkenaan. Tetapi mampukah mereka yang mempunyai pendapatan purata isi rumah di bawah RM720 sebulan (Semenanjung Tanah Melayu – STM) membeli dan menyelenggara sebuah kereta?
5. Mungkin sebahagian kecil mereka hanya mampu membeli sebuah motorsikal Honda Cup / Keris. Justeru adalah tepat jika diandaikan bahawa hampir SEMUA yang menikmati petrol bersubsidi itu sejak zaman berzaman adalah mereka yang tidak miskin serta rakyat asing.
6. Maka sahlah dasar subsidi yang ada sekarang adalah rich-biased.
Reaksi
7. Pada prinsipnya, saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk menyusun semula semua jenis subsidi, termasuklah subsidi petrol, dengan matlamat utama untuk (a) mempastikan mereka yang layak sahaja (misalnya golongan miskin) mendapat subsidi berkenaan, dan (b) wang rakyat digunakan secara berhemah serta tidak berlaku misallocation of scarce resources. Pandangan sedemikian ini telah saya suarakan dengan lantang di Dewan Negara.
8. Pada kadar harga runcit sekarang, pemilik kereta yang tidak layak menerima subsidi dijangka akan membayar sekitar 30 sen lebih tinggi. Oleh kerana majoriti pemilik kereta adalah orang berada maka pertambahan harga sebanyak itu tidak seharusnya menjadi masalah besar kepada mereka. Tentulah pelik jika pemilik kereta Perdana, Mercedes, BMW dan setaraf dengannya menjerit dan melolong kerana kenaikan harga yang kecil itu.
9. Menurut penganalisis pasaran minyak mentah, harga minyak tahun depan adalah sekitar AS$85/tong. Justeru dijangka mereka itu perlulah menambah sekitar 10 sen lagi.
Impak
10. Pelaksanaan skim baru ini sudah tentu akan memberi tekanan kepada golongan yang tidak layak menerima subsidi. Golongan yang layak menerima sudah tentu gembira dan menghargai pemberian kerajaan.
11. Dalam pada itu, pendapatan negara/petronas akan meningkat ekoran kenaikan harga minyak mentah dan pengurangan pembiayaan subsidi.
12. Kadar inflasi juga meningkat kerana kos pengeluaran akan bertambah tetapi ia tidaklah seganas 2008. Kemungkinan senario sedemikian adalah kerana kos pengeluaran akan dapat dikawal melalui subsidi gas dan letrik / petrol yang akan diteruskan kepada industri, pengangkutan awam dan seumpamanya.
13. Seterusnya diyakini bahawa pelaksanaan sekim baru ini tidak akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk melonjakkan Malaysia ke tahap negara berpendapatan tinggi.
14. Harga runcit petrol di Jepun, Korea dan di beberapa buah negara maju yang lain adalah lebih tinggi dari kita. Justeru harga runcit petrol yang tinggi tak seharusnya menjadi faktor yang boleh menggagalkan matlamat tersebut.
15. Yang kritikal ialah kita perlu meningkatkan produktiviti dan daya saing serta menceburi aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Yang demikian, negara dan rakyat akan memiliki pendapatan yang tinggi.
Golongan Sasar
16. Kerajaan akan umumkan mekanisme berkaitan pengguna dan pelaksanaan skim baru ini. Yang pasti bukan rakyat Malaysia tidak akan menikmati subsidi petrol nanti. Golongan sasar yang layak sedang dikenalpasti.
17. Jika golongan sasar itu merujuk kepada isi rumah miskin sahaja maka, pada masa ini, tahap kemiskinan adalah berdasarkan pendapatan kasar isi rumah sebanyak RM720 sebulan di STM. Jika tahap Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) ini dikekalkan maka tidak berapa kerat yang akan menikmatinya sebab tidak ramai yang memiliki kereta. Sebaliknya banyaklah hasil yang bakal dikutip oleh kerajaan kerana ramai yang berkereta akan berada di atas garisan tersebut.
Pendapatan Threshold (PT)
18. Untuk berlaku lebih adil dalam menentukan kumpulan sasar bagi tujuan melayakkan seseorang menerima petrol bersubsidi ini, disyorkan PT hendaklah mengambil kira suasana kehidupan masa kini. Pada masa yang sama PT ini tidak berdasarkan konsep ‘kasar’ tetapi sebaliknya berdasarkan konsep ‘per kapita’.
19. Sehubungan itu, disyorkan PT Bandar (STM) yang baru adalah bersamaan pendapatan per kapita isi rumah sebanyak RM600 sebulan. Di Luar Bandar (STM) pula, PTnya ialah bersamaan pendapatan per kapita isi rumah sebanyak RM400 sebulan.
20. Jika syor tersebut diterima pakai maka dianggarkan kira-kira 60% isi rumah di negara ini akan berada di bawah PT berkenaan. Dijangka lebih kurang separuh daripada isi rumah itu pula mempunyai motorsikal / kereta.
21. Dijangka kos subsidi bagi kumpulan ini tidaklah banyak. Setelah mengambil kira bilangan dan jenis kenderaan yang mereka miliki serta purata kekerapan dan jarak perjalanan bulanan masing-masing, maka kos yang perlu ditanggung mungkin tidak sampaipun 20% daripada jumlah subsidi petrol yang pernah dibayar oleh kerajaan. Pada tahun 2007, nilainya adalah sebanyak RM16.2 bilion.
22. Menggunakan kos subsidi petrol yang sama sebagai andaian bagi tahun 2010, maka, di bawah lembaran pembayaran dan penerimaannya, kerajaan akan dapat mengurangkan sebanyak RM13 bilion di pihak pembayaran.
23. Pada masa yang sama, di pihak penerimaan pula, kerajaan mungkin akan mendapat lebih daripada RM13 bilion daripada pemilik kenderaan yang berada di atas PT, setelah mengambil kira bilangan dan jenis kenderaan yang mereka miliki serta purata kekerapan dan jarak perjalanan bulanan masing-masing. Ternyata kerajaan akan mendapat impak berganda.
Subsidi Lain
24. Selanjutnya disyorkan agar subsidi-subsidi lain seperti beras, baja, disel untuk nelayan, gula, tepong, roti, ternakan, buku teks, dan lain-lain hendaklah juga distruktur semula. Tetapi ia hendaklah dilaksanakan berperingkat-peringkat supaya tidak berlaku kejutan ke atas sistem ekonomi negara dan rakyat sendiri.
25. Sekiranya ia dilaksanakan dengan sistematik dan berkesan, saya yakin sebahagian besar daripada RM20.9 bilion nilai subsidi yang diperuntukkan pada tahun 2010 dapat dijimatkan.
26. Sebagai contoh, perlunya menstrukturkan semula subsidi minyak diesel untuk nelayan dengan segera. YB Dato’ Mustapa sebagai Menteri Pertanian & Asas Tani telah mengakui sendiri di Dewan Negara yang mulia pada bulan Disemebr 2008 bahawa 80% daripada minyak diesel tersebut telah dibolot oleh nelayan kaya manakala 80% nelayan miskin hanya mendapat 20% minyak tersebut.
Subsidi Gula
27. Begitu juga dengan subsidi gula yang perlu dirombak segera. Rakyat miskin hanya mendapat sebahagian kecil sahaja faedahnya kerana bilangan mereka tidak ramai; hanyalah 3.6%. Selebihnya ditelan oleh orang kaya (96.4%), kedai kopi, restoran, hotel serta syarikat-syarikat gergasi pembuat minuman karbonat (bottle drinks), roti, kek dan lain-lain lagi.
28. Pada tahun 2008, jumlah bersih gula dalam negara (pengeluaran domestik + import – eksport) adalah sebanyak 925.8 juta Kg. Berdasrkan Penyaiasatan Perbelanjaan Isi Rumah, jumlah penggunaan gula oleh seluruh isi rumah adalah kira-kira 72.1 juta Kg atau hanyalah 7.8% sahaja. Bakinya, sebanyak 853.7 juta Kg (92.2%), di consumed oleh industri.
29. Sebahgian besar daripada 72.1 juta Kg itu pula diconsumed oleh orang kaya; secara kasar ianya adalah sebanyak 69.5 juta Kg atau 96.4% manakala orang miskin hanya consumed 2.6 juta Kg. (3.6%).
30. Lantaran sahlah bahawa subsidi yang dicanangkan untuk orang miskin itu sebenarnya diboloti oleh orang kaya dan syarikat-syarikat.
31. Justeru jika subsidi gula tersebut diberikan hanya kepada orang miskin maka peruntukan subsidi bagi bahan tersebut tidak sampai pun 0.5% atau hanyalah RM1.1 juta daripada jumlah kos sebanyak RM220 juta (sehingga Julai 2009).
32. Maka tepatlah kenyataan awal saya tadi bahawa sebahagian besar daripada RM20.9 bilion nilai subsidi yang diperuntukkan pada tahun 2010 akan dapat dijimatkan. Peruntukan yang dapat dijimatkan itu bolehlah digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah, khususnya ke arah melonjakkan pendapatan rakyat (disposable income).
33. Yang demikian, kenaikan harga barangan akan dapat ditampung oleh kenaikan disposable income yang lebih tinggi. Justeru rakyat akan menikmati pertambahan sebenar pendapatan malar (actual increase in real income). Lantas sudah tentu tidak ada apa yang hendak dirungutkan oleh rakyat!
34. YAB Dato’ Sri Najib telah menyedari keperluan menyemak semula semua skim subsidi ini dan faedahnya kepada rakyat. Beliau menyerahkan kepada Ahmad Husni sebagai arkitek untuk menjaya/merealisasikannya.
35. Antara pra-syarat kejayaannya ialah (a) wujudnya pangkalan data profail isi rumah yang lengkap, tepat dan semasa serta (b) pelaksanaan yang adil dan saksama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan