Sabtu, 8 Januari 2011

Maybank ambil alih firma broker saham Singapura

MALAYSIA dijangka menyaksikan satu lagi pusingan aktiviti penggabungan mega di kalangan institusi kewangan pada tahun ini dimulai dengan cadangan pengambilalihan firma broker saham Singapura, Kim Eng oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) semalam.



Langkah berkenaan juga selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah mewujudkan peserta kewangan serantau yang lebih kukuh. Penganalisis Kanan HwangDBS Vickers Research Sdn Bhd, Lim Sue Lin, berkata langkah awal Maybank itu memberi petunjuk akan berlaku lebih banyak penggabungan dan pengambilalihan (M&A) khususnya di kalangan institusi kewangan dan perbankan yang lebih besar. “Berdasarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP), ideanya adalah mewujudkan jaguh serantau dan dalam perkara ini, ia sebenarnya petanda berlakunya satu lagi pusingan M&A,” katanya pada taklimat media mengenai Tinjauan Masa Depan Strategi Pasaran dan Sektor Perbankan bagi 2011 di Kuala Lumpur, semalam.



Beliau berkata, antara sasaran utama M&A kali ini adalah firma broker saham memandangkan bank kini cuba memenuhi sebarang jurang dan melengkapkan operasi serta perkhidmatan masing-masing.



“RHB Capital Bhd, bank keempat terbesar di Malaysia adalah calon terbaik untuk dipertimbang pada masa ini.



“Seandainya penggabungan antara Hong Leong Bank dan EON Cap berjaya, RHB Capital akan menjadi bank kelima terbesar,” katanya.

Ditanya mengenai calon utama berminat mengambil alih RHB Capital, Sue Lin berkata: “Tekaan saya, CIMB Group.” – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan