Sabtu, 8 Januari 2011

Kerajaan pantau aliran dana asing

KERAJAAN sedang memantau rapat aliran masuk besar-besaran dana asing khususnya ke pasaran saham tempatan, justeru menyaksikan Bursa Malaysia terus merekodkan paras tertinggi dalam sejarah sejak awal tahun ini.



Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim, berkata kerajaan kini memantau urus niaga kewangan khususnya transaksi tepat masa dalam talian. “Kita boleh memantau kemasukan ini kerana aliran dana itu perlu melalui bank pelaburan tempatan sebelum memasuki pasaran. “Bank berkenaan pula bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia mengenai pengaliran masuk itu,” katanya selepas melancarkan Mall Digital Maya di Kuala Lumpur, semalam.



Beliau berkata, negara mengamalkan dasar ekonomi bebas dan kerajaan tidak boleh mengawal pengaliran keluar atau pengaliran masuk dana.



Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan sedang mengambil pendekatan memujuk dana berkenaan supaya terus kekal di negara ini buat seketika sebelum keluar semula.



“Jika kita tahu mana-mana dana besar yang mengalir masuk ke negara ini, kita boleh berbincang dengan pengurus dana dan memperkenal Malaysia sebagai negara unggul untuk menempatkan wang mereka bagi jangka panjang tetapi masih boleh meningkatkan portfolio dan keuntungan mereka.

“Buat masa ini, dengan keadaan mudah tunai dalam pasaran tempatan, kita cukup kukuh untuk bertahan daripada sebarang keadaan yang tidak dijangkakan,” katanya.

Lim berkata, Bank Negara juga bekerjasama rapat dengan bank pusat lain di rantau ini dalam menguruskan dan menangani isu aliran masuk wang panas ke rantau ini. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan