Rabu, 11 Ogos 2010

Mutiara Jepun Meiwa mahu bertapak di Sabah

Pemborong barang kemas mutiara set dan berbutir, Meiwa Co Ltd yang menyasarkan untuk bertapak di pasaran Sabah, yakin bahawa syarikat itu akan memberi saingan sihat pada mutiara tempatan.



Meiwa, yang merupakan pemborong mutiara Lautan Selatan dan Akoya memasuki pasaran Malaysia pada 2004 dengan menyertai beberapa pameran barang kemas di Kuala Lumpur setiap tahun.



Hujung minggu lepas, syarikat itu mengambil satu lagi langkah untuk mempromosikan mutiara mereka di Sabah pada Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia yang diadakan di sini.



Pengarahnya, Hideyuki Nagai berkata, syarikat itu yang ditubuhkan pada 1975 dan berpangkalan di Kobe, Jepun itu juga telah menyertai secara agresif dalam beberapa pameran barang kemas di Hong Kong, Singapura, Korea dan Thailand selain Jepun.



"Kami telahpun menarik beberapa peruncit daripada Arab Saudi, United Kingdom, Asia Timur dan negara di Asia Pasifik. Dan kami mendapat banyak pertanyaan daripada peruncit Amerika yang berminat untuk membeli secara borong daripada kami," katanya kepada Bernama pada pameran itu.



Meiwa mampu menawarkan harga borong yang menarik kerana syarikat itu membeli mutiara daripada beberapa firma lelong yang besar atau ladang mutiara. Mutiara Akoya berasal dari Jepun manakala mutiara Lautan Selatan dibeli dari ladang mutiara di Australia dan Tahiti, kata Hideyuki.



"Para pelangan kami berkata kami menyediakan mutiara berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan. Jadi, kami melihat potensi untuk membekalkan mutiara itu ke pasaran Sabah, kerana orang di sini lazimnya pandai menghargai barang kemas dari mutiara," katanya.



Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia (Kota Kinabalu, Sabah) yang diadakan pada 6 dan 8 Ogos itu merupakan pameran barang kemas antarabangsa yang terbesar di Sabah dan Sarawak, dengan mempromosikan lebih 100,000 barang kemas utama dunia, yang mana lebih 30 pemamer termasuk daripada Malayisa, Hong Kong, Singapura, Kemboja dan Jepun mengambil bahagian.



Mengulas mengenai respons daripada pameran barang kemas di Kota Kinabalu, beliau berkata pameran itu baik dan selain menawarkan pembenangan percuma bagi mutiara yang dibeli itu, satu sijil ketulenan mutiara juga dikeluarkan kepada pengguna.



"Selain individu yang membeli set barang kemas mutiara, terdapat juga pertanyaan daripada peruncit di sini yang mahu membeli mutiara itu pada harga borong daripada kami," katanya. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan