Rabu, 11 Ogos 2010

Kembangkan hubungan jalur lebar - Picket

Hubungan jalur lebar negara perlu dikembangkan lagi, kata Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Vincent Picket.



Katanya, kegagalan untuk cepat bertindak akan mengakibatkan kehilangan peluang perniagaan dan paras kompetitif relatif negara akan berkurangan kerana momentum pertumbuhan jalur lebar di negara-negara jiran adalah lebih baik.



''Ia juga perlu kerana aplikasi efektif dan perkhidmatan jalur lebar akan membantu menjana pembangunan," katanya ketika menyampaikan ucaptama perbincangan meja bulat mengenai jalur lebar sebagai pemangkin pertumbuhan di sini hari ini.



Antara ahli panel bagi perbincangan tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Time Dot Com, Afzal Rahim; Pengarah Kanan Divisyen MYICMS, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia, Zamani Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif Digi Telecomunications, Henrik Clausen; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ING Insurance Bhd., Datuk Dr. Nirmala Menon dan Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Maklumat Asia Pasifik DHL, Heinz Luck.



Ia telah dipengerusikan oleh Ketua Jawatankuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Dewan Perdagangan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI), Krishnakumar Guda.



Tambah Picket, Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan kerajaan juga dapat membantu memberikan maklum balas baik kepada jalur lebar negara.



''Liberalisasi berterusan bagi sektor telekomunikasi akan membantu merangsang aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia. Kerjasama lebih erat dengan sektor swasta untuk mengurangkan beban kewangan adalah perlu.



''Ia penting kerana FDI membantu meningkatkan modal pelaburan dan membuka peluang pekerjaan serta memantau peralihan teknologi dan meningkatkan skil tenaga kerja," jelasnya.



Picket berkata, jalur lebar merupakan instrumen baru untuk pembangunan dan perlu mempunyai strategi yang luas bagi membantu Malaysia mencapai pertumbuhan yang diinginkan.



Menurut Picket, EU komited terhadap visi masyarakat maklumat global dengan menyokong Rangkaian Maklumat Trans Eurasian (TEIN).



''Di bawah Program Rangka Kerja Ketujuh (FP7), EU turut menyokong pembangunan dan penyelidikan antarabangsa dalam ICT dengan nilai euro 9 bilion (RM37.53 juta) sejak tujuh tahun lalu. Malaysia juga merupakan penerima manfaat tersebut," katanya.



Sementara itu, Afzal berkata, Malaysia juga perlu menggalakkan perkembangan pembangunan kandungan tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kos serta mengurangkan penggantungan kepada penyedia kandungan antarabangsa.



''Ia juga dapat mengurangkan harga perkhidmatan tersebut," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan